Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, October 12, 2015

Sambutan Ulang Tahun Ke-8 Kuria LOM (BM) Katedral St Mary Sandakan

Artikel oleh Elizabeth Michael
dan gambar oleh Helen John
SANDAKAN, 7 Oktober – Majlis sambutan ulang tahun Kuria LOM (BM) iaitu Kuria Ratu Rosari Bonda Penaung yang ke-8 telah berlangsung di Katedral St. Mary Sandakan. Majlis yang dihadiri oleh lebih daripada 50 orang anggota Legio Maria telah dimulakan dengan doa pembukaan dan doa rosari di Katedral St. Mary tepat pada pukul 6.45 petang. 
Doa pembukaan dipimpin oleh Pemimpin Rohani Sr. Appollonia Gumpu fsic manakala doa rosari dipimpin oleh wakil dari setiap presidium. Sambutan majlis ini menyaksikan kehadiran Rev. Fr. Phillip Anthony Muji sebagai selebran dibantu oleh Diakon Stanley William Matakim.
Misa kudus dimulakan tepat pada pukul 7.30 petang. Melalui homilinya, Rev. Fr. Phillip menjelaskan bahawa Bonda Maria mempunyai tempat istimewa dalam karya keselamatan. Devosi kepada Bonda Maria juga sudah bermula semenjak awal abad pertama. Kesanggupan para legioner untuk menyatukan diri dengan Bonda Maria dalam pelayanan ini merupakan suatu bentuk penyembahan kepada Tuhan sama seperti yang disampaikan oleh St. Yakobus bahawa iman tanpa perbuatan adalah sia-sia. 
Beliau turut mendorong agar para legioner meneruskan misi gereja dengan melaksanakan semua tuntutan dan tugasan yang diajarkan dalam Buku Pegangan Legio. Keterbukaan Bonda Maria kepada Roh Kudus dengan menjawab “Ya” kepada Malaikat Gabriel menuntut para legioner untuk sanggup berkorban masa dan tenaga melakukan pelayanan yang disemangati oleh Roh Kudus. Homili beliau diakhiri dengan pesanan agar kehidupan para legioner perlu sinonim dengan pelayanan agar jaminan berkat Tuhan akan diperoleh iaitu kehidupan kekal ilahi.
Selesai misa kudus, acara diteruskan dengan jamuan makan malam yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Mulia Uskup Julius Dusin Gitom. Beberapa acara turut diadakan termasuklah kata-kata aluan daripada Presiden Kuria, Bro. Julius Kasu, acara memotong kek ulang tahun kuria, dan acara cabutan tiket bertuah. Sebanyak 12 hadiah disediakan oleh setiap presidium dan sebuah hadiah utama sumbangan daripada Kuria LOM (BM).
Majlis diakhiri dengan doa penutup yang dipimpin oleh Sr. Appollonia dan para legioner menerima berkat daripada Yang Mulia Uskup Julius. Sebelum meninggalkan dewan, para legioner bekerjasama membersihkan ruang dewan. Acara berakhir tepat pukul 10.30 malam.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent