Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 24, 2015

Perkongsian Daripada Sdri Patricia Ajun (IKD Gereja St Dominic, Lahad Datu)

Saya Patricia Ajun, berbangsa Iban dan berasal dari Miri, Sarawak.  Bertahun-tahun lamanya saya buta, tuli dan pekak terhadap perjalanan hidup rohani saya. Lahir di dalam keluarga pagan dan tidak mengenali siapakah itu Bapa, Yesus Kristus dan Roh Kudus. Sejak berumur 10 tahun, saya mengikuti gereja denominasi lain. 

Pada tahun 2008 selepas mengahwini suami saya, seorang Katolik, hati saya belum terbuka lagi. Saya masih degil dengan pendirian sendiri kerana bertahun-tahun saya dididik dengan cara Kristian Protestan. Saya tidak dapat menerima cara dan ajaran gereja Katolik. Terlalu banyak persoalan dan pertanyaan yang saya ragui mengenai ajaran gereja Katolik tetapi pada tahun 2010, saya memulakan langkah untuk mengenali ajaran Katolik di gereja St. Francis Asisi di Cheras, Selangor. 

Saya bermula dari 'meniarap,' 'merangkak,' 'berdiri dan berjalan.' Tetapi masih ada keraguan di dalam hati saya. Malangnya saya tersingkir dari menjadi calon baptis apabila saya tidak dapat menghadiri retreat untuk para calon pilihan. Walaupun sedikit kecewa, tetapi bila difikirkan semula saya bersyukur kerana Tuhan yang melihat hati itu tahu bahawa saya belum bersedia sepenuhnya.
Kemudian saya menyertai IKD di gereja  St. Dominic, Lahad Datu. Satu perubahan jelas dapat saya rasakan dari dalam lubuk hati saya. Jikalau dulu saya mengatakan saya ingin menjadi seorang Katolik kerana berkahwin dengan seorang Katolik. Kini saya ingin mengimani ajaran Katolik kerana saya sendiri yang ingin dan mahu menjadi seorang Katolik. Apa yang paling membuka hati dan minda saya adalah selepas mengikuti Rekoleksi para pilihan IKD pada bulan Mac yang lalu. Saya terus jatuh cinta kepada ajaran Katolik. Rasa terpukul pun ada. Bodoh betul saya selama ini kerana degil, keras hati dan ego tidak mahu mengenali ajaran Katolik. Segala pertanyaan dan persoalan saya terjawab.
Pergumulan terhebat saya berlaku ketika saya melakukan pengakuan dosa. Ego yang tinggi membuatkan segalanya sukar. Malam sebelum mengaku dosa, saya bergumul lagi. Patutkah atau tidak saya mengaku kerana bertahun saya hanya diajar bahawa mengaku dosa itu haruslah dilakukan terus kepada Tuhan Yesus dan bukan melalui Paderi. Malam itu saya berdoa dan terus berdoa meminta Tuhan untuk melembutkan hati saya serta membuang ego, rasa takut dan keraguan saya.  Paginya saya berdoa lagi. Di depan pejabat paderi, saya berdoa lagi sebelum mengaku. Tersangat sulit saya rasakan.  Tetapi indahnya perasaan selepas pengakuan dosa itu sehingga saya sendiri tidak dapat menggambarkannya. Pertama kali saya merasakan damai di dalam hati saya yang selama ini terbeban berat. Tersangat damai!
Saya tersangat bersyukur kali ini kerana berada di dalam komuniti gereja St. Dominic, Lahad Datu. Begitu banyak percobaan dan halangan yang saya hadapi dan hampir menggagalkan saya untuk menjadi dan mengimani Katolik. Tetapi atas sokongan dari komuniti gereja terutama pembimbing-pembimbing, rakan-rakan kelas IKD, keluarga dan penanggung, saya dapat berjuang dan bertahan demi mengimani Katolik.
Kini saya berani berkata saya bangga menjadi seorang Katolik. Walau bagaimanapun, ini hanya permulaan kerana banyak lagi yang harus saya pelajari seperti mengikuti tradisi dan ajaran Gereja dan merayakan peristiwa-peristiwa suci yang tidak ada di gereja lain. Saya sungguh-sungguh bersyukur.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent