Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, May 15, 2015

WAWANCARA DGN KATEKIS PETRUS IDOL, KATEKIS PERTAMA ST. JOSEPH, KG. LUMOU, PAROKI ST. MARTIN TELUPID

Oleh Sdri Helda Japanis
Katekis Petrus Idol Diang, 61 merupakan katekis pertama di Kg. Lumou sejak tahun 1973. Pada awal tahun tersebut hanya diri beliau sahaja yang beragama Katolik. Hampir semua penduduk Kampung Lumou termasuk isterinya belum mempunyai agama pada waktu itu. Walaubagaimana pun agama lain telah mula bergerak dalam misi pengijilan mereka seperti Seventh Day Adventist (SDA), Anglikan, Sidang Injil Borneo (SIB)  dan yang lain. 
Atas permintaan dan galakan daripada Father Van Der Slam (kini mendiang), maka dengan berbesar hati  Katekis Petrus telah memulakan penginjilannya dengan mengajar iman yang asas terutama doa-doa. Manakala katekesis yang lain dilakukan oleh Fr. Slam. Orang pertama yang telah dia dekati adalah bapa saudaranya sendiri sdra Kurubut Bin Lalangon, yang merupakan mantan Ketua Kg. Lumou.
Pada tahun 1974, daripada 16 orang yang tersenarai, hanya 6 orang calon pertama yang telah terpilih oleh Fr Slam dan seterusnya menerima Sakramen Pembaptisan di Kg. Lumou.
Pada awalnya, umat di Kg. Lumou menunaikan ibadah mereka dari rumah ke rumah kerana belum ada tempat beribadah yang tetap. Namun, apabila umat semakin bertambah, umat di tempat tersebut telah memilih untuk menggunakan rumah kediaman Ketua Kg, iaitu sdra Kurubut Bin Lalangon di atas persetujuan beliau sendiri kerana keadaan rumah beliau lebih luas dan selesa.
Pertambahan umat di Kg. Lumou ini telah mendapat perhatian Fr. Slam, maka dengan itu sebuah kapela kecil berukuran 17' X 20'  telah dibina pada tahun 1976 hasil usaha gotong royong umat setempat. Fr Slam telah menyumbangkan zink dan paku sementara bahan yang lain diusahakan sendiri oleh umat  Kg. Lumou.
Setahun kemudian kapela baru berukuran 20' X 30' yang lebih besar siap dibina  setelah permohonan peruntukan oleh  Ketua Kampung, sdra Linus Gumat kepada sebuah syarikat pembalakan diluluskan. Umat setempat lebih selesa untuk beribadah.
Pembabitan beliau sebagai katekis tidak kurang mencabarnya. Beliau pernah dihina dan diejek oleh pihak agama lain kononnya beliau  seorang pemimpin seperti tikus kerana masih muda dan tidak berpengalaman. Memang perasaan malu itu ada apabila dipersendakan. Beliau tetap bersabar dan dapat menerima dengan rendah hati setelah mendapat kata-kata yang membina daripada Fr. Slam. Tidak lama kemudian, beliau telah dihantar untuk mengikuti kursus katekis selama tiga bulan di Pusat Latihan Katekis (PUSKAT) Keningau.
Selama beliau berkecimpung dalam pelayanan sebagai katekis, terdapat tiga pengalaman pahit yang tidak dapat dilupakan. Selama tiga tahun berturut-turut tiga peristiwa tersebut telah menimpa keluarganya. Pertama sekali  anak perempuan kesayangannya yang berusia dua belas tahun pada ketika itu telah meninggal akibat kanser setelah menderita selama satu tahun.  Setahun kemudian,  ibu yang disayanginya pula pergi buat selama-lamanya. Kedua-dua peristiwa yang menimpa keluarganya ini benar-benar membuat beliau merasa tidak layak menjadi katekis kerana beliau merasakan semua itu terjadi kerana dosa-dosanya. Dengan berfikiran demikian beliau telah membuat keputusan untuk berhenti melayani dan telah menyuarakan niatnya itu kepada Fr. Slam. Namun fikiran dan cara pandangannya berubah setelah mendapat bimbingan dari Fr. Slam. Bukan setakat kata-kata semangat tetapi Fr. Slam telah merayakan Misa Kudus ini sehingga beliau mendapat kekuatan semula untuk meneruskan pelayanan. Bak kata pepatah sudah jatuh, ditimpa tangga lagi. Setahun dari kematian ibunya, rumah kediamannya dan keluarga pula musnah dalam kebakaran yang membuatkannya hanya mampu menangis. Sekali lagi dalam lawatannya kepada  keluarga Katekis Petrus, Fr. Slam telah merayakan Misa Kudus dan memberikan penghiburan serta dorongan kepadanya dan keluarga beliau.
Setelah melalui proses percobaan serta berkat bimbingan Fr. Slam, akhirnya Katekis Petrus mampu melalui semuanya itu dengan tabah. Malah beliau menganggap itu semua rencana Tuhan yang seharusnya dilalui bagi mengukuhkan kehidupan beliau. Peristiwa-peristiwa yang pahit telah membuatnya lebih matang dalam iman. Beliau masih terus melayani umat Kristus walaupun kini bukan lagi melayani di St. Joseph Lumou. tetapi di Kg. Mangkadait, 5 batu dari Kg. Lumou.
Pada hari ini, beliau  tidak menjangka bahawa penduduk di Kg. Lumou rupanya majoriti adalah penganut agama Katolik. Beliau amat terharu dan bersyukur dengan tampilnya para guru seperti Cikgu Rayner Alim Yukin yang telah banyak membantu membangunkan gereja setempat.
Bagi beliau pelayanan katekis bukanlah jawatan tetapi satu pelayanan yang wajib dipikul. Memikulnya bukan semudah memikul beras seguni. Ia memerlukan kesungguhan dan komitmen. Semangat untuk melayan harus datang dari lubuk hati dan hanya mampu dilakukan apabila terjalin hubungan peribadi yang mendalam dengan Kristus.
Harapan beliau agar iman umat di Kg. Lumou terus berkembang dan kukuh. Kita harus memupuk iman setiap peribadi, keluarga dan komuniti. Semoga kapela yang baru, indah dan kondusif ini akan dijaga dengan baik sebab ia adalah lambang iman umat setempat.

1 comment:

  1. Sdra Petrus Idol adalah inspirasi buat kita semua. Cabaran demi cabaran dihadapi dengan tabah. Semoga kita juga berani memikul salib demi Kristus kerana telah dijanjikan pada akhirnya kita semua akan menikmati kebangkitanNya.

    ReplyDelete

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent