Lawrence Matusin, SOCCOM Telupid
TELUPID – “Hari ini kita berkumpul untuk
mempersembahkan kapela baru ini kepada Allah Bapa,” demikian doa pembukaan
untuk Pemberkatan Kapela St. Bede, Kampung Bobotong, 30 kilometer dari sini
pada 4 Mei, baru-baru ini.
Upacara yang disempurnakan oleh Bapa Uskup
Datuk Julius D. Gitom dan dibantu oleh Fr. Jasery selaku paderi Paroki Telupid
seterusnya memohon agar Allah memberkati umat yang hadir dengan rahmat dan
kuasaNya.
“Dengan menyedari bahawa kita yang berhimpun dalam iman melalui gereja yang hidup sebagai cintakasih Allah kepada kita semua,” tambahnya.
Lebih kurang 400 umat beriman hadir menyertai upacara ini. Dimana perarakan dimulai dari kapela lama sebagai tanda simbolik kepada penerimaan kapela baru.
Dalam homilinya, Bapa Uskup menyeru umat di St. Bede supaya
meneruskan usaha untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Jangan kita bangga kepada fizikal bangunan
sahaja tanpa mengamalkan sikap positif, proaktif dan maju ke hadapan untuk
kebaikan komuniti disini,” katanya.
Uskup seterusnya mengajak umat untuk terus
mempraktikkan kehidupan Komuniti Kristian Dasar (KKD) sebagai penggerak kepada
gereja tempatan khususnya di Keuskupan Sandakan.
Kapela ini berukuran 30’ x 50’ dibina secara
gotong royong oleh masyarakat di Kg. Bobotong yang majoriti beragama katolik.
Hampir 17 tahun mereka menantikan sebuah
rumah ibadat yang selesa bagi menampung lebih 100 umat yang kebanyakannya
berasal dari Kiulu dan Tamparuli.
Paderi Paroki, Fr. Jasery menyifatkan umat
di St. Bede ini sebagai umat yang berkomitmen kerana dengan bantuan kewangan
sebanyak RM35 ribu, mereka dapat membangunkan sebuah kapela dengan usaha gotong
royong.
Fr. Jasery menasihatkan supaya kapela ini
dapat dijaga dengan baik terutama kehadiran dalam setiap ibadah bagi meneguhkan
iman mereka di hadapan Tuhan.
Sebagai kesyukuran, Pengerusi Penganjur
Sdra. Edwin Yudi merakamkan terima kasih kepada semua yang hadir dari 4 zon di
Paroki Telupid sebagai tanda sokongan kepada usaha mereka.
Beliau turut berterimakasih kepada Bapa
Uskup dan Paderi Paroki yang sudi menyempurnakan Pemberkatan kapela baru
mereka.
Sebagai tanda kesyukuran, makan bersama
telah mereka sediakan selain cabutan tiket bertuah untuk memeriahkan lagi
majlis ini.
No comments:
Post a Comment