Rolan Tai Limpahan
Sebelum saya mengenali Kristus, kehidupan saya seperti
orang biasa yang sering menghadapi masalah; masalah keluarga, masalah kewangan, masalah hubungan
dengan kawan-kawan dan orang lain. Saya sering mengelak dari menghadapi masalah dan
tidak berani mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah, apa lagi memohon campur tangan Tuhan. Kehidupan
saya sangat teruk tambahan lagi keluarga saya tidak pernah aman kerana sering bergaduh. Pada suatu
ketika, adik saya yang berumur 18 tahun tiba-tiba menghidap kanser saraf
tunjang. Seluruh keluarga saya sangat terkejut dan sedih mengapa semua ini
harus berlaku. Pada ketika itu, sepupu saya yang memang kuat agama Katolik
mengajak kami sekeluarga memohon doa kepada Tuhan. Dengan itu, kami sekeluarga pun mulai berdoa.
Dalam keadaan yang amat memilukan, saya dan sekeluarga sentiasa berdoa agar Tuhan melindungi adik saya yang sakit tenat juga kami sekeluarga. Segala harapan kami berkecai kerana doktor telah sahkan bahawa adik saya tidak dapat diselamatkan. Sebelum adik saya meninggal dunia,
dia menyeru kami semua sentiasa bersatu dan pergilah ke gereja
untuk doakan dia.
Setahun selepas pemergian adik saya, ibu bapa saya
selalu ke gereja menghadiri misa kudus, malahan saya selalu mengikut mereka ke
gereja setiap hari Ahad. Dalam beberapa bulan, saya banyak berkawan dengan
umat gereja. Mereka selalu mengajak saya mengikuti aktiviti-aktiviti
gereja. Apabila saya menghadiri misa kudus, saya selalu bertanya apa itu Ekaristi.
Rakan saya mengajak saya menyertai kelas IKD untuk
lebih mengenali tentang sakramen-sakramen dan mengenali Tuhan dengan lebih
dekat. Selama setahun saya menyertai kelas tersebut, kelakuan saya sedikit
sebanyak berubah dan paling penting saya dapat merasakan dekat dengan Tuhan dan
merasai cinta kasihNya.
Kini saya sudah banyak berubah menjadi insan yang lebih baik. Saya mahu terus hidup sebagai Katolik yang sempurna. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana hubungan ahli-ahli keluarga saya kini menjadi erat.
Saya sangat berterima kasih kepada para pembimbing IKD saya, kerana telah
mengajar dan membimbing saya dengan penuh kesabaran. Tuhan memberkati!
No comments:
Post a Comment