Oleh Martha
Chia
Sandakan : Acara kemuncak bagi kursus Alpha dalam konteks Katolik ialah Retret
Hujung Minggu atau dikenali sebagai Hujung Minggu Roh Kudus (Holy Spirit Weekend Away). Seramai 24 peserta serta fasilitator telah mengikuti Retret ini yang dilaksanakan di Pusat Retret Keuskupan Sandakan Batu 28, Ulu
Dusun, Sandakan pada 25 dan 26 April 2015.
Tujuan utama retret in adalah untuk
memberi peluang kepada para peserta
untuk mendalami dan mengenali “Roh Kudus” dengan lebih dekat lagi. Retret pada
kali ini bermula dengan ceramah “Siapakah Roh Kudus” dan “Apakah yang dibuat
oleh Roh Kudus?”
Aktiviti sepanjang Retret dijalankan dalam bentuk ceramah dan aktiviti riadah seperti permainan. Retret kali ini turut memuatkan sesi Monolog dengan Tuhan Yesus, sesi hening untuk sesi ‘Penyerahan Diri’. Monolog ini membolehkan para peserta membuat refleksi dan memohon secara peribadi kepada Tuhan Yesus.
Selain iman yang telah diperbaharui dan diperkuatkan, hubungan persahabatan di antara para peserta juga telah terjalin dengan begitu rapat sekali. Setiap peserta berasa amat tersentuh dengan cinta kasih Allah yang terpancar dalam diri sesama dan bersedia untuk menggalas misi menyebarkan Khabar Gembira ini kepada orang lain.
Berpaksikan kepada Injil Tuhan bahawa Dia harus semakin besar dan kita harus semakin kecil (Yohanes 3 :30), diharap agar kursus Alpha dalam konteks Katolik ini akan dapat membantu mengukuhkan pemahaman para peserta tentang iman Kristian.
Mereka yang berminat untuk mendalami iman Kristian juga dialu-alukan
untuk menyertai kursus ini pada masa hadapan. Semoga kursus ini dapat diteruskan
lagi pada tahun-tahun akan datang.
“Thank God I’m Forgiven” (TGIF)
Puji Tuhan.
Saya mula mengenali dan
mendengar tentang kursus Alpha sejak dari Penampang, Kota Kinabalu lagi. Kursus yang
saya sertai pada kali ini di Sandakan, adalah lengkap kerana dapat dihabiskan
sehingga ke Hujung Minggu Roh Kudus. Puji Tuhan! Walaupun pernah mengikuti
sesi Alpha sebelum ini, namun penyertaan
kali ini lebih bermakna kerana impak yang mendalam. Retret Hujung Minggu atau Holy Spirit Weekend Away telah
memberikan kesan yang mendalam kepada diri saya. Sesi Ministry Hour dan Monolog
dengan Tuhan Yesus amat bermakna bagi diri saya kerana pada saat Ministry Hour, saya amat tersentuh.
Perasaan rindu akan pelayanan dalam ladang Tuhan muncul semula dan timbul
keinginan untuk kembali kepada pelayanan dalam ladang Tuhan. Sebelum ini saya
aktif dalam pelayanan tetapi disebabkan tuntutan kerja, pelayanan di gereja
semakin terhad. Sesi Monolog dengan Tuhan Yesus sekali lagi menyentuh sanubari
saya. Sesi ini benar-benar membuatkan saya ingin membuang semua yang terbuku di
dalam hati. Kami diberi masa untuk menulis doa dan permohonan kepada Yesus dan
memakukan doa itu di kayu salib untuk dibakar. Sekali lagi perasaan sedih
menyelubungi saya kerana saya merasakan Tuhan Yesus sudah pun menyelamatkan
saya dari dosa dengan mati di kayu salib inikan lagi saya ingin menambah bebannya
dengan memakukan semua beban yang saya pikul di kayu salibNya. Kedua-dua sesi
inilah yang benar-benar telah menyentuh hati saya sepanjang kursus Alpha tahun
ini. Saya pasti akan menyebarkan kepada rakan-rakan lain tentang kursus ini.
Puji Tuhan kerana saya telah diampuni. Amen!
Testimoni 2 – Christella Raimin
Saya berasal dari
Tamparuli dan bukan pertama kali mendengar tentang Alpha. Saya kini bekerja di
Pusat Kebajikan Good Shepherd (PKGS). Saya mengikuti kursus Alpha tahun ini
kerana perasaan ingin tahu bagaimana kursus ini dijalankan. Selaku ketua
program di PKGS bagi program kanak-kanak, saya mempunyai banyak tugas dan
aktiviti yang perlu dirancang dan dilaksanakan. Saya teruja mengikuti program Alpha
kerana kursus ini bukan diatur oleh saya sendiri dan saya mahu merasai semula perasaan
menjadi peserta. Apa yang saya pelajari semasa mengikuti kursus Alpha ini
adalah kursus banyak mengupas soalan-soalan asas tentang Kristian seperti
Siapakah Yesus? Mengapakah Yesus mati? Apakah Tuhan masih menyembuh? Soalan-soalan
asas yang selalu kita dengar tetapi jarang kita bincangkan secara mendalam.
Namun kursus Alpha telah memberikan saya peluang untuk mendalami perkara-perkara
asas dalam hidup Kristiani. Syukur pada Tuhan, saya berjaya menghabiskan kursus ini
sehingga hujung minggu Roh Kudus kerana pada mulanya, saya tidak mempunyai niat
untuk mengikuti hujung minggu Roh Kudus ini disebabkan oleh kekangan kerja.
Namun, Roh Kudus pasti bekerja di dalam saya dan saya berjaya menghabiskan
kursus ini. Puji Tuhan. Amen!