Pada 24 Oktober 2020 yang lalu satu Perbincangan Kumpulan Fokus (Fokus Group Discussion atau FGD) telah diadakan menerusi atas talian dengan menggunakan aplikasi Google Meet. Seramai 20 peserta mewakili paroki - paroki yang ada di Keskupan Sandakan telah mengikuti perbincangan ini. Mereka termasuklah Rev. Fr. Phillip Anthony Muji, dua religus Sister dari Kongregasi FSIC dan18 pemimpin umat awam.
FGD atau Perbincangan Kumpulan Fokus diadakan khusus untuk mendapatkan maklumat berkenaan situasi di komuniti - komuniti seluruh Keuskupan Sandakan. Respon yang diperolehi amat penting agar pihak Pastoral Keuskupan terutama sekali Caritas Diosis dapat memahami situasi yang dihadapi oleh orang - orang di dalam komuniti tersebut. Ini merupakan langkah pertama, meskipun secara sederhana dapat membantu Carita Keuskupan dan Paroki untuk merenung, merancang dan membentuk pelan tindakan yang sesuai untuk memenuhi keperluan komuniti yang terlibat.
Pertemuan ini telah dimulakan dengan doa pembukaan oleh Rev. Fr. Phillip Anthony Muji dan seterusnya ucapan pembukaan dari Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom.
Di awal ucapannya, beliau telah memberi sedikit sebanyak sejarah tentang kewujudan Caritas dan misi utamanya iaitu berusaha membina dunia yang lebih baik, terutama bagi golongan miskin dan yang tertindas. Selain itu beliau juga menjelaskan bahawa struktur yang sudah sedia ada iaitu Komisi Pembangunan Insan Keuskupan akan diguna pakai sebagai dasar. Ini adalah untuk mengelak daripada adanya pertindihan kerja kerana komisi ini juga menjalankan kegiatan - kegiatan yang mempunyai tanggungjawab sama seperti Caritas. Segala kegiatan amal yang dijalankan di peringkat Paroki akan diteruskan dan dilaksanakan dibawah Caritas.
Bapa Uskup juga telah menyatakan rasa syukur kerana Ajaran Sosial Gereja telah diperkenalkan di Keuskupan sejak penubuhan Komisi Pembangunan Insan melalui bantuan Kongregasi Good Shepherd Sisters iaitu Sr. Maria Dipal,rgs. Maka dengan pengetahuan ini, amat mudah bagi Keuskupan memahami misi Caritas kerana ia juga menjadikan Ajaran Sosial Gereja sebagai panduan dan teras dalam misi sosialnya.
Tambahan, beliau berharap agar perbincangan kumpulan fokus ini akan membuahkan hasil yang diharapkan iaitu mendengar suara - suara dari akar umbi. Adalah menjadi tanggungjawab tim pelaksana untuk memahami impian komuniti - komuniti setempat dan menjadikan ia sebagai panduan dalam menjalankan misi di setiap paroki. Di akhir ucapan, Bapa Uskup berharap agar Caritas di peringkat paroki dapat bekerjsama dan berjalan rapat dengan Paderi Paroki dan pembantunya agar apa sahaja kegiatan pastoral sosial dapat dijalankan dengan lancar.
Selesai sahaja ucapan dari Bapa Uskup, sesi diteruskan dengan pengenalan kepada Caritas Malaysia. Semoga melalui pengenalan ini para peserta akan dapat memahami peranan utama Caritas dan bagaimana keuskupan Sandakan juga boleh membantu dalam misi pelayanan sosial ini.
Pada 7 Januari 2020 yang lalu dalam mesyuarat Konferensi Para Uskup Malaysia - Singapura - Brunei, para uskup telah sebulat suara bersetuju untuk mewujudkan Caritas di Malaysia. Mereka telah melantik Bapa Uskup Bernard Paul sebagai Presiden dan Saudara Charles Bertille sebagai setiausaha esekutif bagi Caritas Malaysia. Maka sejak pada hari itu Caritas mulai diwujudkan secara perlahan - lahan di setiap Keuskupan di Malaysia.
Caritas yang bermaksud amal atau kasih merupakan satu badan pelayanan dengan misi untuk melayani yang miskin dan memerlukan, membantu dalam hal - hal kemanusiaan dan membantu menyebarkan amal dan keadilan dalam dunia yang berlandaskan Firman dan ajaran Gereja Katolik. Selain daripada penglibatan para paderi dan religus, Caritas juga ingin memperkasakan umat awam dalam memainkan peranan untuk membawa mesej Injil dan Gereja di tempat umum melalui pelayanan Caritas dan kesaksian sebagai seorang Kristian. Ia juga berfungsi sebagai 'organ' rasmi bagi Gereja - Gereja Katolik Malaysia di bawah Konferensi Para Uskup, berkenaan hal mempromosikan amal dan bantuan, kesatuan pembangunan insan, dan keadilan ekologi.
Sejurus selepas pengenalan Caritas, para peserta di bawa dalam sesi perbincangan kumpulan fokus. Pihak penganjur telah terlebih dahulu bertemu untuk membincangkan dan menyenaraikan isu - isu yang berlaku di komuniti tempatan. Dari senarai isu yang banyak, mereka telah menyenarai pendekkan isu tersebut kepada satu isu utama iaitu peluang mencari nafkah hidup untuk menyara diri dan keluarga (livelihood opportunity).
Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada dua kumpulan dan telah diberikan soalan - soalan berikut sebagai panduan bagi perbincangan mereka:
- Apakah sebab - sebab bagi isu utama ini?
- Siapa yang paling terkesan dari isu utama ini? Apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi penderitaan mereka? Siapa yang akan memainkan peranan untuk mengurangkan penderitaan mereka?
- Apakah sumber - sumber yang komuniti ini aa untuk mengambil tindakan terhadap isu ini? Apakah sokongan yang mereka perlukan dari luar untuk meneruskan tindakan bagi hal ini?
- Apakah aspirasi / impian komuniti anda?
Hasil daripada perbincangan para peserta ini telah diambil, direkodkan dan disatukan menjadi satu laporan oleh pihak penganjur. Penemuan hasil dari perbincangan kumpulan fokus ini juga di telah dibentang dalam pertemuan Caritas - Caritas peringkat negeri Sabah dan gabungan laporan antara ketiga - tiga Keuskupan ini akan dibentang dalam Perhimpunan National Caritas Malaysia yang akan diadakan pada awal bulan November 2020.
Sesi perbincangan ini telah diakhiri dengan perkongsian singkat dari kedua - dua kumpulan, diikuti dengan rumusan ringkas oleh saudara Kletus Muyuk dan doa penutup oleh Rev, Fr. Phillip Anthony Muji.
"Saya lebih menyukai Gereja yang lebam, terluka dan kotor kerana telah keluar di jalan – jalan, daripada Gereja yang sakit kerana menutup diri dan nyaman melekat pada rasa amannya sendiri" - Sukacita Injil no. 49
No comments:
Post a Comment