Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, May 1, 2014

Sahutan kepada Amal Prapaska 2014

Oleh Shirley, Rogena, Joseph 
dan Sr Veronica fsic

SANDAKAN : Minggu ini umat Katolik seluruh dunia menyambut Minggu Paska yang kedua menurut pusingan kalendar liturginya. Namun, amalan memberi sedekah dan membantu orang yang lebih memerlukan tidak mengira bangsa dan agama serta tiada batasan waktu. Ia selari dengan Ajaran Sosial Gereja Katolik di mana seorang insan haruslah memberi peluang bagi mereka yang miskin dan lemah.
Mengimbas kembali kata-kata Bapa Uskup Julius Dusin Gitom semasa homili untuk Hari Rabu Abu 2014, beliau telah memetik pesan Prapaska 2014 Bapa Suci Paus Fransiskus, "Kita, orang Kristian dipanggil untuk menghadapi kemiskinan saudara-saudara kita, menyentuhnya, agar merasai kemiskinan mereka seperti kita sendiri yang mengalaminya dan untuk mengambil langkah-langkah praktis untuk mengurangi itu. ..... Menanggapi kemiskinan ini, Gereja menawarkan bantuannya dalam memenuhi keperluan tersebut dan membalut luka-luka yang mencacat wajah kemanusiaan. Dalam miskin dan terbuang, kita melihat wajah Kristus; dengan mengasihi dan membantu orang miskin, kita mengasihi dan melayani Kristus."
Berinspirasikan kata-kata itu, Bapa Uskup sendiri bersama sebelas staf di Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan bersatu hati untuk mewujudkan satu tabung Prapaska 2014 sebagai tujuan menyalurkan amal kasih kepada yang lebih memerlukan di sekitar mereka. 
Dengan hasil simpanan tabung derma seringgit sehari setiap staf sepanjang Musim Prapaska 2014, mereka telah membelanjakan wang tersebut untuk membeli barangan keperluan makanan harian untuk didermakan.
Keluarga 1: Majik Minsin di Batu 2, Sandakan
Sr Veronica Kandaung fsic bersama Rogena Roger Sining, Joseph Maradan dan Shirley Joseph telah mewakili Pusat Pastoral Keuskupan, Sandakan  untuk menyampaikan barangan kegunaan harian tersebut kepada empat buah keluarga yang memerlukan, pada Selasa, 29hb April 2014.

Keluarga pertama yang telah dilawati ialah keluarga saudara Majik Minsin (tiada dalam gambar kerana sedang bekerja). Saudara Majik bekerja sebagai tukang kebun dan penjaga malam di Gereja St Joseph, Batu 2, Sandakan. Isterinya merupakan seorang surirumah sepenuh masa. Mereka dikaruniakan enam orang anak. Isterinya amat tersentuh dan dengan penuh kesyukuran berkata, "Barangan yang diberikan kepada kami ini amatlah bererti bagi kami. Terima kasih." Selain itu, Sr Veronica fsic sempat menawarkan bantuan lain kepada seorang anak dari keluarga ini. Keadaan pendapatan keluarga mereka dan bilangan anak yang ramai menyukarkan anak-anak mendapat pendidikan rasmi.
Keluarga 2: Benjamin bin Atoi (Berbaju hitam)
Keluarga 3: Jintan bin Janda (Bercermin mata gelap)
Keluarga 4: Felix bin Mathew (Berbaju hijau muda)
Kemudian, pertemuan yang seterusnya telah diaturkan buat tiga buah keluarga lagi di Gereja St Petrus, Sg. Manila, Batu 12, Sandakan. Tiga keluarga tersebut tinggal di Taman Cahaya iaitu berdekatan dengan Gereja St Petrus. Saudara Benjamin mempunyai lima orang anak manakala saudara Jintan mempunyai seorang anak. Mereka berdua mempunyai masalah penglihatan. Namun, isteri mereka masing-masing buta sepenuhnya. Dua orang isteri ini baru sahaja dibaptis bersama anak-anak mereka. 

Saudara Felix juga hanya dapat melihat sedikit dan isterinya pula tidak ada masalah penglihatan tetapi hidup susah kerana berpendapatan amat sedikit. Mereka mempunyai dua orang anak. Si isteri ini baru diterima ke Gereja Katolik.
Wakil Staf Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan bergambar bersama keluarga yang menerima barangan bantuan juga beberapa umat lain dari Gereja St Petrus, Sg. Manila.
Perkahwinan mereka telahpun diberkati oleh Fr. Philip Muji sebelum mereka dibaptis. Pendapatan keluarga ini hanya diperolehi dengan bekerja sebagai tukang urut. Mereka bergantung kepada pendapatan harian dan itu pun sekiranya ada yang mahu mendapat perkhidmatan mereka. Kadangkala, mereka hanya mampu mendapat RM15 sahaja dalam satu hari. Hidup mereka agak susah, umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Semua staf berasa gembira kerana dapat melakukan amalan sedekah pada Musim Prapaska 2014 yang dibuat pertama kalinya itu. Mereka berhasrat untuk meneruskan amalan ini pada setiap pra paskah.
"Dalam segala sesuatu telah kuberikan contoh kepada kamu, bahwa dengan bekerja demikian kita harus membantu orang-orang yang lemah dan harus mengingat perkataan Tuhan Yesus, sebab Ia sendiri telah mengatakan: Adalah lebih berbahagia memberi daripada menerima." ~ KIS 20:35

Walaupun, bantuan yang disalurkan tidak seberapa, namun para penerima juga berasa gembira dan amat bersyukur. Gereja Katolik cuba sedaya upaya untuk memberi bantuan dari bentuk apapun dan juga melalui derma yang diterima daripada para umatnya yang berbelas kasih, murah hati dan prihatin kepada mereka yang amat memerlukan terutama melalui Sampul Derma Musim Prapaska.

Para umat Katolik di Paroki Sandakan dialu-alukan untuk menderma secara peribadi demi membantu meringankan beban empat buah keluarga tersebut. Segala bantuan boleh disalurkan kepada Sr Veronica fsic melalui telefon 089-217071.

"If you can't feed a hundred people, feed just one." ~ Mother Teresa

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent