Prunonicol Christian Paulus, St.
Stephen Tass, Tawau.
Pengalaman mengikuti program YPL ini adalah suatu
pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila. Program ini banyak
membantu saya untuk mengenali diri saya sendiri serta mengenali kawan-kawan
yang baru. Melalui sesi-sesi yang dijalankan dalam program ini, saya telah
menyedari kemampuan dan kelebihan diri serta lebih berkeyakinan untuk bercakap
dan mengongsikan pengalaman saya di hadapan khalayak ramai. Saya tidak lagi
merasa malu untuk berkongsi dengan kawan-kawan saya kerana saya beranggapan
bahawa setiap daripada kita itu adalah "istimewa". Pengalaman penting yang saya
perolehi semasa mengikuti program ini ialah saya dapat belajar hidup berdikari
dan bekerjasama untuk melakukan sesuatu. Di samping itu juga saya dan
kawan-kawan yang lain akan bergilir-gilir mengikut kumpulan untuk bangun awal
dan memasak dan seterusnya kami akan pergi ke kapela untuk berdoa pagi. Hidup
berkomuniti adalah salah satu aspek dalam pembangunan iman seorang Kristian
Katolik. Bagi saya, sepanjang program YPL ini berlangsung, Tuhan mahukan saya
untuk jangan berputus asa dan juga jangan ada rasa sedih dan marah kepada diri
sendiri kerana saya juga merupakan anak Tuhan yang disayang olehNya. Amen,
puji Tuhan!
Jenniffer
Ledesma Salunatin, Katedral St.Mary, Sandakan.
Program YPL ini banyak membentuk dan memberikan
saya input untuk saya lebih bersedia terlebih awal jika saya keluar belajar di tempat lain. Sesi yang dijalankan juga mengubah dan menyentuh hati saya dalam
pelayanan saya sendiri. Semasa melihat tayangan video tentang seorang bapa dan anaknya dan mesej yang cuba disampaikan adalah sama seperti dalam petikan Yohanes 3:16, "Karena begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal." Ini telah
membuat saya tersentuh kerana saya secara tidak disedari telah teringat akan
segala pengorbanan yang telah bapa saya lakukan untuk keluarga kami dan terutama sekali
untuk saya. Tuhan mahu sampaikan sesuatu kepada saya melalui program ini dengan
mengajar saya untuk menjadi seorang yang kuat, tabah dan sentiasa percaya kepadaNya.
Selain itu juga dapat menjadi seorang misionari yang mampu membantu orang yang
lebih memerlukan di luar sana. Pengalaman paling penting yang saya dapati
adalah saya dapat menerima kekurangan orang lain seterusnya dapat menerima
cinta kasih Yesus melalui keluarga YPL ini, kerana saya merasa begitu disayangi
ketika berada di dalam pogram YPL. Saya berharap semoga sentiasa ada belia baru
yang akan mengikuti program YPL ini dan juga persahabatan kami semua
yang berada di YPL ini akan berkekalan sampai bila-bila dan tidak akan
terputus. Sekian dan terima kasih para warga YPL.
Jeremy
Juniol Bernadus, Holy Trinity, Tawau.
Saya berazam untuk mengikuti
program YPL ini setelah diberikan pengenalan serba sedikit daripada Philiipa dan
juga Kordinator Program YPL iaitu Kakak Anna. Dalam sesi mengenal diri, saya tersentuh bila saya merenung kembali sikap yang ada pada diri
saya iaitu saya adalah seorang yang pemalu. Saya akan merasa malu untuk menegur dan
berkawan dengan orang yang belum saya kenali dan juga saya tidak berani untuk
menunjukkan bakat yang ada pada diri saya. Melalui sesi ini, saya lebih yakin dan berani untuk bersuara. Melalui program ini, Tuhan mahu saya percaya
dengan segala rencanaNya kerana ianya akan menjadi indah pada saat waktunya
tiba. Terdapat juga banyak pengalaman yang saya lalui, antaranya ialah saya dapat
memasak bersama kawan-kawan, saling membantu dan kami sentiasa makan bersama-sama.
Harapan saya bagi program ini adalah semoga program ini dapat diteruskan
setiap tahun. Program ini
dapat mengubah cara hidup seseorang. Perhubungan para belia juga akan menjadi sangat
rapat dan bertunjangkan kepada Yesus Kristus. Sebagai mana kami, graduan batch 5, kami
sama-sama jatuh dan sama-sama bangkit. It’s more than just friends, now we
are family.
Alyciabeth
Joanny Openg, OLOF, Beluran.
Program YPL telah mendorong, membentuk dan membina diri saya untuk melayani di gereja. Aktiviti seharian dan lagu yang kami nyanyikan hampir sama setiap hari, tetapi saya dapat merasakan yang kami semua semakin akrab bagaikan
sebuah keluarga. Saya dan kawan-kawan saya semakin bersemangat menyanyikan lagu yang sama setiap
hari disamping dapat menghayati lebih dalam lagi maksud lagu tersebut. Saya
merasakan Tuhan mahu saya yakin dengan diri saya sendiri untuk melayani tidak kira di mana saya berada dan yang penting keyakinan itu ada dalam diri saya. Pengalaman paling penting yang saya
dapat adalah, saya berpeluang untuk
membuat penjangkauan, memberikan perkongsian depan umat serta dapat menjadi
pewarta Injil. Semua ini saya lakukan buat pertama kalinya, dan saya merasa
bangga atas pencapaian diri saya sendiri. Saya tidak menyangkakan yang saya mampu melakukannya. Saya berharap agar lebih ramai belia yang dapat menyertai program ini supaya dapat banyak infomasi yang berguna sebagaimana yang sudah saya
dapati melalui program ni. Terima kasih YPL, sebab kini saya rasa
bangga ke atas diri saya sendiri. Amen!
Jesslyn Yong
Yih Mii, St. Stephen Tass, Tawau.
Saya sungguh berterima kasih kepada mereka yang
telah memperkenalkan program YPL ini kepada saya. Dari program ini saya
telah mendapat kasih Yesus sekali lagi dalam keluarga YPL. Banyak yang telah terjadi kepada diri saya semasa mengikuti
program ini. Ada masa gembira dan ada juga masa sedih kerana merasa tersentuh
dengan sesi-sesi yang dijalankan. Antara perkara yang paling menyentuh saya
ialah perhubungan saya dan kawan-kawan saya yang begitu rapat ibaratkan sebuah
keluarga walaupun kami datang dari keluarga dan latar belakang yang berlainan. Ketika saya jatuh
sakit ada yang menjaga saya walaupun keadaan saya tidaklah begitu teruk. Saya
merasa bahawa Tuhan mahukan saya untuk terus melayani dan bertumbuh dan berkembang dalam iman, kerana Tuhan sudah menjadikan saya
seorang yang ISTIMEWA. Pengalaman yang saya perolehi ialah saya dapat mendengar
dan merasa bisikan Tuhan di dalam hati saya ketika berdoa Taize. Tuhan
membisikkan pada saya “Pergilah memohon maaf pada ibu bapamu, kerana engkau
telah banyak berbuat salah pada mereka.”. Selepas itu saya terus menghubungi
kedua ibu bapa saya dan meminta maaf pada mereka buat pertama kalinya. Harapan
saya untuk program ini ialah semoga program ini dapat menjemput penceramah yang
hebat dan lebih berpengalaman dalam pelayanan untuk berkongsi dengan para
belia. YPL ini akan terus mendapat tempat di hati saya. Salam YPL dari saya
Jesslyn. Amen.
No comments:
Post a Comment