KOMUNITI KRISTIAN DASAR SANTA MARIA SANDAKAN yang ditubuhkan pada 07 Julai 2010 telah menghadiri Misa Kudus sempena kesyukuran Ulang Tahun yang ke 5 di Chapel St. Mary pada 19 Mei masa 7.30 malam. Ahli-ahli komuniti tersebut tinggal di persekitaran Taman Kam Jai Yen, Jalan Aman, Perumahan MPS Batu 1½, Singapore Road, Jalan Puncak dan Konven St. Mary. Sr. Appolonia Gumpu fsic dan Sr. Veronica Kandaung fsic dari Kongregasi Franciscan Sisters of The Immaculate Conception (FSIC) turut hadir bersama.
Pembacaan 1: Kis. 14: 5-18; Mzm. 115:1-2,3-4,15-16; INJIL: Yoh. 14:21-26
Dalam homili Fr. Thomas Makajil yang mengaitkan pada bacaan hari ini telah menekankan bagaimana identiti para Rasul Yesus yang dipengaruhi oleh indentiti Yesus. Para Rasul Yesus mampu melakukan mukjizat yang sama. Indentiti yang terpenting dalam komuniti tersebut juga adalah cintakasih sebagai identiti utama dari ajaran Yesus.
Fr. Thomas bertanya kepada hadirin: "2000 tahun dahulu masihkah pengajaran Yesus berkobar dalam diri kita hari ini?" Ya, ajaran Yesus yang diteruskan oleh GerejaNya tetap sama, di mana baru saja Bapa Suci Paus Fransiskus mentahbis Santo kepada Paus Yohanes ke-23 dan Paus Yohanes Paulus II.
Fr Thomas menegaskan bahawa perkara yang amat penting sekali adalah "identiti kita sebagai seorang Kristian" iaitu tidak takut untuk menyatakan kebenaran dan bersuara dengan yakin. Tujuan utama KKD kita adalah supaya kehidupan kita sebagai 'Komuniti Kristian' berpusatkan pada Yesus Kristus. Sebab itulah, kita mengadakan perayaan Ekaristi Ulang Tahun yang berpusatkan kepada Kristus.
Keuskupan Sandakan mempunyai visi yang ingin direalisasikan iaitu ingin melihat komuniti-komuniti Kristian yang bersatu, berjalan bersama berpaksi kepada Kristus. Fr. Thomas mengajak semua ahli komuniti giat mendoakan 'visi' ini dan melakukan 'misi pastoral' agar visi dan misi ini dapat direalisasikan.
Selepas Misa Kesyukuran tersebut, komuniti Santa Maria ini telah berkumpul di perkarangan rumah pekerja Gereja. Sdra Ishak Thomas bagi pihak pengerusi Komuniti mengalu-alukan sdra Raymond Sidin yang baru saja diterima masuk ke dalam Gereja Katolik. Fr. Thomas selaku paderi Paroki turut serta dalam acara jamuan 'potluck.'
Sdra Ishak Thomas |
Sdra Raymond Sidin |
Sdra Robert Tam bersama isteri |
Fr. Thomas dalam ucapan sepatah dua, sekali lagi mengajak komuniti ini untuk mengambil inisiatif membantu komuniti lain yang masih memerlukan sokongan dan bantuan terutamanya di kawasan Misi Paitan. KKD perlu menjangkau dan melakukan tugasan pastoral seperti yang dilakukan oleh komuniti-komuniti Kristian yang lain. Mereka telah berusaha membantu kampung-kampung yang terpencil seturut kehendak Ajaran Sosial Gereja (ASG) seperti kerja pembinaan dan pembaikan chapel, aktiviti pembangunan kerohanian dan insan.
Fr. Thomas juga menerangkan bahawa Keuskupan Sandakan kini mempunyai seminarian yang cukup ramai sedang berada dalam proses pembentukan di Kolej St Peter, Kuching yang memerlukan pembiayaan yang tinggi. Beliau menyeru agar setiap komuniti dapat berinisiatif menyediakan Tabung Kewangan masing-masing bagi tujuan membantu dalam pembiayaan tersebut.
Komuniti berdoa bersama untuk makan malam dan meneruskan semangat muhibbah.
No comments:
Post a Comment