Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 1, 2015

FORUM ~ CABARAN WANITA, KELUARGA, KERJAYA DAN PELAYANAN MASA KINI

Artikel oleh Matrin
Gambar oleh  Helen John
Nanggoh : Pada Jumaat 13hb Mac 2015, Kerasulan Wanita Katolik Zon Jalan Nangoh telah menganjurkan forum sehari ‘CABARAN WANITA, KELUARGA, KERJAYA DAN PELAYANAN MASA KINI’ di Chapel St. Joseph, Kg. Nangoh, 128 kilometer dari Sandakan. Seramai 100 peserta ahli Kerasulan Wanita Katolik dari Zon Jalan Sandakan, Zon Pekan dan Zon Jalan Nangoh telah menghadiri acara tersebut.
Penceramah dan ahli panel forum terdiri dari Rev. Fr Jasery E. Gabuk, rektor paroki St. Martin, Telupid dan Sister Apollonia Gumpu fsic dari Katedral St.Mary, Sandakan. Forum ini adalah yang julung kali diadakan di Zon Nangoh. Turut hadir bersama adalah Puan Nora Nikolas, Penyelaras Kerasulan Wanita Katolik Paroki St. Martin, Telupid.
Objektif forum ini adalah untuk memberi kesedaran kepada wanita-wanita yang berkeluarga tentang cabaran global kini yang mengugat unit-unit keluarga. Forum ini juga memperlengkapi mereka ke arah hidup seimbang; keluarga kudus sepertimana dituntut dalam ajaran Katolik. Ianya juga memberi ruang kepada mereka untuk merungkai persoalan yang selama ini terpendam dan selalu tidak berkesempatan untuk bertanya sehingga menjadi dilema kepada wanita. 
Forum telah dimulai dengan Pentakhtaan Alkitab, disusuli renungan oleh Rev. Fr. Jasery. Fr Jasery dalam sesi pertama telah banyak mengongsikan tentang pengalaman beliau ketika bertugas di Lahad Datu. Remaja juga belia terdedah dengan amalan gejala sosial yang meluas. 
Fenomena ini berlaku di mana-mana sahaja yang merosakkan pemikiran anak-anak muda dan memusnahkan keharmonian dalam sesebuah keluarga. Beliau menambah perkara ini boleh dibendung jika semua ahli KWK dapat mencontohi teladan Bonda Maria, selalu berdoa dan sentiasa hidup dalam kekudusan.
Sesi berikut telah disampaikan oleh Sr. Appollonia fsic mengenai media sosial dan impak terhadap keluarga. Kesan positif dan negatif memang nyata dalam penggunaan media sosial. Jika terlalu taksub dengan media sosial ia akan mewujudkan jurang komunikasi dalam institusi keluarga dan tidak kurangnya telah menjadi angkara kemusnahan sesebuah keluarga.
Penggunaan teknologi digalakkan, tetapi mesti dengan cara yang sihat dan perlu dipantau bagi mengelakkan kesan negatif. Peranan ibu bapa atau ahli keluarga amat penting bagi melahirkan suasana harmoni sentiasa wujud dalam keluarga.
Pada sebelah petang, forum diteruskan dengan sesi soal jawab selama 2 jam. Sdra Hashim Awang, selaku moderator telah mengendalikan sesi tersebut dengan teratur. Persoalan-persoalan berkisarkan kepada institusi keluarga telah dikemukakan dan telah dijawab oleh kedua-dua panel secara terperinci.
Pada jam 3, Jalan Salib dijalankan dan diakhiri dengan Misa Kudus.       
Kesemua peserta bersama-sama menjamu selera yang disediakan oleh kaum bapa dari lima chapel dalam Zon Jalan Nangoh dengan kerjasama belia St. Joseph, Nangoh.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Rev. Fr. Jasery E. Gabuk dan Sister Apollonia Gumpu fsic kerana sudi menjadi panel penceramah serta semua yang terlibat; peserta, penganjur serta umat setempat dalam menjayakan forum tersebut. Semoga Tuhan memberkati kita semua. Amin!

MELAYANI SESAMA DENGAN CINTAKASIH ALLAH

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent