Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 30, 2015

Hujung Minggu Roh Kudus - Alpha

Oleh Martha Chia
Sandakan : Acara kemuncak bagi kursus Alpha dalam konteks Katolik ialah Retret Hujung Minggu atau dikenali sebagai Hujung Minggu Roh Kudus (Holy Spirit Weekend Away). Seramai 24 peserta serta fasilitator telah mengikuti Retret ini yang dilaksanakan di Pusat Retret Keuskupan Sandakan Batu 28, Ulu Dusun, Sandakan pada 25 dan 26 April 2015.
Tujuan utama retret in adalah untuk memberi peluang kepada para  peserta untuk mendalami dan mengenali “Roh Kudus” dengan lebih dekat lagi. Retret pada kali ini bermula dengan ceramah “Siapakah Roh Kudus” dan “Apakah yang dibuat oleh Roh Kudus?”
Aktiviti sepanjang Retret dijalankan dalam bentuk ceramah dan aktiviti riadah seperti permainan. Retret kali ini turut memuatkan sesi Monolog dengan Tuhan Yesus, sesi hening untuk sesi ‘Penyerahan Diri’. Monolog ini membolehkan para peserta membuat refleksi dan memohon secara peribadi kepada Tuhan Yesus.
Selain iman yang telah diperbaharui dan diperkuatkan, hubungan persahabatan di antara para peserta juga telah terjalin dengan begitu rapat sekali. Setiap peserta berasa amat tersentuh dengan cinta kasih Allah yang terpancar dalam diri sesama dan bersedia untuk menggalas misi menyebarkan Khabar Gembira ini kepada orang lain.
Berpaksikan kepada Injil Tuhan bahawa Dia harus semakin besar dan kita harus semakin kecil (Yohanes 3 :30), diharap agar kursus Alpha dalam konteks Katolik ini akan dapat membantu mengukuhkan pemahaman para peserta tentang iman Kristian.
Mereka yang berminat untuk mendalami iman Kristian juga dialu-alukan untuk menyertai kursus ini pada masa hadapan. Semoga kursus ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang.
“Thank God I’m Forgiven” (TGIF)
Puji Tuhan.
Testimoni 1 - Daphney
Saya mula mengenali dan mendengar tentang kursus Alpha sejak dari Penampang, Kota Kinabalu lagi. Kursus yang saya sertai pada kali ini di Sandakan, adalah lengkap kerana dapat dihabiskan sehingga ke Hujung Minggu Roh Kudus. Puji Tuhan! Walaupun pernah mengikuti sesi  Alpha sebelum ini, namun penyertaan kali ini lebih bermakna kerana impak yang mendalam. Retret Hujung Minggu atau Holy Spirit Weekend Away telah memberikan kesan yang mendalam kepada diri saya. Sesi Ministry Hour dan Monolog dengan Tuhan Yesus amat bermakna bagi diri saya kerana pada saat Ministry Hour, saya amat tersentuh. Perasaan rindu akan pelayanan dalam ladang Tuhan muncul semula dan timbul keinginan untuk kembali kepada pelayanan dalam ladang Tuhan. Sebelum ini saya aktif dalam pelayanan tetapi disebabkan tuntutan kerja, pelayanan di gereja semakin terhad. Sesi Monolog dengan Tuhan Yesus sekali lagi menyentuh sanubari saya. Sesi ini benar-benar membuatkan saya ingin membuang semua yang terbuku di dalam hati. Kami diberi masa untuk menulis doa dan permohonan kepada Yesus dan memakukan doa itu di kayu salib untuk dibakar. Sekali lagi perasaan sedih menyelubungi saya kerana saya merasakan Tuhan Yesus sudah pun menyelamatkan saya dari dosa dengan mati di kayu salib inikan lagi saya ingin menambah bebannya dengan memakukan semua beban yang saya pikul di kayu salibNya. Kedua-dua sesi inilah yang benar-benar telah menyentuh hati saya sepanjang kursus Alpha tahun ini. Saya pasti akan menyebarkan kepada rakan-rakan lain tentang kursus ini. Puji Tuhan kerana saya telah diampuni. Amen!
Testimoni 2 – Christella Raimin
Saya berasal dari Tamparuli dan bukan pertama kali mendengar tentang Alpha. Saya kini bekerja di Pusat Kebajikan Good Shepherd (PKGS). Saya mengikuti kursus Alpha tahun ini kerana perasaan ingin tahu bagaimana kursus ini dijalankan. Selaku ketua program di PKGS bagi program kanak-kanak,  saya mempunyai banyak tugas dan aktiviti yang perlu dirancang dan dilaksanakan. Saya teruja mengikuti program Alpha kerana kursus ini bukan diatur oleh saya sendiri dan saya mahu merasai semula perasaan menjadi peserta. Apa yang saya pelajari semasa mengikuti kursus Alpha ini adalah kursus banyak mengupas soalan-soalan asas tentang Kristian seperti Siapakah Yesus? Mengapakah Yesus mati? Apakah Tuhan masih menyembuh? Soalan-soalan asas yang selalu kita dengar tetapi jarang kita bincangkan secara mendalam. Namun kursus Alpha telah memberikan saya peluang untuk mendalami perkara-perkara asas dalam hidup Kristiani. Syukur pada Tuhan, saya berjaya menghabiskan kursus ini sehingga hujung minggu Roh Kudus kerana pada mulanya, saya tidak mempunyai niat untuk mengikuti hujung minggu Roh Kudus ini disebabkan oleh kekangan kerja. Namun, Roh Kudus pasti bekerja di dalam saya dan saya berjaya menghabiskan kursus ini. Puji Tuhan. Amen!

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent