Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 24, 2014

'Sabda Tuhan Dapat Mengubah Hidup Saya' ~ Mary Sarapion Dari Gereja St Dominic, Lahad Datu

Sebelum mengenal Kristus, saya pernah bertanya kepada diri saya sendiri bahawa siapakah Kristus itu yang sebenarnya. Sebagaimana yang saya tahu, Kristus itu adalah Tuhan, tempat untuk meminta pertolongan. Saya juga berasa bahawa diri saya telah mengenal Kristus secara peribadinya. Namun, saya salah kerana saya hanya mengenal-Nya secara luaran sahaja dan saya sedar bahawa Kristus bukan sahaja Tuhan, malah Dia juga adalah anak Allah Bapa yang datang untuk menyelamatkan manusia sejagat.
Gaya hidup saya dulu jauh berbeza dengan gaya hidup saya yang sekarang. Saya tidak tahu untuk berdoa malahan malas untuk pergi ke gereja. Di samping itu, saya juga tidak tahu langsung tentang apa itu sakramen. Saya tidak mengerti perjalanan misa kudus serta saya tidak tahu apa tujuan ritual tertentu dijalankan.
Banyak perkara tertib keagamaan yang saya tidak tahu lakukan dan amalkan untuk kehidupan seharian sebelum saya mengenal Yesus Kristus.
Mary Sarapion
Inisiasi Kristian Dewasa ataupun IKD merupakan kelas yang diwujudkan oleh gereja Katolik dengan tujuan untuk memperkenalkan dan memberitakan khabar gembira tentang Allah Bapa dan PuteraNya Yesus Kristus serta sabdanya. Sabda Allah dapat mengubah hidup seseorang dan inilah menjadi panduan hidup umat Kristian Katolik.
Setelah hampir setahun berada dalam kelas ini, saya menyedari ada beberapa perubahan yang berlaku pada diri saya. Melalui sabda Tuhan ianya menyebabkan hidup saya berubah dan perubahan ini juga berlaku selepas saya mengenal Yesus.
Perubahan yang berlaku kepada diri saya selepas saya mengenal Kristus, ialah saya telah mengetahui banyak doa-doa asas yang perlu ada pada diri setiap umat Kristian Katolik dan melalui ajaranNya. Kini, saya sudah mampu dan tahu untuk berdoa tanpa bantuan orang lain.
Saya juga kini sudah mampu pergi ke gereja sendirian. Masa saya belum mengenal Kristus, saya berasa takut kerana pada masa itu saya lebih suka untuk membuang masa melakukan perkara yang tidak berfaedah. Saya berasa malu dipandang orang lain apabila mengikuti misa kudus di gereja.
Kini, Roh Kudus kurniaan Allah yang berkandang dalam diri saya membuatkan saya tidak berasa malu dan takut untuk pergi ke gereja dan menghadiri misa kudus.
Selain itu, saya banyak mengetahui tentang hal mengenai gereja, tentang tertibnya, mengerti urutan perayaan Ekaristi. Setiap umat perlulah menumpukan perhatian kepada misa kudus serta berdisiplin sewaktu di dalam gereja.
Walaupun saya seorang insan yang serba kekurangan khususnya dalam iman, namun perubahan ini mampu membantu iman dalam diri saya bertumbuh dan berkembang. 

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent