Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 10, 2014

.H.e.l.l.o. .J.e.s.u.s.

Disediakan oleh : Fettwinda Sipaan
Jurugambar : Jackson Julie Ansim

Tawau, 23 Mac –Tim Penganjur YMG di Paroki Holy Trinity Tawau, sekali lagi telah menjalankan program Youth Monthly Gathering (YMG) kali ke-30 yang bertemakan Hello Jesus. Program ini sekali lagi mengajak para belia khususnya untuk melibatkan diri dalam program anjuran gereja yang dikendalikan oleh para belia untuk belia. YMG merupakan salah satu program bulanan yang dianjurkan sebagai satu landasan perkongsian maklumat serta sebagai salah satu cara untuk membina dan menjalin hubungan persahabatan yang baharu. Bersempena dengan musim pra-paskah, tema Hello Jesus telah dipilih kerana objektif YMG ke-30 adalah untuk membawa para belia merenung persiapan yang mereka lakukan untuk menyambut Hari KebangkitanNya. Seramai 50 orang belia dengan kehadiran Sr. Anita Philip fsic dan Seminarian Stanley William telah bersama-sama menjayakan YMG pada kali ini yang telah bermula pada jam 1.30 petang dan berakhir pada 4.30 petang.
Bertempat di bilik atas dewan HTC, para belia telah berkumpul di hadapan dewan sekitar jam 12.30 tenghari. Ianya disusuli dengan taklimat ringkas dan doa singkat dipimpin oleh Kak Jurgen. Sejurus selepas taklimat, para belia dalam suasana doa dan hening beratur berdua-duaan sambil menyanyikan lagu “Sentuh Hatiku”. Sepasang demi sepasang melangkah naik ke bilik atas dewan dan disambut dengan pemberian skrol di hadapan pintu masuk yang telah dihiasi cantik sebelum mengambil tempat duduk masing-masing.
Seterusnya, sebelum sesi bermula, semua belia diajak berlutut dan sekali lagi Kak Jurgen memimpin doa pembukaan. Program YMG dimulakan dengan dua tayangan video yang berkisarkan tentang 10 pesanan Cinta Kasih Yesus kepada umatNya, iaitu 10 perintah Allah dan klip video tentang Yesus tidak pernah meninggalkan kita apabila kita memerlukan Dia. Selepas itu, para belia diminta membuka skrol yang telah mereka terima terdahulu semasa di pintu masuk. Skrol tersebut merupakan surat daripada Yesus. Setelah para belia membaca dan merenung intipati surat Yesus, mereka dikehendaki untuk membalas surat tersebut sesuai dengan pengalaman peribadi yang mereka telah alami sendiri. Selesai menulis surat, rakan belia bersama-sama melutut dan menyerahkan ungkapan peribadi mereka melalui doa dalam sesi penyerahan. Suasana pada ketika itu, sangat hening dan konsep taize telah diserapkan untuk membantu belia lebih menghayati perjalanan sesi yang sedang berlangsung.
Selesai sesi penyerahan, katekesis singkat yang telah dikongsikan oleh Kak Selvia meneguhkan lagi objektif YMG ke-30 ini. Antaranya ialah ajakan untuk mempraktikkan Ajaran Gereja Katolik dalam kehidupan seharian agar menjadi teladan kepada masyarakat secara amnya disamping menyahut seruan pada musim pra-paskah ini iaitu berdoa, berpuasa dan beramal. Sebelum program YMG berakhir, sesi terakhir ialah sesi “Speak Up” atau sesi perkongsian dalam kalangan belia yang hadir tentang hasil yang telah mereka capai melalui YMG ke-30 ini. Antaranya perkongsian yang telah disampaikan ialah apakah perasaan mereka semasa mengikuti YMG ke-30 ini, perkara yang telah menyentuh hati mereka sepanjang sesi berlangsung serta apakah tindakan yang akan mereka lakukan sepanjang musim prapaskah supaya kesedaran yang mereka kecapi kekal dan dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Selesai sahaja sesi perkongsian, program YMG pada kali ini diakhiri dengan doa penutup yang dipimpin oleh Kak Esther diikuti dengan sesi bergambar dan seterusnya minum petang di kantin gereja. Semoga program YMG ke-30 ini dapat membantu para belia menyedari dan lebih memahami tentang musim prapaskah dan menghidupinya dengan tekun.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent