Gladys Liau Pin Hui
Sebelum saya menyertai kelas IKD, saya sering juga ke
gereja mengikuti ibu saya. Pada masa itu, saya hanya menyertai dan tidak
memahami erti perayaan yang diadakan.
Selepas beberapa bulan, perasaan saya semakin ingin
mengetahui lebih tentang misa kudus dan ingin mendalami pengetahuan Kristian. Kawan saya
telah memberitahu saya tentang kelas IKD. Saya pun meminta tolong ibu saya
untuk mendaftarkan saya di dalam kelas tersebut. Pada permulaan, saya berasa
kekok dan segan. Walau bagaimanapun, semakin lama, perasaan itu hilang dan keakraban saya
dan rakan-rakan menjadikan kami seperti sebuah keluarga.
Selain itu, saya juga berasa semakin dekat dengan
Tuhan. Saya telah mempelajari banyak perkara yang telah mengubah hidup saya kearah kebaikan. Sebelum saya mengenal Kristus, saya seorang yang pemarah dan
panas baran. Setelah saya mengenal Kristus, perlahan-lahan sifat saya semakin berubah
menjadi lembut dan penyabar. Jika mempunyai masalah, saya lebih bersabar
menanganinya dan berdoa kepada Tuhan. Bagi saya, berdoa merupakan cara terbaik
untuk menenangkan diri dan membuatkan saya lebih rapat dengan Tuhan.
Saya sedar bahawa semakin saya dekat dengan Tuhan,
semakin banyak cabaran yang menduga saya. Namun, saya percaya bahawa Tuhan
mendampingi saya dan membantu saya dalam menempuhi cabaran yang menimpa saya.
Saya tidak akan berhenti untuk mempelajari segala ajaran Tuhan dan akan berusaha
untuk memperdalami lagi iman saya.
Setelah dibaptis nanti, saya sah menjadi Kristian dan
pengikut Tuhan. Ini adalah pemulaan yang baru dalam kehidupan saya. Segala
ajaran melalui SabdaNya akan saya cuba tanamkan dalam diri dan mengamalkannya dalam kehidupan saya.
No comments:
Post a Comment