Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, March 30, 2010

Misa Pengutusan dan Pelancaran Logo Kerasulan Belia Paroki Sandakan

Sandakan – Seramai 15 orang pemimpin belia telah diutus semasa merayakan Minggu Palma dan logo Kerasulan Belia Paroki turut dilancarkan pada 28 Mac 2010 bertempat di Katedral St. Mary, Sandakan.

Setiap tahun, para belia di seluruh dunia merayakan Hari Belia Sedunia di mana hari yang sama Gereja sejagat merayakan Hari Minggu Palma, perayaan yang mengingatkan kembali para umat tentang kesengsaraan Yesus.


Minggu Palma juga mengingatkan umat Kristian Katolik tentang sejarah Yesus memasuki kota Yerusalem di mana Yesus mengetahui Dia akan melaksanakan kehendak Allah Bapa iaitu mati di kayu salib demi penyelamatan umat manusia.

 




Perayaan Hari Belia Sedunia diinisiatifkan oleh mendiang Bapa Suci Yohanes Paulus yang ke-2 di mana HBS yang pertama telah diadakan pada 15 April 1984 bertempat di Lapangan St. Petrus, Roma.




Misa Kudus yang dirayakan dalam Bahasa Malaysia telah dihadiri oleh 1,500 umat dan memenuhi tempat duduk dalam gereja serta terdapat juga umat yang berdiri di luar gereja. Daun palma yang telah diserahkan sebelum memulakan perarakan ke Gereja, Fr. Paul berkata “(sambil menyebut nama belia), terimalah daun palma ini sebagai tanda iman kamu” dan belia menjawab “Amen”.




Di dalam pengutusan, Fr. Paul telah memberikan sedikit katekesis tentang perayaan Hari Belia Sedunia dan menerangkan kepada semua umat yang hadir simbol daun palma yang begitu signifikan dengan belia. Kemudian, Doa Belia dibacakan oleh Kordinator Belia Paroki seterusnya pelancaran logo yang telah disempurnakan oleh Fr. Lo.


Terlebih dahulu, seramai 130 para belia berkumpul pada 27 Mac 2010 di mana Fr. Paul Lo berkesempatan untuk memberi ‘input’ tentang mesej kepada para Belia oleh Bapa Suci Benedict ke-16 yang bertemakan “Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan untuk memperoleh hidup yang kekal?” yang dipetik dari Injil Markus bab 10 ayat 17.

Dalam sesi tersebut para belia diterangkan dengan lebih mendalam berkenaan mesej Bapa Suci serta sesi perkongsian dalam kumpulan. Antara soalan-soalan yang diberikan pada sesi tersebut ialah “Pernahkah anda mengalami kehadiran Yesus dalam hidup anda?”, “Apakah kualiti yang baik yang ada dalam diri anda?”, “Apa matlamat hidup anda?”, “Adakah anda berpuas hati dengan kehidupan anda sekarang? Kenapa?”, “Jika Yesus memanggil anda, adakah anda bersedia untuk menyahut panggilan Dia?”, “Senaraikan Hukum Allah. Bagaimana Hukum Allah itu dapat membantu anda untuk mengasihi antara sesama?” dan “Apakah yang anda faham tentang ‘Kehidupan Kekal’?”


Sesi tayangan filem ‘Santa Maria Goretti’ telah diadakan pada sebelah malam. Filem tersebut mengisahkan kehidupan Santa Maria Goretti yang masih muda, taat kepada ibubapa, punya hati yang dekat sekali dengan Tuhan dan mempunyai keluarga yang sederhana tapi penuh dengan cinta kasih.

Santa Maria adalah penaung bagi belia, wanita-wanita muda dan mangsa yang telah diperkosa. Hari pesta penaung belia ini dirayakan pada 7 Julai setiap tahun. Fr. Thomas Makajil dan Diakon David A. Garaman juga turut hadir semasa tayangan filem tersebut. Selesai menonton filem, Doa Taize diadakan yang dipimpin oleh Sr. Lilian Unsoh, FSIC dan Edna Sylvester.
 

Pengertian Logo Kerasulan Belia Paroki atau Parish Youth Apostolate diubahsuai sedikit daripada Logo Paroki. Logo ini mempunyai 5 elemen yang penting yang diberi pengertian sesuai dengan keadaan belia di Paroki St. Mary. Kelima-lima elemen tersebut adalah:

1. Burung sebagai lambang Roh Kudus : Merupakan pembimbing dan pembantu para belia dalam mengenal Yesus dan SabdaNya yang hidup dan juga sebagai pemimpin mereka dalam pelayanan.

2. Mahkota : Mahkota melambangkan kehidupan yang berharga, mengingatkan para belia akan nilai kehidupan yang tinggi, seperti Bonda Maria yang dimahkotakan di surga kerana kehidupan yang suci dan ketaatannya kepada panggilan Allah Bapa. Huruf M pula melambangkan Bonda Maria sebagai Ibu kepada belia.

3. Huruf PYA yang berada di dalam huruf M, dan mempunyai warna yang beraneka, melambangkan Parish Youth Apostolate yang dalam kepelbagaian bangsa, bersatu didalam naungan Bonda Maria.

4. Tiga orang yang juga berada didalam huruf M tetapi dalam satu warna melambangkan belia-belia di seluruh Paroki Sandakan yang sudah disatukan dalam kerohanian belia dan berjalan bersama di dalam satu pelayanan.

5. Salip yang berada di tengah-tengah huruf itu melambangkan YESUS sendiri di tengah-tengah belia, dan merupakan peringatan kepada belia akan kerendahan hati dan Cintakasih Tuhan yang Maha Agung.


Sesi bergambar beramai-ramai bersama Paderi diadakan selepas Misa dan program belia bersambung semula di Dewan Mini Tadika. Selesai makan tenghari, Sesi Ucapan diadakan didahului oleh Sr. Lilian Unsoh, FSIC selaku Animator Belia diikuti dengan ucapan daripada Kordinator Belia Paroki, Pn. Airene A. Gumanas. Dalam ucapan tersebut, kerinduan untuk bersama-sama dengan belia sedikit sebanyak ‘terubat’ buat Tim KBP dan juga semua belia yang hadir dan harapan dapat bertemu sekali lagi di program-program Belia di masa akan datang.


Program selesai kira-kira 3.00 petang. Gotong-royong diadakan selepas semua belia bersurai.

Soccom Paroki St. Mary & amp; Foto oleh DS

2 comments:

  1. such a great picture, and a great crowd for the occasion as well! rasa teruja melihat ramainya umat2 Katolik di sandakan, especially para belia...hehe...

    Salam Minggu Suci buat semua umat Katedral St. Mary!

    ReplyDelete

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent