Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 10, 2015

Perkongsian Daripada Willie Endrie (IKD Katedral St Mary Sandakan)

(Willie Endrie, asalnya dari Kristian denominasi lain telah mendirikan rumah tangga. Dia adalah seorang Dusun, berumur 26 tahun dan berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Hospital DOK Sandakan.)
Asalnya saya adalah dari denominasi/gereja SIB (Sidang Injil Borneo).  Saya mendirikan rumah tangga bersama isteri saya yang sememangnya adalah seorang Katolik.  Setelah mendirikan rumah tangga, kami akhirnya memutuskan untuk mengikuti Yesus melalui satu cara sahaja iaitu melalui iman Katolik. 
Sebelum mengenali Yesus melalui iman Katolik ini, saya menganggap bahawa orang-orang Katolik ini adalah sombong dan tidak suka berkawan dengan orang-orang dari denominasi/aliran gereja yang lain.  Saya juga mempunyai sikap yang sukar untuk saya atasi iaitu “malas”.  Dalam pada itu, saya menyedari bahawa saya harus mengubah tabiat hidup agar hidup menjadi lebih bermakna.   
Atas dorongan isteri tersayang, saya akhirnya mengetahui bahawa untuk menjadi seorang Katolik saya perlu menyertai kelas yang dinamakan IKD.  Berbekalkan semangat serta perasaan ingin tahu apakah yang dikatakan “Iman Katolik” itu, maka saya pun mengikuti kelas tersebut.  Saya berharap sangat dapat mempelajari iman Katolik ini disamping mengetahui perayaan-perayaan besar yang dirayakan di dalam gereja Katolik.
Banyak perkara baru yang dapat saya pelajari semasa menghadiri kelas IKD, antaranya adalah sejarah tertubuhnya gereja Katolik, Sakramen dan Doa.  Saya sangat bersyukur kerana dapat mengenal iman Katolik melalui kelas IKD ini. 
Injil Matius 5: 13-16, “Kamu adalah garam dan terang dunia.....” adalah petikan yang sangat mendorong serta menguatkan hati dan iman saya.  Yesus adalah contoh Terang dan Garam dunia yang unggul sekali.  Bagi saya Dialah jalan penyelamatan untuk semua orang. 
Saya amat bersyukur kerana setelah mempelajari iman Katolik melalui kelas IKD ini saya dapat merasakan perubahan yang amat ketara di dalam diri saya.  Kalau dahulunya saya merasa banyak kekuatiran dan kebimbangan, namun sekarang saya tidak merasakan semua itu lagi.  Dengan iman Katolik yang tersemat dan terpahat di hati saya, saya menjadi lebih yakin dan lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran dalam hidup kerana saya pasti Yesus ada bersama-sama saya. Kini kehidupan saya lebih ceria dan perasaan menghormati orang lain telah wujud dalam diri saya yang menjadikan saya jauh berbeza daripada diri saya yang sebelum ini.
Saya juga amat bersyukur kerana akhirnya saya dapat mengikuti perayaan Ekaristi bersama-sama dengan isteri saya. Saya ingin terus melayani Tuhan dalam apa jua aktiviti dalam gereja yang memerlukan penyertaan saya. Amen!

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent