Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, May 26, 2015

Perkongsian Pengalaman Saya – Youth Preplink Batch 5, 2015 (Bahagian Satu)

Dikumpul dan disusun oleh Girald Palipus, Tim Dokumentasi


Wilfred Frid Drick, St. Stephen Tass, Tawau.
Sepanjang mengikuti program YPL ini saya telah tersentuh dalam sesi mengenal diri serta peringkat hidup dan peralihan. Dalam sesi ini, saya dapat mengenali diri saya dengan lebih terperinci lagi. Kami telah diberikan masa untuk merenung diri kami masing-masing sejak daripada kami dilahirkan sehinggalah kami dewasa kini. Dalam masa yang sama kami diminta untuk cuba memaafkan semua orang yang pernah menyakiti kami. Pada saat itulah saya dapat membukakan hati untuk memaafkan semua orang dan menerima mereka apa adanya. Selepas sesi `Dot and Stars’ saya berasa sungguh tenang dan damai. Apa yang Tuhan cuba mahu sampaikan kepada saya adalah untuk belajar memaafkan diri sendiri dan juga orang lain. Antara pengalaman yang tidak akan saya lupakan ialah apabila saya telah dipilih untuk menjadi pengerusi bagi YPL Level 2. Walaupun tidak pernah menyandang jawatan yang sebegini besar, saya tetap ingin belajar untuk menjadi seorang ketua yang baik. Syukur, dengan bantuan Kakak Anna beserta dengan para fasilitator yang tidak putus-putus memberikan sokongan serta semangat, saya telah mampu untuk buat yang terbaik. Saya dapat merasakan bantuan Roh Kudus dimana semasa aktiviti penjangkauan dilakukan saya dapat memberikan perkongsian dengan  baik dan tanpa ada rasa gementar. Saya berharap agar program ini dapat diteruskan untuk membantu mempersiapkan lebih ramai belia yang akan melanjutkan pelajaran ke tempat yang baru.

Pamela Jane Philip, Holy Trinity, Tawau.
Program YPL ini telah memberikan saya peluang untuk saya mengetahui bahawa saya ini adalah `Special’ tidak kira apa pun pandangan orang lain terhadap saya. Tuhan telah menciptakan kita semua tanpa ada sedikitpun kesilapan. Tuhan telah lebih dahulu mengenal diri kita semua seperti yang tercatat dalam alkitab “Sebelum Aku membentuk engkau dalam rahim ibumu, Aku telah mengenal engkau, dan sebelum engkau keluar dari kandungan, Aku telah menguduskan engkau, Aku telah menetapkan engkau menjadi nabi bagi bangsa-bangsa.”(Yeremia 1:5). Melalui program ini Tuhan mahu saya supaya terus melayani tidak kira dimana pun saya berada. Akan ada saat dimana saya diuji dan pada waktu itulah saya mengetahui bahawa Tuhan itu senantiasa bersama-sama saya. Tuhan mahu supaya saya semakin bertumbuh dan menghasilkan buah yang baik. Membuat `Vision Board’ adalah suatu pengalaman yang baru bagi saya, dimana saya diminta untuk merenung kembali perjalanan hidup saya pada masa akan datang. Vision Board ini dapat membantu saya sebagai panduan hidup saya sekiranya saya hilang arah tujuan. Kini saya lebih menyedari matlamat hidup saya justeru ingin mencapainya dengan pertolongan Tuhan. Saya berharap agar program ini dapat dikembangkan ke seluruh diosis kerana pengisian dalam program ini sangat membantu diri para belia lepasan SPM mahupun STPM sebagaimana ianya dapat membentuk diri saya sendiri. Amen.


Helen Apolinaris, St. Peter, Kunak.
Shallom semua! Saya ingin mengongsikan di sini bahawa Program YPL ini telah banyak membentuk diri saya. Perkara yang paling menyentuh hati saya ialah semasa berdoa dalam Doa Taize. Saya dapat merasakan bahawa Tuhan berada dekat dengan saya serta pelukan dari kawan-kawan yang baru saya kenali itu saya ibaratkan bahawa Tuhan Yesus-lah yang memeluk diri saya. Semasa berdoa juga saya merasakan seperti hanya saya dan Tuhan sahaja yang berada dalam chapel tersebut. Dalam sesi mengenal diri, saya dapat belajar untuk menghargai ciptaan Tuhan yang sentiasa sempurna kerana saya juga berharga di mata Tuhan. Semasa program ini berlangsung, saya merasakan bahawa Tuhan menginginkan saya untuk melayaniNya melalui pelbagai cara termasuklah kehidupan berdoa serta pelayanan di dalam gereja. Dalam program ini juga saya di ajar untuk hidup berkomuniti dan mencintai saudara seiman. Selama ini saya hidup berdikari bersendirian, namun di dalam program YPL ini saya berdikari bersama-sama dengan kawan-kawan saya yang lain. Pelbagai aktiviti yang memerlukan semangat serta kerjasama yang erat di antara kami semua. Saya berharap agar program seperti ini sentiasa diadakan dan jikalau boleh di tempat saya sendiri di St. Peter, Kunak. Saya akan terus melayani Tuhan dan akan berkongsi dengan yang lain akan kasih Yesus. Alleluia! Terima kasih YPL, Amen!


Norwin, Katedral St. Mary, Sandakan.
Mengikuti program YPL ini merupakan suatu keputusan saya yang terbaik pernah saya lakukan. Dalam program ini saya telah dibentuk dan dipersiapkan untuk menghadapi dunia luar sekiranya saya akan melanjutkan pelajaran saya nanti. Hari terakhir program YPL merupakan saat yang paling saya tidak dapat lupakan. Saya tersentuh bila pada masa itu saya dan kawan-kawan saya saling berpelukan dan kami saling mengucapkan terima kasih dan juga memohon maaf antara satu sama lain. Secara tidak sedar kami sudah bersama-sama selama dua minggu dan ikatan kekeluargaan yang terjalin antara kami semua telah menyatukan kami dalam nama Tuhan Yesus Kristus. `Sama-sama mula, sama-sama kasi habis’ itulah moto yang saya dan kawan-kawan saya pegang hingga program YPL ini berakhir. Teruskan melayani dan menyebarkan berita gembira kasih Yesus merupakan mesej yang ingin disampaikan oleh Tuhan Yesus kepada diri saya. Kerjasama mesti ada dalam setiap pelayanan berserta janganlah cepat berputus asa sebab Tuhan Yesus itu selalu ada untuk kita. Harapan saya ialah agar program ini terus diadakan. Saya juga berharap agar para belia di luar sana terutama sekali bahagian pedalaman dapat mengikuti program YPL. Program ini sangat baik sebagai persediaan para belia waktu mereka berada jauh dari keluarga. Akhir sekali dari saya ialah terima kasih YPL 'because now I’m capable to smile always.


Clifford Peter, OLOF, Beluran.
Saya berasa amat diberkati apabila saya diberikan peluang untuk mengikuti program YPL ini. Sepanjang mengikuti program ini saya amat tersentuh semasa doa Taize. Semasa berdoa pada masa itu saya dapat merasakan kehadiran Tuhan dan dapat berkomunikasi denganNya. Sesi “I`m Special” turut mengajar saya secara tidak langsung untuk lebih menghargai kelebihan dan kelemahan diri sendiri. Saya merasakan yang Tuhan memanggil saya untuk menyertai program ini kerana ingin menguatkan lagi iman saya dan juga lebih bergiat aktif dalam pelayanan saya sendiri. Antara pengalaman yang saya perolehi adalah saya dapat memasuki gereja-gereja di kawasan pedalaman dan dapat membantu umat-umat di sana dengan mengongsikan cinta kasih Tuhan. Memikul tugas sebagai timbalan ketua turut menjadi suatu pengalaman yang baru bagi saya di mana saya di latih untuk menjadi seorang ketua untuk memimpin sebuah kumpulan. Saya sangat berharap agar program ini tidak dihentikan dan sentiasa aktif. Selain itu, saya juga ingin lebih ramai belia akan mengikuti program ini apabila ianya dijalankan pada masa akan datang. Terima kasih YPL!


Deyerbeen Sipaan@Fredoline, St. Pius X, Bundu Tuhan.
Ternyata peluang mengikuti program YPL ini tidak menjadi sia-sia apabila program ini telah mampu mengubah diri saya. Saya telah tersentuh dengan sesi “I`m special” di mana saya mengetahui setiap orang itu mempunyai kelebihan dan kekurangan mereka masing-masing dan setiap apa yang dijadikan olehNya itu ada rencana Tuhan yang tersendiri dan kita tidak berhak untuk menghakimi sesiapapun. Komunikasi antara sesama adalah sangat penting untuk mewujudkan kerjasama yang erat dalam kumpulan. Apa yang Tuhan mahu sampaikan kepada saya melalui program ini ialah supaya saya sentiasa bersedia untuk melayani walau di mana jua saya berada dan kasih setia Tuhan sentiasa ada di mana-mana dan sentiasa bersama-sama dengan kita semua. Pengalaman penting yang dapat saya perolehi ialah dapat mengenali ramai kawan yang membantu saya untuk lebih banyak bergaul secara sihat dan lebih mendekatkan diri dengan Tuhan untuk persediaan saya melayani di tempat saya sendiri mahupun di tempat yang lain. Harapan saya agar pogram ini terus di jalankan sebab ianya dapat membantu untuk melahirkan semangat bekerjasama dan kasih setia sesama. Sekian sahaja daripada saya. YPL is the best!

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent