Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, May 26, 2015

Perkongsian Pengalaman Saya – YouthPREPlink Batch 5, 2015 (Bahagian Dua)

Dikumpul dan disusun oleh Girald Palipus, Tim Dokumentasi
Oswell Tamin, Holy Trinity, Tawau.
Program YPL ini sangat membantu saya dari segi persediaan saya bagi melanjutkan pelajaran saya di tempat yang baru. Banyak sesi yang di jalankan sangat berguna dan menyentuh hati saya. Bagi saya sesi “I’m special” adalah sesi yang sangat menyentuh hati saya, kerana dalam sesi ini , saya telah belajar untuk menerima diri saya sebagai seorang yang sangat istimewa. Sebelum ini saya berasa kosong dan sentiasa berfikiran negatif terhadap diri sendiri. Melalui program YPL ini, bagi saya, Tuhan itu adalah kasih kerana saya dapat merasakan semua cinta kasih yang sejati dan penuh bermakna daripada kawan-kawan serta para fasilitator. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan semasa mengikuti program ini adalah memperolehi cinta kasih daripada kawan-kawan selain daripada keluarga saya sendiri. Berbanding dengan kawan-kawan yang ada di sekolah, kawan-kawan di YPL ini lebih mesra dan saya bagaikan mendapat sebuah keluarga yang baru. Harapan saya untuk program ini adalah semoga program ini dapat dikekalkan dan lebih ramai belia yang berada di luar sana hadir dan turut merasakan kasih Yesus dalam program YPL ini. Terima kasih untuk kasih di YPL ini!
Kelvin Ng Chee Wing, Katedral St. Mary, Sandakan.
Sesungguhnya saya mengikuti program YPL ini adalah untuk mencari sesuatu yang telah lama hilang dalam diri saya sendiri. Program ini banyak membentuk saya dan banyak sesi yang menjawab persoalan dalam diri saya. Saya berasa gembira kerana diberikan peluang untuk mengikuti program YPL ini. Melalui aktiviti penjangkauan yang terdapat dalam program YPL ini, saya dapat berkenalan dan mengongsikan kasih Yesus yang saya terima kepada mereka yang tinggal di pedalaman. Saya mengongsikan kepada mereka yang setiap daripada diri kita ini adalah istimewa. Sepanjang program ini saya merasakan yang Tuhan mahukan saya untuk terus mengingatiNya selalu dan cuba untuk mengelakkan diri daripada berbuat jahat. Pengalaman berada dalam program YPL ini membentuk saya untuk tidak mementingkan diri sendiri dan sentiasa bekerjasama sehingga tugas selesai. Saya berharap agar lebih ramai belia yang tertarik untuk menyertai program YPL ini. Sekian dari saya Kelvin.

Valna Nana Valentine, St. Peter, Kunak.
Program YPL ini telah dapat membuka mata saya akan cabaran yang bakal saya hadapi jika saya akan melanjutkan pelajaran saya nanti di tempat yang lain. Perkara yang paling menyentuh hati saya sewaktu mengikuti program ini adalah mendengarkan perkongsian daripada rakan-rakan yang sekumpulan dengan saya. Saya sangat tersentuh mendengarkan cerita kehidupan mereka yang berbeza-beza dengan pelbagai masalah yang dialami. Melalui program ini, saya dapat rasakan bahawa Tuhan inginkan saya supaya membuka hati saya sekali lagi untuk menerima orang lain ke dalam kehidupan saya walaupun saya masih belum dapat menerima sepenuhnya. Pengalaman yang paling penting yang saya perolehi semasa menyertai program YPL ini ialah saya berani untuk menyuarakan pendapat saya semasa kami berbincang tentang aktiviti pelayanan kami. Saya juga berharap agar program YPL ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa agar belia-belia yang lain juga dapat melalui perasaan yang telah saya dan rakan-rakan lalui semasa menyertai program ini. Terima kasih kepada mereka yang telah memperkenalkan YPL ini kepada saya.

Peter Saiman, St. Stephen Tass, Tawau.
Semasa di kenalkan tentang program YPL ini saya masih tertanya-tanya, apakah yang akan saya dapat jikalau saya hadir dan mengikuti program ini. Program 2 minggu ini telah banyak membentuk diri saya dan saya percaya begitu juga dengan kawan-kawan saya yang lain. Antara sesi yang paling menyentuh hati saya apabila saya berdoa Taize. Saya dapat merasakan yang saya berada rapat dengan Tuhan ketika berdoa, dan ketika sampai pada saat untuk berhening, saya merasakan kehadiran Tuhan itu dekat dengan saya. Saya merasakan yang Tuhan mahukan saya untuk mempunyai iman yang kuat dalam menghadapi segala dugaan yang mendatang. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan semasa mengikuti program ini ialah sentiasa berdisiplin di mana saya dan kawan-kawan yang lain terpaksa bangun awal pagi untuk memasak dan seterusnya ke Kapela untuk doa pagi. Kebiasaan ini akan saya cuba untuk terapkan walaupun selepas program ini nanti. Harapan saya untuk program ini agar setiap belia yang dapat mengikuti program ini dapat dimantapkan imannya dan dengan cara hidup berkomuniti dapat menghilangkan sifat perkauman antara sesama saudara seiman. Akhir kata dari saya, Jesus up! Love us! Namaste.

Genevi D. Yakobos, OLOF, Beluran.
Mengenal dan menyertai program YPL ini telah menjadi suatu kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Banyak sesi yang telah mengubah pandangan saya tentang pelayanan dan seterusnya membuat saya tersentuh hati. Antara yang paling menyentuh hati saya ialah saya dapat merasakan persaudaraan dalam Kritus untuk terus melayani Tuhan bersama-sama dengan rakan seiman. Sebelum ini saya jarang mengikuti aktiviti pelayanan di gereja kerana saya kurang bergaul dengan rakan-rakan yang seiman dengan saya. Melalui program ini juga saya merasakan campur tangan Tuhan di dalam hidup saya iaitu supaya jangan takut untuk mengenali Tuhan dengan lebih dekat lagi serta tetap percaya kepadaNya. Serta Tuhan itu mempunyai rancangan yang terbaik dalam hidup kita masing-masing. Pengalaman yang terpenting yang saya perolehi ialah dapat memberitakan khabar baik kepada masyarakat di kawasan-kawasan kampung di pedalaman Tawau yang bertempat di St. Agnes dan St. James. Saya berharap agar program ini akan menerima sambutan daripada belia yang lebih ramai lagi di masa akan datang untuk memantapkan lagi iman para belia Kristian Katolik. Pada kesempatan yang lain, akan saya kongsikan lebih banyak lagi. Jadi kepada belia di luar sana yang ingin tahu lebih lagi sila datang dan rasailah kasih Yesus dalam program ini. All the best YPL!

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent