Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 12, 2020

Adorasi & 'Benediction' anjuran KBP Sandakan

oleh Kerasulan Belia Paroki Katedral St. Mary, Sandakan

Sandakan - Kerasulan Belia Paroki Katedral St Mary, Sandakan (KBP) buat julung kalinya telah mengadakan Adorasi dan ‘Benediction’ yang telah disiarkan secara langsung pada 9 November 2020 yang lalu.  Usaha ini bagi menyahut seruan gereja khususnya di Keuskupan Sandakan dan amnya bagi Paroki Sandakan untuk memberi peluang kepada para umat menyertai Adorasi & ‘Benediction’ secara maya yang terhenti akibat pandemik covid-19.

Adorasi dan ‘Benediction’ berdurasi sejam ini dilaksanakan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP).  Seramai 83 ‘viewers’ direkodkan sepanjang siaran langsung ini dan beberapa umat telah menghantar gambar sebagai tanda sokongan.

Berikut adalah beberapa gambar yang diperolehi daripada umat semasa Adorasi & ‘Benediction’ berlangsung. 

Saudari Susan Petrus dan Venessa William, Paroki Sandakan

Saudari Esther Ekok dan Keluarga, Paroki Sandakan

Saudara Horatio Nelson Janing

Saudari Esther John dan Keluarga, Paroki Tawau

KBP komited bahawa dengan norma baharu ini, cara penyampaian program kerohanian yang boleh dilakukan buat masa kini adalah melalui siaran langsung sepanjang tempoh kawalan pergerakkan ini.  Ia bagi memastikan semua umat mendapat suntikan rohani, memperolehi kekuatan melalui program kerohanian dan mengembalikan semula keyakinan sesetengah umat yang perlahan-lahan pudar.  Kekal di rumah, kekal selamat.
Saudara Ronald A. Premus, Paroki Sandakan

Saudari Anna Teresa Peter Amandus, Paroki Sandakan

Monday, November 9, 2020

PERTEMUAN SANTAI SECARA ALAM MAYA

Disediakan oleh Martinus Simon

Pada 3 November 2020 lalu bersamaan dengan hari selasa, para belia Sto. Dominic, Lahad Datu telah mengadakan perjumpaan secara alam maya dengan menggunakan aplikasi Zoom. Aplikasi ini telah digunakan secara meluas dan tidak asing lagi oleh masyarakat pada masa kini. Ini merupakan percubaan kali pertama bagi Tim Kerasulan Belia Paroki (KBP) dalam menjayakan perjumpaan atas talian ini. Syukur dan puji Tuhan, seramai 9 orang ahli Tim bersama – sama dengan 7 orang belia paroki telah mengikuti perjumpaan ini.


Seawal 6.30pm, para tim KBP telah memulakan kemasukan aplikasi bagi perjumpaan tersebut khas bagi para tim dan di teruskan dengan sedikit ice breaking. Kemeriahan pertemuan itu tidak lekang sehingga Sr. Rusiah Garuk menyertai perjumpaan tersebut pada jam  7.00pm. Sapaan mesra dan salaman secara maya antara sesama diteruskan sementara menanti belia-belia yang lain.

Sekitar 7.20 malam, perjumpaan ini telah dimulakan dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh Sr. Rusiah Garuk. Sebaik sahaja doa tersebut, para belia dijemput untuk mendengarkan petikan Injil pada hari itu iaitu dari karangan Sto. Lukas (14 : 15 – 24) yang dibacakan oleh Saudara Udin Gabriel, salah seorang daripada belia yang hadir. 

Injil tersebut menceritakan tentang seorang pemuda yang ingin mengadakan perjamuan besar dan ramai tetamu telah diundang. Namun, para tetamu undangan memohon maaf  dan  telah memberikan seribu satu alasan sehinggakan tidak dapat menghadirkan diri ke perjamuan itu. Lalu hal itu menimbulkan rasa murka kepada sang tuan yang empunya majlis tersebut dan telah menyuruh hambanya ke jalanan untuk menjemput orang - orang miskin, buta dan yang lumpuh untuk datang dan menikmati perjamuan tuannya.

Setelah hampir 3 minit merenungkan petikan injil itu, para belia diajak untuk mengongsikan secara peribadi, renungan yang dapat di ilhamkan berdasarkan kepada petikan injil tersebut. Perkongsian ini tidak terhad hanya berdasarkan petikan Injil malah para belia yang hadir juga diberi peluang untuk menyuarakan apa-apa hal yang mungkin ingin di kongsikan pada waktu itu. Atas dorongan kuasa Roh Kudus, kesemua belia yang hadir telah menyuarakan perkongsian mereka dengan penuh emosi.


Rata – rata para belia telah menyuarakan kesan daripada pandemik Covid-19 yang sememangnya memberikan impak yang sangat drastik, bukan sahaja kehidupan seharian mereka, tetapi juga kehidupan rohani mereka. Tidak kurang juga mereka yang mengongsikan keluhan yang kian mencengkam jiwa rohani mereka akibat daripada suasana dunia pada masa kini, khususnya hal-hal di sekeliling mereka termasuklah hal – hal yang terjadi di dalam keluarga yang mereka cintai. Namun begitu, beberapa belia juga dengan penuh rasa syukur mengambil situasi pandemik ini sebagai satu kesempatan yang positif, dimana mereka dapat belajar sesuatu yang tidak pernah mereka hadapi atau temukan. Dalam keadaan beginilah para belia diingatkan supaya sentiasa berbalik kepada juruselamat yang di Imani - Yesus Kristus. 


Setiap perkongsian yang penuh perasaan dari peribadi mereka seakan – akan memperkaya sesama mereka, memperkuat, memperteguhkan lagi iman dan mendorong antara satu sama lain. Melalui perkongsian iman ini juga, perasaan rindu dalam kebersamaan kian dipenuhi dan hal ini bukan sahaja dapat memberikan semangat baru bagi kerohanian mereka, tapi juga semangat yang mahu meneruskan perjuangan di badai kehidupan mereka.


Sedar tidak sedar, perkongsian di antara sesama berlanjutan hampir 2 jam. Ternyata, perkongsian ini sangat dicemburui oleh masa dan tiba waktu untuk mereka menamatkan perjumpaan alam maya tersebut. Sebelum itu, sempat juga disuarakan keinginan oleh sesetengah belia supaya perjumpaan seperti ini dapat dilakukan lagi di masa yang akan datang dan mungkin dengan kekerapan yang ideal. Perjumpaan ini di akhiri dengan doa penutup yang singkat yang telah di pimpin oleh Joseph Laba, dari tim KBP. Perjumpaan alam maya tersebut berakhir pada sekitar jam 9.30pm.

 

Monday, November 2, 2020

CARITAS MALAYSIA - KEUSKUPAN SANDAKAN: PERBINCANGAN KUMPULAN FOKUS

Pertemuan secara atas talian dengan menggunakan aplikasi Google Meet

Pada 24 Oktober 2020 yang lalu satu Perbincangan Kumpulan Fokus (Fokus Group Discussion atau FGD) telah diadakan menerusi atas talian dengan menggunakan aplikasi Google Meet. Seramai 20 peserta mewakili paroki - paroki yang ada di Keskupan Sandakan telah mengikuti perbincangan ini. Mereka termasuklah Rev. Fr. Phillip Anthony Muji, dua religus Sister dari Kongregasi FSIC dan18 pemimpin umat awam.

FGD atau Perbincangan Kumpulan Fokus diadakan khusus untuk mendapatkan maklumat berkenaan situasi di komuniti - komuniti seluruh Keuskupan Sandakan. Respon yang diperolehi amat penting agar pihak Pastoral Keuskupan terutama sekali Caritas Diosis dapat memahami situasi yang dihadapi oleh orang - orang di dalam komuniti tersebut. Ini merupakan langkah pertama, meskipun secara sederhana dapat membantu Carita Keuskupan dan Paroki untuk merenung, merancang dan membentuk pelan tindakan yang sesuai untuk memenuhi keperluan komuniti yang terlibat. 

Pertemuan ini telah dimulakan dengan doa pembukaan oleh Rev. Fr. Phillip Anthony Muji dan seterusnya ucapan pembukaan dari Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom.


Di awal ucapannya, beliau telah memberi sedikit sebanyak sejarah tentang kewujudan Caritas dan misi utamanya iaitu berusaha membina dunia yang lebih baik, terutama bagi golongan miskin dan yang tertindas. Selain itu beliau juga menjelaskan bahawa struktur yang sudah sedia ada iaitu Komisi Pembangunan Insan Keuskupan akan diguna pakai sebagai dasar. Ini adalah untuk mengelak daripada adanya pertindihan kerja kerana komisi ini juga menjalankan kegiatan - kegiatan yang mempunyai tanggungjawab sama seperti Caritas. Segala kegiatan amal yang dijalankan di peringkat Paroki akan diteruskan dan dilaksanakan dibawah Caritas.

Bapa Uskup juga telah menyatakan rasa syukur kerana Ajaran Sosial Gereja telah diperkenalkan di Keuskupan sejak penubuhan Komisi Pembangunan Insan melalui bantuan Kongregasi Good Shepherd Sisters iaitu Sr. Maria Dipal,rgs. Maka dengan pengetahuan ini, amat mudah bagi Keuskupan memahami misi Caritas kerana ia juga menjadikan Ajaran Sosial Gereja sebagai panduan dan teras dalam misi sosialnya.

Tambahan, beliau berharap agar perbincangan kumpulan fokus ini akan membuahkan hasil yang diharapkan iaitu mendengar suara - suara dari akar umbi. Adalah menjadi tanggungjawab tim pelaksana untuk memahami impian komuniti - komuniti setempat dan menjadikan ia sebagai panduan dalam menjalankan misi di setiap paroki. Di akhir ucapan, Bapa Uskup berharap agar Caritas di peringkat paroki dapat bekerjsama dan berjalan rapat dengan Paderi Paroki dan pembantunya agar apa sahaja kegiatan pastoral sosial dapat dijalankan dengan lancar.

Selesai sahaja ucapan dari Bapa Uskup, sesi diteruskan dengan pengenalan kepada Caritas Malaysia. Semoga melalui pengenalan ini para peserta akan dapat memahami peranan utama Caritas dan bagaimana keuskupan Sandakan juga boleh membantu dalam misi pelayanan sosial ini.

Pada 7 Januari 2020 yang lalu dalam mesyuarat Konferensi Para Uskup Malaysia - Singapura - Brunei, para uskup telah sebulat suara bersetuju untuk mewujudkan Caritas di Malaysia. Mereka telah melantik Bapa Uskup Bernard Paul sebagai Presiden dan Saudara Charles Bertille sebagai setiausaha esekutif bagi Caritas Malaysia. Maka sejak pada hari itu Caritas mulai diwujudkan secara perlahan - lahan di setiap Keuskupan di Malaysia. 


Caritas yang bermaksud amal atau kasih merupakan satu badan pelayanan dengan misi untuk melayani yang miskin dan memerlukan, membantu dalam hal - hal kemanusiaan dan membantu menyebarkan amal dan keadilan dalam dunia yang berlandaskan Firman dan ajaran Gereja Katolik. Selain daripada penglibatan para paderi dan religus, Caritas juga ingin memperkasakan umat awam dalam memainkan peranan untuk membawa mesej Injil dan Gereja di tempat umum melalui pelayanan Caritas dan kesaksian sebagai seorang Kristian. Ia juga berfungsi sebagai 'organ' rasmi bagi Gereja - Gereja Katolik Malaysia di bawah Konferensi Para Uskup, berkenaan hal mempromosikan amal dan bantuan, kesatuan pembangunan insan, dan keadilan ekologi.

Sejurus selepas pengenalan Caritas, para peserta di bawa dalam sesi perbincangan kumpulan fokus. Pihak penganjur telah terlebih dahulu bertemu untuk membincangkan dan menyenaraikan isu - isu yang berlaku di komuniti tempatan. Dari senarai isu yang banyak, mereka telah menyenarai pendekkan isu tersebut kepada satu isu utama iaitu peluang mencari nafkah hidup untuk menyara diri dan keluarga (livelihood opportunity). 


Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada dua kumpulan dan telah diberikan soalan - soalan berikut sebagai panduan bagi perbincangan mereka:
  1. Apakah sebab - sebab bagi isu utama ini?
  2. Siapa yang paling terkesan dari isu utama ini? Apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi penderitaan mereka? Siapa yang akan memainkan peranan untuk mengurangkan penderitaan mereka?
  3. Apakah sumber - sumber yang komuniti ini aa untuk mengambil tindakan terhadap isu ini? Apakah sokongan yang mereka perlukan dari luar untuk meneruskan tindakan bagi hal ini?
  4. Apakah aspirasi / impian komuniti anda?
Hasil daripada perbincangan para peserta ini telah diambil, direkodkan dan disatukan menjadi satu laporan oleh pihak penganjur. Penemuan hasil dari perbincangan kumpulan fokus ini juga di telah dibentang dalam pertemuan Caritas - Caritas peringkat negeri Sabah dan gabungan laporan antara ketiga - tiga Keuskupan ini akan dibentang dalam Perhimpunan National Caritas Malaysia yang akan diadakan pada awal bulan November 2020.

Sesi perbincangan ini telah diakhiri dengan perkongsian singkat dari kedua - dua kumpulan, diikuti dengan rumusan ringkas oleh saudara Kletus Muyuk dan doa penutup oleh Rev, Fr. Phillip Anthony Muji.

"Saya lebih menyukai Gereja yang lebam, terluka dan kotor kerana telah keluar di jalan – jalan, daripada Gereja yang sakit kerana menutup diri dan nyaman melekat pada rasa amannya sendiri" - Sukacita Injil no. 49

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent