Artikel oleh Helda Japanis dan
gambar oleh George Lawadin
Telupid : Lebih
dari 700 umat setempat dan wakil-wakil dari outstasi Paroki St Martin Telupid
berhimpun di Kampung Lumou untuk turut serta dalam upacara pemberkatan dan perasmian
chapel baru St Joseph yang disempurnakan oleh Bapa Uskup Julius Dusin Gitom pada
10hb Mei 2015.
Upacara tersebut
bermula dengan perarakan ke chapel baru diiringi dengan tarian tradisional suku
kaum KadazanDusun mengikut rentak paluan gong tempatan. Bapa Uskup Julius dibantu oleh
Fr Jasery E Gabuk, rector Gereja St Martin dan Fr Bede Anthonius dari Keuskupan
Keningau menyempurnakan acara pemberkatan dan perasmian chapel baru St Joseph.
Kampung Lumou
terletak 20 km dari pekan Telupid dan kebanyakan penduduk adalah dari ethnik KadazanDusun
dan beragama Kristian Katolik. Bangunan Chapel baru berukuran 40’ x 80’
dibangunkan dan didermakan oleh Datuk Victor Paul dan keluarga.
Misa Kesyukuran dirayakan bersama oleh Bapa Uskup Julius, Fr Jasery dan Fr Bede.
Dalam homili Bapa
Uskup Julius, beliau pertama-tama mengucap syukur atas cinta kasih Tuhan bagi
umat di St. Joseph, Lumou khasnya dengan terbinanya bangunan baru Chapel St.
Joseph.
Bertepatan dengan
Injil pada hari tersebut, kita telah dipilih menjadi sahabat oleh seorang dermawan
walaupun beliau tidak mengenali kita. Berlandaskan kepada cintakasih Tuhan, dia
bermurah hati untuk mendermakan sebuah chapel baru bagi umat setempat. Apabila
seorang itu memilih kita sebagai sahabat maka kita harus memberi respon dan
dengan demikian persahabatan kita akan berpanjangan.
Begitu juga dengan
Tuhan, Dia terlebih dulu memilih kita sebagai sahabatNya. Oleh itu, Tuhan Yesus
menuntut daripada kita supaya kita memberi respon. Kita harus mendekatkan diri
kepada Dia. Itulah tuntutan Tuhan Yesus kepada setiap kita yang terpilih
sebagai sahabatNya.
Sebagai
sahabat-sahabat Tuhan Yesus, kita pula dituntut untuk hidup terarah kepada
komuniti. Keuskupan Sandakan tetap dengan pendekatan pastoralnya, iaitu hidup
berkomuniti melalui Komuniti Kristian Dasar (KKD). Semangat berkomuniti akan
menguatkan iman serta memberi dorongan di antara satu sama lain. Persahabatan
kita hendaklah berasas pada Tuhan Yesus agar ianya akan berpanjangan.
Bapa Uskup menegaskan bahawa perkembangan iman sebenarnya
tidak terjamin hanya terdapatnya bangunan yang kukuh dan indah tempat beribadah
tetapi oleh kesatuan umat dengan Tuhan Yesus. Bapa Uskup juga percaya bahawa harapan orang yang telah
memberikan chapel tersebut agar umat di tempat itu dapat berkembang sebagai
satu Gereja yang kukuh.
Bulan Mei khususnya
mengingatkan akan dua hal yang sangat penting di dalam kehidupan umat beriman
iaitu Bulan Bonda Maria di mana kita sekali lagi sebagai komuniti bersama
Maria berdoa kepada Bapa melalui Doa Rosari, agar kita sentiasa mendekati Tuhan Yesus.
Bulan Mei
mengingatkan kita akan perayaan Tadau Kaamatan yang turut dirayakan bersama di
peringkat Paroki St. Martin Telupid pada hari tersebut. Hal ini juga suatu cara
untuk menguatkan di antara satu sama yang lain, memupuk bukan sahaja
persahabatan di antara umat tetapi memupuk semangat kekeluargaan sebagai Gereja.
Kehadiran umat dari hampir semua outstasi memperlihatkan kesatuan dan kekuatan umat
di dalam Tuhan.
Di akhir homili
beliau, Bapa Uskup mengajak umat berdoa bersama agar Tuhan terus memberkati umat setempat, komuniti dan Paroki tersebut supaya umat tetap bersemangat
untuk hidup sebagai komuniti. Menghidupi semangat persahabatan berdasarkan semangat Yesus sendiri iaitu semangat cintakasih, mendorong satu sama lain dan menguatkan iman di kalangan sesama merupakan hasil tetap yang dijanjikan.
No comments:
Post a Comment