Artikel oleh DS dan foto
oleh G Bell dan Helda J
Sandakan : Hari ketiga Pertemuan Pastoral ke IV, 21hb Oktober dimulai dengan misa kudus yang diselebrankan oleh Romo Eduardus Radja Para, Pr dari Keuskupan Agung Ende, Flores.
oleh G Bell dan Helda J
Sandakan : Hari ketiga Pertemuan Pastoral ke IV, 21hb Oktober dimulai dengan misa kudus yang diselebrankan oleh Romo Eduardus Radja Para, Pr dari Keuskupan Agung Ende, Flores.
Dalam refleksinya, Romo Eduardus berkata bahawa misi gereja adalah mengenali, mengasihi dan mengongsikan Yesus Kristus. Sebagai anak-anak Allah, kita juga akan berdepan dengan liku-liku hidup, mengalami suka dan duka hidup. Dalam apa juga situasi, kita hendaklah sentiasa bersiap sedia.
Dalam gesaan apostolik Sukacita Injil (EG #49), Sri Paus Fransiskus berkata dia lebih suka, 'sebuah Gereja yang terluka, cedera dan kotor kerana ia berada di jalan-jalan dan bukan sebuah Gereja yang tidak sihat kerana terkurung dan perpaut kepada jaminan hidup sendiri. Sehubungan dengan itu, Romo Eduardus menyaran agar setiap individu harus mengambil ikhtibar untuk melindungi dan melayani para migran yang kebanyakan hidup sederhana dan susah.
Sesi pertama ialah 'Impak migrasi terhadap keluarga' yang disampaikan oleh Sr Thereisa Anita Yuniastuti, RGS dari Keuskupan Ruteng. Yang disharingkan ialah faktor-faktor yang menolak migran keluar dari wilayah asal dan faktor-faktor yang menarik dari wilayah tujuan. Alasan kemiskinan dan menaikkan taraf hidup menjadi punca utama migrasi.
Jumlah besar keluarga yang ditinggalkan di wilayah asal telah menimbulkan pelbagai masalah, di antaranya; pendidikan anak diabaikan, anak terlantar kerana tidak kenal orang tuanya, menggandakan beban untuk salah seorang tuanya, baik ibu atau ayah, ancaman kekerasan terhadap anak kerana beban hidup, perselingkuhan, pelecehan seksual, perendahan martabat wanita, berlakunya human trafficking dan penularan penyakit HIV/AIDS.
Berlandaskan kepada visi Gembala Baik, 'Setiap peribadi jauh lebih berharga daripada seluruh dunia,' Weta Gerak Gembala Baik telah mengolah langkah-langkah dalam perkara usaha mendampingi isteri migran melalui penguatan kelompok, kegiatan pemberdayaan ekonomi, capacity building serta biasiswa untuk anak-anak sekolah. Di samping itu RGS juga bergiat aktif dalam pelayanan anti-trafficking.
Dalam usaha melanjutkan karya menjangkau kepada keluarga yang terlibat, RGS menghadapi beberapa tantangan seperti kurangnya daya juang masyarakat di daerah, usaha yang dilakukan belum menjadi gerakan bersama serta kurangnya staf sokongan dan dana. Sungguhpun berdepan dengan pelbagai cabaran, RGS tetap dengan visi mereka sebab menanggapi persoalan migran merupakan satu bentuk perutusan melaksanakan pastoral gereja.
Sesi kedua ialah perbincangan kumpulan mengikut keuskupan wilayah asal, transit dan tujuan. Rujukan perbincangan berdasarkan kepada laporan-laporan yang disampaikan pada hari kedua, renungan terhadap semua sesi input, pernyataan akhir pertemuan pastoral ke-3, kunjungan ke lapang di Gereja St Mark. Sesi ini dipermudah-carakan oleh Sdra Francis Tan dari Sandakan.
Gereja dalam kasih keibuannya, tidak pernah berhenti mencari pelbagai cara untuk menolong orang yang hidup dalam pinggiran, yang bermigrasi ke tanah yang jauh. Saat ini Yesus masih menyeru kepada kita agar terus mendampingi golongan yang memerlukan, inti Injil kita, 'kamu memberi mereka makan, jangan sesekali menyuruh mereka pergi.'
Peserta kemudian digabungkan mengikut wilayah dan menfokuskan kepada mengolah langkah untuk menyiapkan dan menyempurnakan pelan tindak. Sesi ini membolehkan peserta berbincang, mengupas dan membahas segala tindakan yang dicadangkan. Di sebelah petang, masing-masing membentangkan pelan tindak mengikut wilayah asal, transit dan tujuan. Pasukan nara sumber mengambil kira semua point untuk di muatkan ke dalam draft pernyataan akhir selepas dimurnikan yang akan dihalusi dalam sidang keesokannya.
Malam Kebudayaan di sebelah malam di Dewan Konferens jelas mencerminkan sebuah Gereja untuk semua, sebuah Gereja yang indah. Pelbagai persembahan telah ditonjolkan; sketsa dan deklamasi sajak daripada Keluarga Besar Katolik Indonesia, nyanyian daripada Komuniti Cina, tarian rampaian daripada Komuniti Filipina dan tarian buluh atau tarian Magunatip daripada komuniti KadazanDusun dan tarian tradisional dari Flores.
Kesatuan melalui pelbagai persembahan dari berbagai ethnik jelas menunjukkan kesatuan dalam Gereja. Inilah sebenarnya keindahan Gereja yang unik sama seperti 'kerana sama seperti tubuh itu satu dan anggota-anggotanya banyak, dan segala anggota itu sekalipin banyak, merupakan akan satu tubuh, demikian pula Kristus. (1 Kor 12 : 12)
Keindahan membawa kepada keinginan yang bersemangat untuk menjadi seperti Kristus. Semoga semangat ini kekal dipelihara demi memperkembang luas Kerajaan Allah.
No comments:
Post a Comment