Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 10, 2015

Perkongsian Daripada Charlie Petronilo (IKD Katedral St Mary Sandakan)

(Charlie Petronilo, masih bujang berumur 20 tahun adalah keturunan campuran Filipino dan Dusun. Dia bekerja sendiri dan melibatkan diri dalam Komuniti Kristian Dasar (KKD) Katedral St Mary, Sandakan)
Saya dilahirkan dalam keluarga Katolik namun belum dibaptis.  Setelah saya dewasa, saya terdorong oleh keinginan sendiri untuk mengetahui dengan lebih lanjut siapakah Yesus dan apakah ajaran-Nya kepada orang-orang Kristian melalui gereja Katolik.
Sebelum saya mengenal Yesus, saya seringkali menyakiti hati orang lain dengan kata-kata yang kurang menyenangkan.  Namun saya akhirnya sedar bahawa jalan hidup yang seolah-olah terombang-ambing tanpa keyakinan yang pasti ini, membuatkan saya ingin menukar cara hidup kepada cara yang lebih bermakna.  Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk mengenali Yesus dengan lebih dekat lagi kerana bagi orang Kristian Dia adalah Juruselamat dunia.
Saya mendengar mengenai IKD melalui teman-teman.  Saya juga pernah mendengar teman-teman di sekeliling saya mengatakan sekiranya mahu menjadi seorang Katolik secara sah maka kita perlulah dibaptis.  Untuk dibaptis kita mestilah menghadiri kelas yang dipanggil “IKD” ~ Inisiasi Kristian Dewasa.
Saya kemudiannya membuat keputusan untuk menyertai kelas IKD ini kerana saya benar-benar ingin mengimani Yesus Sang Juruselamat serta mengenaliNya dengan lebih lanjut lagi.
Semasa mengikuti kelas tersebut saya mempelajari banyak perkara mengenai iman Katolik.  Perkongsian hidup dan iman yang saya dengar daripada teman-teman dan para pembimbing amat mendorong saya untuk lebih percaya kepada Yesus.  Sabda Tuhan yang selalu memberi kekuatan kepada saya adalah “Akulah Jalan dan Kebenaran dan Hidup. Tidak seorang pun datang kepada Bapa kalau tidak melalui Aku.” ~ (Yohanes 14 : 6.)  Saya mulai merasakan bahawa Yesus sungguh adalah jalan untuk kita memperolehi keselamatan.
Setelah hampir setahun saya menyertai proses IKD ini, saya merasakan banyak perubahan yang telah saya alami dalam diri saya.  Saya kini lebih kerap datang ke gereja dan kehidupan saya juga lebih bermakna serta terasa lengkap dengan doa-doa yang saya panjatkan kepada Allah Bapa melalui Yesus.  Hidup saya kini lebih gembira.  Saya bukan sahaja memiliki iman terhadap Yesus tetapi dalam komunititi IKD ini juga saya mendapat ramai teman seangkatan yang ingin berjalan bersama-sama dengan saya untuk menuju kepada kehidupan yang kekal melalui iman Katolik ini.
Saya berazam akan terus aktif dan cuba melibatkan diri dalam pelayanan-pelayanan dalam gereja selepas saya dibaptis. Amen!

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent