Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Showing posts with label BELIA. Show all posts
Showing posts with label BELIA. Show all posts

Tuesday, April 19, 2011

"Coffee Morning" Kerasulan Belia Paroki St Mary, Sandakan


Belia - belia dari KKD MERAK


Tim Rakan Belia - Remaja (TRBR)

SANDAKAN- ‘All For Unity, Unity For All’, motto inilah yang menghidupkan kesatuan belia antara sesama dengan mengadakan aktiviti "Coffee Morning" bertempat di Dewan Paroki St.Mary pada 10 April 2011. “Coffee Morning” atau dikenali sebagai Jualan Belia pada pertama kalinya tahun ini sukses dijalankan. Penglibatan seramai 50 beliawan dan beliawanis yang bertemakan baju hijau sebagai solidariti belia semasa “Coffee Morning” berjaya dilancarkan.


Taman Rimba Youth Choir (TRYC)

Belia - belia KKD Indah Jaya

Semangat menjual ...
Bukan saja jualan makanan dan minuman malah perkhidmatan "car wash" juga disediakan
Memastikan semua bahagian dibersihkan

Kumpulan Belia JCC


Tim Rakan Belia Remaja ( TRBR) , Junior Catholic Choir ( JCC), Taman Rimba Youth Choir ( TRYC), belia-belia KKD Merak dan Indah Jaya serta ahli Kerasulan Belia Paroki ( KBP) adalah antara kumpulan belia yang terlibat. Pelbagai jenis makanan dan minuman yang berteraskan sarapan pagi dijual di gerai masing-masing. Selain itu, aktiviti mencuci kereta juga dijalankan di luar kawasan dewan paroki yang dikendalikan oleh TRBR.

“Coffee Morning” ini diadakan untuk mencari dana belia dan dana ini akan digunakan dalam penganjuran program belia sepanjang tahun 2011. Selain itu program ini dapat mengeratkan lagi hubungan belia sesama belia di dalam kasih Yesus.

Suasana “Coffee Morning” di dewan pada masa itu sangat meriah dan dipenuhi oleh umat yang sentiasa memberi sokongan moral, tenaga mahupun kewangan untuk menjayakan jualan belia. Ibu bapa juga tidak ketinggalan untuk turut serta memeriahkan “Coffee Morning”. Ada juga ibu bapa yang turun padang membantu belia membuat persiapan. Inilah yang belia perlukan sokongan ibu bapa dalam pelayanan belia. Diharapkan melalui Komuniti Kristian Dasar (KKD) akan ada lagi ibu bapa yang akan turut serta dalam program belia.

“Coffee Morning” diakhiri dengan makan tengah hari dan seterusnya bergotong-royong membersihkan kawasan luar dan dalam dewan. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua belia yang terlibat untuk memberikan tenaga dan inspirasi di ladang Tuhan.


Disediakan oleh Miriam Lee Su Sian
Gambar diambil oleh Nathaniel Shia

Monday, April 18, 2011

WYD Peringkat Paroki Sandakan

Sandakan – Hari Minggu Palma dirayakan dengan penuh bermakna kerana umat Kristian Katolik di seluruh dunia memperingati akan kesengsaraan Tuhan Yesus Kristus. Hari yang sama turut dirayakan ialah Hari Belia Sedunia ke-26 Peringkat Paroki.


Hari Belia Sedunia yang bertemakan "Berakar dan dibangun dalam Yesus Kristus, Teguh dalam Iman" (Kol 2:7) ini telah diadakan pada 17 April 2011 bertempat di Katedral St. Mary, Sandakan anjuran Tim Kerasulan Belia Paroki.
Perayaan dimulakan dengan perarakan  dari Dewan Paroki menuju ke Gereja untuk Perayaan Misa Kudus. Dalam homili Fr. Muji menjelaskan kaitan Hari Belia Sedunia dengan Perayaan Hari Minggu Palma.
Bapa Uskup dan Fr. Muji menekankan satu perkara penting berkaitan dengan mesej Bapa Suci Benedict ke-16 iaitu belia harus berani menyahut cabaran dengan merenung akan perjalanan kesengsaraan Yesus memikul Salib dalam kehidupan agar para belia juga seperti Yesus, dapat menghadapi dan berusaha melawan segala cabaran yang ada dalam arus globalisasi masa kini.


Selesai Misa Kudus, acara diteruskan di Dewan Paroki. Antara aktiviti yang telah diadakan ialah makan bersama, ‘games’ ‘I am the King of the Universe’, tayangan videoshow berkaitan dengan Salib dan acara kemuncak ialah sesi kerohanian yang telah diadakan di Bilik B.

Objektif aktiviti ini adalah untuk berkumpul bersama dan merayakan Hari Belia Sedunia 2011, diaspirasikan oleh mesej Bapa Suci Benedict ke-16 dan diperbaharui serta dikuatkan sebagai Kerasulan Belia Paroki.
Para belia merayakan WYD dengan memakai t-shirt berwarna hijau yang bermaksud ‘fresh, young and growth’. Secara purata belia yang hadir adalah lingkungan umur 12 hingga 45 tahun.
Dalam sesi kerohanian, acara kemuncak bagi WYD ialah setiap kumpulan belia didoakan agar komuniti Kerasulan Belia Paroki diteguhkan, saling menyokong dan berjalan bersama dalam pelayanan belia di Paroki Sandakan.

Rata-rata 100 orang belia yang hadir menyertai aktiviti ini merasa gembira, puas hati dan mengharapkan program yang sama akan diadakan lagi dan lebih ramai lagi belia menyertai aktiviti seumpama ini untuk pertumbuhan iman mereka.


Puji Tuhan!




























Soccom SMCat Sandakan

Wednesday, July 14, 2010

REKOLEKSI KE 2 DYA - SANDAKAN DI PERKHEMAHAN ST. DAVID KUN-KUN TELUPID

TELUPID. 10 Julai 2010. Diocesan Youth Apostolate (DYA) memilih tempat Perkhemahan St. David Kun-Kun Telupid untuk mengadakan rekoleksi kali ke 2. Sejauh 10 kilometer dari pekan Telupid dihubungkan dengan jalanraya pembalakan sebelumnya. Memakan masa 20 minit untuk sampai dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.


Tempat ini adalah merupakan Kawasan Perhutanan Kerajaan Negeri. Sudah tentu amat sesuai dan sangat istemewa kerana alam sekitarnya yang asli atau kurang gangguan dari aktiviti manusia. Di sini masih lagi kita melihat pokok-pokok besar, air sungai yang jernih, bersih dan suasana yang tenang serta udara segar. 

Rekoleksi adalah merupakan suatu aktiviti pembentukan kerohanian dan pendalaman iman bagi belia Katolik. Di mana para peserta akan mengasingkan diri ke tempat yang sunyi dan tenang. Di sini peserta mulai mengimbas kembali keberkesanan pelayanan sebelum dan menilai hasil serta harapan masa depan.
Program rekoleksi juga adalah program refleksi iaitu mengenal diri: siapa saya dan saya? siapa saya dan alam sekitar? siapa saya dan sesama dan siapa saya dan Tuhan? Rekoleksi dan Retret adalah cara Yesus membentuk para murid-muridNya.


Sesi pertama di kendalikan oleh Rev. Deacon David Garaman yang mengajak menelusuri jejak kehidupan Para Rasul Tuhan Yesus Kristus. Bukan sahaja semangat Roh Kudus yang mendorong pelayanan Para Rasul yang perlu diketahui, namun kelemahan kemanusiaan mereka juga. 
Beliau memulakan perkongsian tentang Yohanes Pembaptis sebagai guru  yang memperkenalkan 'Anak Domba Allah' Guru Baru iaitu Yesus Kristus. 'Marilah dan lihatlah'. Demikianlah Sabda Yesus yang mengajak murid-Nya. 


Berbagai-bagai tanggapan murid sepanjang bersama dengan Guru. Apakah Dia diutus sebagai Mesiah, jelmaan nabi, apakata orang dan sebagainya. Sehinggalah mereka berpeluang melihat Tranfigurasi di Gunung Tabor. Para murid yang menyertaiNya ketika itu, melihat Yesus berubah rupa. WajahNya bercahaya seperti matahari dan pakaian-Nya putih bersinar laksana terang. Setelah itu,  Dia kelihatan bercakap-cakap dengan Musa dan Elia. Keilahian Yesus mencengangkan muridNya. Namun bagi Yesus kemuliaanNya adalah pengorbanan Salib di bukit Golgota.



Deacon David mengaitkan tentang pelayanan belia hari ini dengan aktiviti 'tranfigurasi' yang enggan turun untuk berkorban. "Realiti sebenarnya adalah dalam rumah" tambahnya lagi.


Deacon David meneruskan perkongsiannya tentang sejarah para Rasul Kristus iaitu keadaan Gereja yang didirikan oleh Yesus sendiri. Bagaimana sejarah Gereja yang diteruskan oleh Bapa Gereja awal mengalami suka dan duka seterusnya harta kebenaran yang kita nikmati hari ini.


Beliau juga mengaitkan pengertian motto Bapa Uskup yang sangat jelas dan menarik pada erti Ekaristi dan kaitannya dengan upacara mencuci kaki yang dilakukan oleh Yesus sendiri terhadap muridNya di keempat buah INJIL. Menurutnya sangat berkaitan dengan tindakan iman dan perbuatan iaitu Ekaristi yang hidup dalam peribadi umatNya.


Selepas berehat seketika, peserta meneruskan sesi dengan perkongsian doa. Beberapa teknik permohonan dalam doa yang berkesan menurut pengalaman mereka. Berdoa adalah 'dialog' memerlukan keberanian untuk bercakap dengan Tuhan. Pendoa perlu mengimbas keberadaan diri terlebih dahului dengan Roh Kudus. Menurut perkongsian sdr. Bell mengumpamakan salah satu konsep pekerjaan Roh Kudus adalah seperti peranan 'anti virus' bagi komputer.  


Roh Kudus membebaskan kita dari gangguan suara hati yang ketidakyakinan terhadap Allah (1 Yohanes 3: 19-24). Roh Kudus akan membersihkan deria dan pancaindera yang banyak menyimpan memori negatif, yang menyebabkan manusia bermasalah. 
Pada tengah hari acara makan bersama yang disediakan oleh para belia paroki St. Martin Telupid. Seterusnya peserta tidak melepaskan peluang mandi sebelum kembali untuk mengadakan mesyuarat.

Masa sangat cemburu sekali, bagi kami untuk menikmati alam semula jadi lebih lama.



Pengalaman indah ini sangat berkesan di hati para belia. DYA mengungkapkan cinta mereka dengan menamakan tempat ini Perkhemahan St. David Kun-Kun, Telupid, agar dengan harapan kiranya tempat ini sentiasa asli, terjaga dan tidak dicemari. Sdr. Rikkie mengatakan ingin ke tempat ini sekali lagi di masa hadapan, jika ada peluang katanya. 


Mesyuarat DYA- Sandakan di Bilik Mesyuarat Hotel Pekan Telupid

Antara agenda menarik dalam mesyuarat tersebut ialah laporan Konsultasi Belia dan persiapan penganjuran Konvensyen Belia pada 2011. Konsultasi Belia adalah merupakan suatu program dialog antara belia tentang realiti masa kini. Hala tuju dan sebagainya. Konvensyen Belia akan merenung Ucapan Dasar Uskup dan menerima Pembentangan Kertas Kerja serta Forum Belia.


Angeline adalah salah seorang dari anggota DYA memotong Kek Ulang Tahun

Pada malamnya adalah Majlis Makan bersama Rektor Paroki Rev. Fr. Marcellinus Pongking dan Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP) Encik Albert Matusin. Disamping menyaksikan tayangan slide imbasan kembali selama berada di Telupid.

dya

Tuesday, March 30, 2010

Misa Pengutusan dan Pelancaran Logo Kerasulan Belia Paroki Sandakan

Sandakan – Seramai 15 orang pemimpin belia telah diutus semasa merayakan Minggu Palma dan logo Kerasulan Belia Paroki turut dilancarkan pada 28 Mac 2010 bertempat di Katedral St. Mary, Sandakan.

Setiap tahun, para belia di seluruh dunia merayakan Hari Belia Sedunia di mana hari yang sama Gereja sejagat merayakan Hari Minggu Palma, perayaan yang mengingatkan kembali para umat tentang kesengsaraan Yesus.

Friday, March 19, 2010

KERJASAMA BELIA KENINGAU DAN SANDAKAN PASTIKAN MYOM 2010 LANCAR



Sandakan : Rabu, 17 Mac 2010, Komisi Kerasulan Belia Keuskupan Keningau (KKBKK) telah membuat kunjungan ke Sandakan khasnya untuk mengadakan mesyuarat persediaan Malaysian Youth Offices Meeting (MYOM) 2010 bersama Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan (KBKS).

MYOM akan diadakan di Sandakan pada 18-22 Oktober tahun ini. Beberapa belia yang mewakili setiap keuskupan di seluruh Malaysia akan menghadiri mesyuarat tersebut bagi membincangkan pelbagai isu mengenai belia di Malaysia.

Thursday, March 11, 2010

MISA PENGUTUSAN KBK DAN PELANCARAN LOGO


Team Kerasulan Belia Katolik Keuskupan  (KBK) Sandakan berdiri di hadapan Altar menerima komitmen dan berkat pengutusan dari Bapa Uskup Julius.




Sandakan. Ahad. 7 Mac 2010 hari bersejarah bagi Belia Keuskupan Sandakan menyaksikan Team Kerasulan Belia Katolik Keuskupan Sandakan (KBK) diutus di dalam Misa Kudus dan pelancaran logo KBK oleh Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom.


Tuesday, March 2, 2010

NOVENA PENGUTUSAN DAN PELANCARAN LOGO BELIA SANDAKAN

Tim Kerasulan Belia Katedral St. Mary's Sandakan sedang membaca doa Novena

Belia Katolik di empat buah Paroki dalam Keuskupan Sandakan sedang mengadakan Novena serentak samada berkumpulan atau individu bermula pada 25 Feb hingga 6 Mac di antara jam 7.30pm hingga10.00pm. Permohonan Novena agar Roh Kudus membuka hati para belia agar sudi menerima pengutusan dan kelancaran acara pada hari tersebut.  Mereka memilih doa-doa St. Maria Goretti penaung bagi belia.








Monday, January 18, 2010

Rekoleksi Pertama Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan


Rekoleksi Kerasulan Belia Keuskupan yang diadakan pada 8-10 Januari 2010 di Pusat retret Keuskupan sandakan adalah merupakan aktiviti pertama selepas penubuhannya pada 3 Oktober 2009 yang lalu. Rekoleksi ini diadakan khusus buat pewakilan-perwakilan belia dari paroki St Mary, Sandakan, paroki St. Martin, Telupid, Paroki St Dominic, Lahad Datu dan Holy Trinity, Tawau yang merupakan ahli dalam Kerasulan Belia Keuskupan (KBK).

Tujuan utama adalah untuk mengenali ahli-ahli tim secara peribadi dan kerohanian agar dapat berjalan seiring dalam pelayanan sebagai Kerasulan belia untuk belia dalam Diosis Sandakan dan juga di paroki masing-masing.


Memulakan Rekoleksi dengan doa senyap dan cahayalilin untuk negara


Thursday, May 14, 2009

Rekoleksi Belia Sandakan

CUTI-CUTI
BERSAMA YESUS


Sandakan – Baru-baru ini satu Rekoleksi Belia telah diadakan di Katedral St. Mary, Sandakan yang bertemakan “Sebelum Aku membentuk engkau dalam rahim ibumu, Aku telah mengenal engkau, dan sebelum engkau keluar dari kandungan, Aku telah menguduskan engkau, Aku telah menetapkan engkau menjadi nabi bagi bangsa-bangsa” (Yeremia 1:5).


2hb Mei 2009 tarikh yang dipilih untuk rekoleksi ini di mana program ini telah menyatukan peserta, ‘observer’ dan ‘fasilitator’ seramai 40 orang. Ia bertujuan mengenali diri dan sesama untuk mengeratkan persahabatan, mempersiapkan peserta dari segi kerohanian untuk pemilihan ‘Badan Adhoc Penggerak Belia’ dan akhir sekali ‘cuti-cuti bersama Yesus.’
Program dimulai seawal 7:30 pagi dan berakhir tepat 10:30 malam. Antara aturcara program sehari ini ialah ‘Saya ada di sini Tuhan’ (oleh Sr. Lilian, fsic), ‘Tema’ (oleh Fr. Paul Lo), ‘Transition’ (oleh Sr. Lilian, fsic), ‘Air mata Tuhan’ (oleh Sr. Appollonia, fsic), ‘Giliran Saya - It’s My Turn Yahoo!!!!!’ (oleh Sr. Liliana, fsic), ‘Pemilihan Adhoc’ dan akhir sekali ‘Anda cukup istimewa… Maafkan saya kiranya…’ (oleh Sr. Lilian, fsic).

Rekoleksi Belia pada kali ini dikendalikan sepenuhnya oleh Paderi dan religius Paroki Sandakan. Fr. Paul Lo memperkongsikan tentang tema yang dipilih iaitu Yeremia 1:5 secara terperinci. Perkongsian yang beliau sampaikan amat indah sekali kerana ia berketepatan sempena Minggu Panggilan di mana Bapa Suci kita telah memilih tema ‘INISIATIF DARI TUHAN dan SAHUTAN DARI MANUSIA’.

Kebanyakan peserta yang hadir terdiri daripada belia remaja dan dewasa yang berumur 13 hingga 45 tahun. Sebelum memulakan perkongsian beliau, Fr. Paul bertanya kepada Team Penganjur mengapakah tema Yeremia 1:5 dipilih. Salah seorang Tim Penganjur memberitahu tema dipilih kerana hatinya tergerak untuk membuka Alkitab dan menjumpai ayat itu. Tema itu juga telah menyentuh hatinya kerana seperti Nabi Yeremia, walaupun ia masih muda, tetapi Tuhan telah memilih dia sebagai pengikutNya yang tetap setia dengan panggilannya walaupun pada mulanya Nabi Yeremia belum bersedia untuk menyahut panggilan Tuhan.
Fr. Paul kemudian meneruskan isi-isi hujah beliau iaitu tema yang dipilih mengisahkan seorang nabi yang masih muda belasan tahun. Melihat logik manusia, Fr. Paul memberitahu seseorang yang masih muda senang untuk menerima perkara yang baru, bersikap terbuka dan ‘senang’ untuk mengatakan ‘AMEN’ atas panggilan Tuhan. Di kesempatan itu juga Fr. Paul mengajak para muda-mudi yang ingin melayani di ladang Tuhan khususnya dalam panggilan kepaderian dan religius agar bersikap terbuka kepada Tuhan, berani menyahut panggilanNya serta percaya kepada iman yang dimiliki.Selanjutnya Fr. Paul menceritakan kisah seorang sami dan pengikutnya. Sami tersebut memanggil anak muridnya sambil menuang air ke dalam cawan di mana air telah melimpah dan terus melimpah. Kemudian anak muridnya bertanya ‘Guru, cawan itu telah penuh dan air telah melimpah’. Lalu sami itu menjawab ‘Cawan itu adalah kamu.’
Pengajaran dalam cerita ini ialah kita seperti sebuah cawan harus membuang isi yang ada dalam cawan agar kita boleh menerima segala sesuatu yang baru agar kita dapat bertumbuh dalam iman dan dapat dibentuk sesuai dengan kehendak Tuhan.
Akhir sekali, Fr. Paul mengajak setiap peserta untuk selalu melihat kembali panggilan hidup sama ada sebagai seorang paderi, religius, berkahwin, bujang, mereka yang bekerja mahu pun sebagai seorang pelajar. Setiap panggilan tidak dilihat kepada kejayaan tetapi keTAATan melakukan kehendak Tuhan. Segala pengalaman hidup yang diperolehi adalah dasar kehidupan iman yang seterusnya diaplikasikan di tempat sendiri atau pun di tempat lain.

Acara kemuncak yang dinanti-nantikan telah pun terjawab iaitu pemilihan 12 orang Badan adhoc Penggerak Belia melalui ‘Spiritual Voting’. Peserta-peserta yang telah terpilih ialah Alfreddo Asiong, Miriam Lee, Clarice George, Charlesandy Dominic, Leahim Botulis, Edna Sylvester, Venessa Julian, Reginia Jane Hugo, Lucas Loli, Cynthia Anros, Anna Teresa Peter Amandus dan Airene Anne A. Gumanas.
Berikut adalah perkongsian para peserta:
“Cukup bersyukur kerana rancangan Tuhan itu ajaib. Firman Allah mengatakan ramai yang dipanggil tetapi sedikit yang terpilih. Saya percaya Tuhan punya rencana terhadap setiap peserta yang datang masa rekoleksi lalu. ‘I feel renewed’. Semua program menyedarkan saya dari buaian tidur yang lama. Saya terlalu leka dengan pelayanan dan tidak ada saat untuk bersama Tuhan. Sebagai ‘belia penggerak’ perlu punya masa untuk berdiam diri, memberi peluang untuk diri saya mendengar bisikan Tuhan. Saya amat tersentuh mendengar perkongsian daripada Fr. Paul berkenaan dengan tema. Saya benar-benar percaya akan Firman Tuhan (tema) itu! Di mana saja saya berada (kolej, merantau di tempat orang, tempat kerja) Tuhan selalu memanggil saya. Pernah satu ketika saya ingin menjauhkan diri dari pelayanan kerana ingin memberi fokus terhadap pelajaran dan kerja, tetapi Tuhan tetap memanggil saya. Aduh, memang ajaib sekali rancangan Tuhan dengan saya. Saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana karunia yang Dia berikan pada saya, sukses dalam pelajaran, sukses dalam pekerjaan, memberikan saya keluarga yang cukup menyayangi dan memahami saya, memberikan kawan-kawan yang sama-sama teguh dalam pelayanan, kawan-kawan yang sama-sama jatuh/bangun dalam pelayanan, kawan-kawan yang sama-sama merintangi ombak, kegembiraan, kejayaan sebab kita percaya TUHAN MENYERTAI KITA! ‘ask, you will receive, knock, the door will be opened..’. Terlalu indah perasaan yang saya rasai. Sekadar mengucap syukur tidak cukup. Saya mahu menggunakan karunia-karunia Tuhan dalam pelayanan saya dalam BELIA kerana dengan cara ini juga saya dapat berterima kasih kepada Tuhan kerana memberikan saya kehidupan ini.” (oleh Anna Teresa Peter Amandus)
“Shalom kawan-kawan yang seiman dalam Kristus. Syukur kepada Tuhan kerana telah memberikan saya peluang untuk mengongsikan sedikit perkongsian dan pengalaman saya ketika mengikuti Rekoleksi Belia. Sememangnya mengikuti Rekoleksi Belia ini membuatkan fikiran saya lebih terbuka untuk mengenali sedikit demi sedikit apakah itu PELAYANAN BELIA. Hal ini kerana sejak tahun lalu lagi (2008), hati kecil ini pernah menyimpan satu keinginan untuk cuba melayani dalam pelayanan belia, tetapi tidak tahu di mana harus dimulakan. Ya, syukur Tuhan semakin mendengar doa saya. Tambahan pula, rekoleksi ini benar-benar diberkati apabila Firman Tuhan yang indah dari Yeremia 1:5 dijadikan tema bagi Rekoleksi Belia ini. Bagi saya, tema ini sangat menyentuh kerana saya percaya Tuhan telah memilih saya untuk melayani Dia dalam pelayanan belia. MEMBERI PELUANG?? Perkara inilah yang saya belajar agar memberi peluang kepada satu sama lain apabila melayani. Selain itu, saya juga gembira dan bersyukur kepada Tuhan kerana telah melayakkan saya untuk menjadi salah seorang ahli di dalam Tim Adhoc . Walaupun saya belum mempunyai cukup pengalaman dalam usia muda ini untuk melayani tetapi saya percaya Tuhan akan sentiasa menyertai saya. Harapan saya agar para Belia Paroki St. Mary akan terus terbuka hati mereka untuk melayani agar iman kita sebagai seorang belia akan terus terpelihara. Amen.” (oleh Venessa Julian)
Rekoleksi diakhiri dengan Sesi ‘Anda cukup istimewa…Maafkan saya kiranya…’ (‘Affirmation and Reconciliation’) yang dipimpin oleh Sr. Lilian Unsoh, fsic. Acara bergambar beramai-ramai mengakhiri Rekoleksi Belia Sesi Mei 2009. “Bersatu kita teguh, bercerai kita bersaksi!” Disediakan oleh: Airene (lovely_vdeg@yahoo.com)

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent