Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, May 29, 2015

Berbahagialah Orang Yang Murah Hati, Kerana Mereka Akan Beroleh Kemurahan (Matius 5 : 7)

Oleh Helda Japanis

Temubual dengan Pn Angeline Bangad, penderma tapak Kapela St Angeline sempena dengan Upacara Pemberkatan dan Perasmian Kapela tersebut pada Ahad, 24hb Mei 2015.
Madai, Kunak : Pn. Angeline Bangad, 68, merupakan penderma bagi tapak berukuran satu ekar untuk kapela St. Angeline, Madai.  Beliau dan keluarga telah mula menetap di Kg. Madai sejak 1981 setelah memperolehi kelulusan permohonan tanah di kawasan tersebut.
Walaupun sudah berpindah ke Kg. Madai dari Kampung asalnya iaitu Kg. Kibabaig, Penampang, beribadah kepada Tuhan tidak pernah dilupakan. Maka untuk menunaikan kewajipan ini, Pn. Angeline dan keluarganya sanggup berjalan kaki sejauh dua batu untuk beribadah di rumah kecil mendiang Katekis Anna Ajak pada ketika itu. Persekitaran di Kg. Madai pada waktu itu masih dibaluti dengan hutan tebal kerana belum diterokai sepenuhnya.
Dalam Tahun 1984, Paderi Paroki St Dominic, Lahad Datu, Fr. Preyde (mendiang), lazimnya akan singgah di rumah keluarga Pn. Angeline sebelum dan selepas lawatan pastoral di kawasan Madai. 

Dan suatu ketika semasa Fr. Preyde singgah di rumah keluarga Pn. Angeline, beliau telah bertanya tentang keluasan, sempadan dan kemungkinan pihak Gereja memperolehi sebidang tanah untuk pembinaan kapela di tempat tersebut. Pihak keluarga Pn. Angeline tidak mempunyai halangan malah berbesar hati untuk memyumbangkan tapak tersebut kepada pihak Gereja. Setelah mendapat tapak tanah tersebut maka bermulalah proses pembinaan kapela di Kg. Madai ini. 

Kapela pertama di Kg. Madai telah siap dibina sekitar tahun  1988. Umat yang hadir beribadah berjumlah sekitar sepuluh orang yang terdiri dari bangsa Kadazan, Filipino, Timur dan Toraja. Pn Angeline serta suami, Robert Muji Sorop, 68 berasa amat senang setelah kapela ini siap dibina dan dapat beribadah di kapela ini kerana tidak perlu lagi berjalan kaki sehingga begitu jauh. Atas permintaan Fr. Preyde bahawa kapela ini harus dijaga dengan baik, maka kapela ini dibina berdekatan dengan rumah keluarga Pn. Angeline. Anak tunggal perempuan Pn. Angeline, Rose Robert, 40-an yang kini sudah berkeluarga telah mengambil alih meneruskan tugas menjaga kapela tersebut.
Berikut adalah gambar antara umat terawal di St. Angeline, Kg. Madai.
Selama kapela ini dibina, tidak ada masalah yang begitu mencabar yang dihadapi di tempat ini kerana semua umat saling berganding bahu. Umat di kapela ini telah berkembang dengan kehadiran umat yang kini mencecah lebih dari seratus orang.
Sejak 27 tahun lalu Kapela St. Angeline telah melalui tiga fasa pembinaan. Bagi fasa pembinaan yang kali ke-dua bangunan kapela hanya diperbesarkan, manakala fasa pembinaan kali ke-tiga, lebar masih yang sama manakala panjang telah ditambah. Kapela kini berukuran 30' x 80' dan telah dibina dengan konkrit, lebih selesa serta boleh memuatkan 200 orang pada satu masa. Bangunan baru Kapela ini terbina hasil daripada sumbangan dari pihak Keuskupan Sandakan, Paroki St Dominic, Lahad Datu dan umat setempat. 

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent