Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, April 27, 2013

HARI KELUARGA KOMUNITI PASTORAL INDONESIA DI HOLY TRINITY TAWAU

Roland Henry Dan Tim SOCCOM, Tawau

TAWAU (21 April 2013) – 'Peneguhan Iman Menyatukan Umat Dalam Cintakasih dan Kerendahan Diri'. Begitulah tema sambutan Hari Keluarga Komuniti Pastoral Indonesia (KPI) 2013 yang disambut meriah oleh kira-kira seramai 1300 umat Paroki Holy Trinity Tawau dari pelbagai latarbelakang kaum yang lain. Bersama-sama hadir dan turut serta merayakan sambutan ini termasuklah paderi paroki Msgr. Nicholas Ong (Rektor Paroki) dan Rev. Fr. David Garaman (Pembantu Rektor), wakil Majlis Pastoral Paroki Sdra. Mario Domingo, dan Sdra. Edward Nuing dari Tinimungan Umat Kadazan Dusun (TUKAD) serta kehadiran Seminarian Christopher Ireneus, Sr. Liza FSIC, Sr. Tauria FSIC dan Sr. Liwidna RGS dari Kongregasi Gembala Baik yang kini bertugas di Sandakan.
Sambutan Hari Keluarga KPI 2013 ini dimulakan dengan Misa Kesyukuran pada jam 9.00 pagi yang disempurnakan oleh kedua-dua rektor dan pembantu rektor Paroki Holy Trinity Tawau. Pada hari yang sama, Gereja Katolik juga  merayakan Hari Minggu Gembala Baik Sedunia atau Hari Minggu Panggilan. Perayaan ini merupakan perayaan bersama kerana ia mengingatkan kepada umat setempat bahawa keluarga KPI juga merupakan sebahagian dari institusi atau gereja yang ada bersama-sama dengan keluarga besar di paroki ini iaitu komuniti Cina, KadazanDusun/Murut, Filipino dan yang lain untuk berjalan bersama di dalam cintakasih Kristus melalui misi pelayanan Gereja sejak berpuluh tahun dahulu.
Sama seperti komuniti-komuniti lain, KPI juga diberi keistimewaan yang sama untuk merayakan Hari Keluarga di paroki ini kerana adanya persefahaman yang terjalin di antara kaum dan dipenuhi dengan semangat perpaduan umat. Ini membuatkan keterbukaan fikiran untuk mendorong dan saling menerima antara sesama kaum yang ada di paroki ini serta sekaligus menjadikan identiti Paroki Holy Trinity Tawau sangat unik. Selain itu, KPI juga berasa bertuah kerana dapat berkongsi dengan umat dengan menyanyikan lagu ordo misa dalam Bahasa Latin dan lagu-lagu misa dalam Bahasa Indonesia dari suku kaum Timor.
Terdapat 3 jenis panggilan hidup – iaitu menjadi  paderi ataupun religus, bujang dan berkahwin. Apa yang ditekankan oleh Rev. Fr. David Garaman adalah panggilan hidup menjadi paderi ataupun religus. Beliau memberitahu kepada umat terutamanya Ibubapa semua bahawa panggilan itu datangnya dari keluarga. 
Ibubapa semestinya lebih memahami keperluan Gereja masakini. Maka dengan itu, ibubapa harus mendorong dan mendoakan kepada anak-anaknya sendiri juga untuk menyahut panggilan kepadrian atau religus untuk menampung keperluan Gereja pada masakini lebih-lebih lagi di Diosis Sandakan terutamanya Paroki Holy Trinity Tawau dan bukannya setakat mendoakan kepada anak-anak orang lain sahaja.
“..namun saudara-saudari kita harus sedar akan keperluan di dalam pelayanan dalam Gereja kita. Setiap kita sebagai satu keluarga harus membantu di dalam kehidupan keperluan Gereja dan kepada keluarga Komuniti Pastoral Indonesia, kita bersyukur terhadap kehadiran dan kewujudan mereka  kerana melalui mereka misi gereja diteruskan”, kata Fr. David semasa homilinya.

Semua umat dijemput ke Dewan Paroki Holy Trinity Tawau sejurus selepas Misa Kesyukuran tersebut untuk menikmati bersama hidangan makanan yang telah disediakan. Msgr. Nicholas Ong selaku Rektor Paroki mengingatkan semula apa yang telah dipesan oleh Fr. David Garaman sewaktu homili beliau di Gereja sebelumnya berkaitan dengan respon kepada panggilan.


Sambil menjamu selera, pengacara majlis iaitu Sdri. Naomi Francis dan Sdra. James Joseph membawa umat yang hadir untuk menyaksikan pelbagai persembahan menarik iaitu persembahan tayangan video yang berkaitan dengan tema Hari Keluarga KPI 2013 yang bertajuk “Takdir Bukanlah Hukuman” dan diikuti dengan penyampaian puisi dari anak-anak sekolah Imigran. 

Kemudian Tarian Moden oleh belia dari Basis Batu 5 Sin Onn St. Jude dan seterusnya Tarian Teras oleh ibu-ibu KPI dengan iringan lagu popularnya iaitu “Silik-Silik Nao”. Keluarga KPI 2013 ini dapat memperlihatkan kesatuan umat KPI yang dipengerusikan oleh Sdra. Gabriel Nunang dalam menganjurkan aktiviti di peringkat paroki dengan jayanya. Sambutan ini berakhir dengan doa penutup yang dipimpin oleh Msgr. Nicholas Ong dan akhir sekali dengan membersihkan semula dewan beramai-ramai.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent