Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 14, 2015

UMAT PAROKI TELUPID MERAYAKAN MINGGU SUCI BERSAMA DENGAN BAPA USKUP JULIUS

Artikel oleh Hildy Albert
Gambar oleh Richard Martinus

TELUPID – Umat Paroki Telupid merayakan perayaan minggu suci pada tahun ini dengan istimewa sekali kerana buat pertama kalinya Bapa Uskup Julius Dusin Gitom sendiri telah datang untuk merayakan perayaan minggu suci di paroki ini bermula dari malam Khamis Putih sehingga ke malam Paska.

Perayaan Khamis Putih pada 2 April telah bermula seawal jam 7 malam di Gereja Santo Martin dan dihadiri kira-kira 250 umat. Bapa Uskup telah membasuh kaki seramai 12 orang umat yang telah dipilih, yang terdiri daripada 6 lelaki dan 6 wanita.

Dalam homilinya, Bapa Uskup menyeru kepada umat agar mencontohi teladan Yesus yang tetap sabar menanti waktu-waktu kesengsaraanNya, mengadakan perjamuan dan mencuci kaki muridnya walaupun Dia tahu bahawa ada di antara muridnya yang akan mengkhianati dan menyangkal Dia. Dan sebagai ganjarannya, Yesus telah mendapat kemuliaan daripada Allah Bapa.


Pada Jumaat Agung, diadakan jalan salib seawal jam 8 pagi telah disertai kira-kira 150 umat dan dipimpin oleh Seminarian Christopher Ireneus.

Penghormatan Salib dimulakan pada jam 3 petang dan dianggarkan kira-kira 500 umat telah datang untuk turut bersama-sama memberi penghormatan salib.


Melalui homili, Bapa Uskup menyatakan bahawa penguasa-penguasa dunia ini mahu membunuh Yesus dengan harapan bila Dia tidak ada lagi di dunia, maka Yesus akan dilupakan oleh dunia. Namun perkara sebaliknya yang berlaku. Yesus yang disalibkan, sehingga hari ini, jutaan umat menyembah Dia sebagai Tuhan dan Raja.

Bapa uskup juga menekankan bahawa kita semua memang mengenal Kristus, mengenal ajaranNya yang utama iaitu ajaran tentang cintakasih, dan bahawa Yesus diutus oleh Allah untuk meyampaikan cintakasihNya dan maka dengan itulah kita dapat bersama Dia dalam kerajaan Syurga.

Namun, kerana kelemahan kita Yesus banyak kali disalibkan oleh kita sendiri di dalam kehidupan kita. Tetapi Yesus tidak pernah meninggalkan kita malah sentiasa memberi kita peluang dan kesempatan, yang dicurahkan dengan rahmatNya.
Bapa Uskup sedang menyanyikan pujian paska
Akhir sekali Bapa Uskup menekankan kepada umat bahawa salib bukanlah lambang kekalahan tetapi sebaliknya lambang kemenangan, dan mengajak umat untuk menimba rahmat daripada salib itu dan akhirnya kita dihitung oleh Tuhan Yesus sendiri sebagai orang-orang yang telah diselamatkan.

Misa Vigil Paska
Pada malam Vigil Paska, Bapa Uskup menyatakan bahawa mesej Paska ialah seperti Tuhan Yesus yang dapat mengenali  sesama kita sebagai saudaraNya di dalam namaNya. Jika kita belum mengenali-Nya, maka kita masih berada dalam kegelapan.
Namun, Yesus sudah memberi teladan kepada kita. Yesus mengenali kita dan hati sama seperti Dia mengenal para rasulNya, mengetahui hati Yudas Iskariot, namun Yesus tetap membasuh kakinya. Dia mengetahui bahawa Petrus akan menyangkal Dia, tetapi Dia tetap menjadikan Petrus sebagai ketua para rasul. Semasa penyalibanNya juga, seorang tentera mengenal Dia dan menyatakan “Sungguh Dia Anak Allah”.
Maka kita dituntut untuk meneladani Yesus, membawa kabar dan cintakasih Tuhan kepada orang lain tanpa mengira siapa orang itu, dan dengan demikian kita sudah hidup dalam terang Kristus, sebuah kehidupan baru yang dirayakan dalam permulaan acara ini. Dan itu juga bererti bahawa kita mengakui bahawa Dialah terang,  Yesus yang bangkit adalah terang hidup kita.

Dalam masa yang sama, Bapa Uskup juga mengajak umat untuk saling membantu di antara satu sama lain terutama sekali bagi mereka yang baru dibaptis. 
Bapa Uskup bergambar bersama dengan baptisan baru
Kerasulan Belia Paroki Telupid yang juga koir sepanjang minggu suci tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Bapa Uskup
Pada malam ini juga seramai 71 orang baptisan baru dan 8 orang daripada denominasi lain telah diterima secara rasmi memasuki Katolik.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent