Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, May 26, 2015

YouthPREPLink Batch 5, 2015 (LEVEL 1)

Tim Dokumentasi YPL 
dan Philipa Philip

Sandakan: Peringkat pertama YouthPREPLink (YPL) Sesi Ke-5 peringkat Keuskupan Sandakan telah berlangsung di Katedral St. Mary, Sandakan pada 26 April 2015 sehingga 3 Mei 2015. Seramai 28 orang muda-mudi dari paroki Holy Trinity Tawau, St. Dominic Lahad Datu dan Katedral St. Mary Sandakan telah menyahut panggilan untuk mengikuti program ini. YPL peringkat pertama  mengfokuskan kepada mengenali diri sendiri.
Program bermula pada 6.00 petang 26 April dengan majlis makan malam bersama Paderi Paroki, Fr. Thomas Makajil, Penasihat Rohani untuk Belia, Fr. Sunny dan tim Kerasulan Belia Paroki (KBP) Sandakan. Selain itu, para peserta dimaklumkankan mengenai peraturan-peraturan yang harus dipatuhi sepanjang masa program tersebut. Pada malam itu juga, para peserta diberi masa untuk merenung akan tujuan sebenar dan apa yang mereka harapkan dari program YPL ini. Mereka diminta untuk membuat papan visi dan kemudiannya dikongsikan di dalam kumpulan kecil. Sebelum malam itu berakhir, para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu Faith, Hope, Love dan Justice.
Pada hari kedua, 27 April, sesi pertama ialah "Siapa Ko?" disampaikan oleh saudari Anna Teresa Peter Amandus. Dalam sesi tersebut, saudari Anna mengajak semua untuk membuat "garis masa kehidupan" ; sejak dari mereka lahir sehingga ke hari ini. Selepas itu, mereka juga diajak untuk membuat "Genealogy" / Pohon Keluarga dan mengongsikannya kepada kawan-kawan sekeliling. 

Sesi "Peringkat Kehidupan Seorang Manusia dan Peralihan" disampaikan oleh Sr. Maria Dipal rgs. Sr. Maria telah menerangkan dan membantu para peserta untuk memahami di manakah peringkat kehidupan mereka sekarang dan beliau juga membantu para belia untuk melihat Tuhan di setiap peringkat kehidupan mereka. Bukan itu sahaja, Sr. Maria juga memberitahu bagaimana untuk melalui dan menerima perubahan itu. 

Pada sebelah malam, para peserta telah diminta menulis semua kebaikan mereka di kertas yang berbentuk bintang manakala keburukkan di kertas hitam. Selepas itu, mereka melakukan pembebasan keburukan yang dilekat pada diri mereka dan memulai hidup seperti yang telah di tulis berlandaskan inspirasi dari Tuhan.
Pada hari ketiga, 28 April, sesi Seksualiti disampaikan oleh Brother Joseph Philips sg. Peserta didedahkan erti seksualiti sebenar dan mereka diingatkan bahawa ianya harus dihargai sebagai satu pemberian Tuhan. Ini merupakan satu peluang yang baik untuk orang muda kerana topik begini merupakan topik yang amat jarang sekali diperkatakan di dalam sebuah keluarga. 

Selepas itu, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka diberi masa dan tempat untuk berkongsi tentang pengalaman hidup mereka. Pada sebelah tengah hari, saudara Theodolfo Rosalia telah menyampaikan sesi "Hubungan sihat lelaki dan perempuan.". Dalam sesi ini, beliau membantu para peserta untuk mengetahui perbezaan antara cinta dan nafsu. Pada waktu malam, sesi "Seks sebelum berkahwin : Generasi kini dalam risiko telah disampaikan oleh saudara Theodolfo Rosalia juga. Beliau mengongsikan kesan-kesan dan impak secara mental jika berlakunya seks sebelum berkahwin. 

Selepas itu, para peserta dibawa ke dalam doa taize. Tetapi sebelum itu, mereka diminta untuk menulis surat kepada anak-anak mereka dan mempersembahkannya semasa doa taize. "Jangan pernah membandingkan kisah cinta kamu dengan yang kamu lihat di filem kerana ia di tulis oleh penulis skrip manakala kisah cinta kamu ditulis oleh Tuhan"
Pada hari keempat, 29 April, sesi Bahasa Inggeris telah dijalankan bertujuan agar para peserta lebih yakin berkomunikasi dalam bahasa tersebut apabila mereka melanjutkan pelajaran di bandar-bandar besar. Selepas itu, pada sebelah tengah hari, para peserta diajak untuk menyertai aktiviti luar, "Journey to the promised land". Dalam aktiviti ini, peserta diuji dari segi kerjasama di antara mereka dan cabaran-cabaran di dalam permainan ini melambangkan cabaran yang mereka tempuhi di dalam hidup dan bagaimana Yesus sentiasa ada bersama mereka sepanjang tempoh aktiviti ini. 

Pada sebelah malam, sesi "Penghijrahan Belia dan Kehidupan di Bandar" telah disampaikan oleh saudara Amodd Dea Tingadon. Saudara Amodd menerangkan sedikit sebanyak kepada para peserta berkenaan realiti penghijrahan belia dan kehidupan di bandar besar. Sesi ini telah membuka mata para peserta semua tentang kehidupan yang bakal menanti apabila mereka melanjutkan pelajaran dil uar.
Pada hari kelima, 30 April, sesi Bahasa Inggeris diteruskan sepanjang hari oleh para graduan YPL yang lepas. Pada sebelah malam pula sesi "Globalisasi dan Literasi Media" disampaikan oleh saudara George Lawadin. Beliau menerangkan maksud globalisasi kepada para peserta. Beliau juga menyentuh tentang penyebaran media melalui cara hidup, nilai, budaya dan kepenggunaan.
Pada hari keenam, 1 Mei, sesi yang pertama adalah "Kepenggunaan dan Alam Sekitar" yang disampaikan oleh saudara Freddy Garaman. Beliau mengongsikan tentang cara kepenggunaan kewangan berdasarkan keperluan dan kehendak para peserta dalam kehidupan seharian. Beliau juga berkongsi tentang kepentingan memelihara alam sekitar supaya generasi akan datang dapat merasai keindahan ciptaan Tuhan. 

Program diteruskan dengan aktiviti "Team Building". Aktiviti ini bertujuan untuk melihat sejauh mana para peserta percaya dan yakin dengan rakan sepasukan mereka. Pada sebelah petang, sesi Bahasa Inggeris diteruskan oleh graduan YPL yang lepas. Manakala pada sebelah malam, semua peserta turut hadir dalam doa malam dengan doa "Taize."
Pada hari ketujuh, 2hb Mei, sesi pertama ialah sesi "Psycho - Aspek Kerohanian" yang disampaikan oleh Brother Joseph Philip sg. Beliau menyentuh tentang kepentingan mendalami iman berdasarkan ajaran agama. Tujuannya adalah supaya iman para peserta tidak mudah goyah apabila berada berjauhan dari rumah dan gereja. Selain itu, beliau juga mengajak para peserta untuk menghidupi nilai-nilai ajaran agama terutama dalam dunia yang berubah-ubah pada masa ini. Pada sebelah petang, para peserta diberikan sedikit pendedahan tentang YPL level 2. Pada sebelah malam pula, para peserta berpeluang mengikuti konsert yang dianjurkan oleh Fellowship of Malaysian Covenant Communities.
Keesokan harinya, para peserta bertolak ke St. Stephen, Tass Tawau untuk YPL peringkat ke-dua (Level 2)

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent