Saya Fiona Liew Siew Ping, berasal dari Tamparuli, Sabah. Saya mengikuti program IKD di Gereja Holy Trinity Tawau pada April 2013. Sepanjang mengikuti IKD, banyak perubahan yang berlaku dalam diri saya dari segi kerohanian yang banyak memberi kekuatan dalam hidup saya. Saya percayaTuhan sentiasa memberkati saya dan keluarga saya.
Saya pada mulanya merupakan seorang yang tidak beragama tetap. Saya banyak menghadiri serta mengikuti ajaran-ajaran gereja-gereja lain. Secara jujurnya, tidak ada satu pun dari gereja tersebut dapat membuka hati saya untuk mengenal siapa itu Tuhan. Saya sekadar mengikuti kawan-kawan menghadiri aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.
Pada 16hb Januari 2013, saya telah mendapat berkat perkahwinan saya di Gereja Katolik, bersamaan dengan itu, kedua-dua anak saya dibaptis yang pada ketika itu berumur 2 tahun dan 10 bulan. Dari situ tergerak hati saya untuk mahu lebih mengenali siapa itu Yesus. Dan saya mendaftarkan diri dalam program IKD pada tahun itu juga.
Benar kata-kata pembimbing IKD pada waktu itu, di mana ia mengatakan bahwa banyak halangan, rintangan dan cabaran yang akan kami lalui dalam pembelajaran kerana si iIblis begitu tidak senang sekali saya ingin lebih mengenali Juruselamat.
Saya masih ingat lagi di mana pada bulan Julai, hari Ahad, anak saya mengalami demam panas yang sangat teruk. Walaupun setelah diberi ubat, panasnya tidak turun juga dan saya menjadi risau kerana saya tidak dapat menghadiri Kelas IKD. Saya menghantar SMS kepada salah seorang pembimbing dan memberitahunya masalah yang saya hadapi. Dia memberi saya satu Doa untuk didoakan kepada anak saya. Syukur dan puji Tuhan, demam panas anak saya turun menjadi normal. Pada hari itu juga saya dapat mengikuti Kelas IKD dan saya percaya Tuhan Yesus menyertai saya sepanjang perjalanan saya.
Dari situ iman saya bertambah dan saya mendapat sukacita yang besar dalam hidup saya setelah saya mengenal siapa itu Yesus.
Saya tidak nafikan sebagai seorang suri rumah, ibu dan isteri, banyak cabaran yang perlu saya hadapi tetapi saya percaya Tuhan tidak akan meninggalkan dan sentiasa berada di sisi saya kerana Tuhan memberi seorang suami yang sangat memahami dan menyokong saya dalam perjalanan Iman saya.
Sekarang saya tidak sabar lagi untuk dibaptis pada hari Paska nanti. Saya berharap dan berdoa kepada Tuhan agar semuanya berjalan dengan lancar.
Saya sangat-sangat bersyukur kerana Tuhan Yesus sentiasa memberkati saya serta keluarga saya dan semua anak-anak Tuhan yang akan menerima Inisiasi pada Paska nanti.
Amen! Sekian dan Terima Kasih
No comments:
Post a Comment