SANDAKAN: Perayaan Hari Wanita Sedunia, Paroki St. Mary Sandakan yang bertemakan, "Merayakan Panggilan Wanita" telah diadakan julung kalinya pada 12hb Mac 2016. Program bermula dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang di Dewan Paroki St. Mary, Sandakan. Seramai 118 wanita telah menyertai program sehari yang telah dianjurkan oleh Kerasulan Wanita Paroki St. Mary.
OBJEKTIF HARI WANITA SEDUNIA PERINGKAT PAROKI- Mendalami panggilan dan peranan wanita Kristian
- Memupuk kesedaran solidariti dan keprihatinan terhadap wanita lokal dan antarabangsa
- Menyemarakkan semangat inspirasi rohani wanita dan misi pelayanan
- Memberi peluang para wanita untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman
- Menghargai wanita
Sr Appollonia fsic
Sr Maria rgs
Kesemua
sesi pada hari tersebut telah disampaikan oleh Sr. Maria Dipal, rgs
kecuali sesi pertama yang bertajuk 'Wanita diciptakan menurut rupa dan
hati Allah' telah disampaikan oleh Sr. Appollonia Gumpu fsic.
Gambar-gambar aktiviti Perayaan Hari Wanita Sedunia Peringkat Paroki Katedral St Mary, Sandakan
KESAKSIAN OLEH ANATHASIA
THOMAS
Untuk pertama kalinya, saya telah mengikuti perayaan Hari Wanita Sedunia yang diadakan di Dewan Katedral St. Mary Sandakan pada 12 Mac 2016. Saya sangat bersyukur dapat meraikan Hari Wanita ini kerana terdapat banyak perkara baru yang saya dapat lalui.
Saya sangat suka akan aktiviti-aktiviti sepanjang program Hari Wanita ini termasuklah perkongsian daripada Sister Appollonia fsic dan Sister Maria rgs, menyanyikan lagu-lagu pujian, aktiviti individu dan berkumpulan, dan berkenalan dengan rakan-rakan baru.
Melalui aktiviti-aktiviti ini, saya mampu mengerti dan mempelajari lebih dalam lagi mengenai keunikan dan keistimewaan seorang wanita. Dalam sesi perkongsian yang disampaikan oleh Sister Appollonia, saya tersentuh dengan ayat firman ini; Kejadian 1 : 26 iaitu Tuhan menciptakan saya menurut gambar dan rupanya. Saya selalu berasa rendah diri dengan diri saya. Namun, dalam perkongsian yang diberikan, saya mengetahui bahawa saya adalah unik kerana dicipta seturut “gambar’dan “rupa’ Allah, berkeupayaan untuk berfikir dan memilih serta menghargai segalan ciptaan Tuhan yang “SANGAT BAIK.” Oleh itu, saya memilih untuk menjalani hidup saya dengan penuh syukur kerana saya adalah ciptaan Tuhan yang “SANGAT BAIK.”
Saya juga sangat tersentuh dengan sesi perkongsian dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh Sister Maria rgs. Sebagai wanita, saya mengalami banyak pengalaman pahit sejak saya kecil lagi. Saya tersentuh dengan perkongsian ‘Mengapa engkau menangis?.’ Saya menyedari bahawa terdapat lebih ramai lagi wanita yang menderita disebabkan oleh keganasan dan sikap tidak berperikemanusiaan sesetengah pihak.
Melalui aktiviti ‘The Cup of Life’, saya mengetahui akan kepentingan untuk berkongsi dengan wanita lain. Dengan berkongsi dan merenungi firman Tuhan bersama, kita akan dapat meneguhkan iman satu sama lain. Kita juga akan lebih diberkati jika kita saling membantu antara satu sama lain.
Sesungguhnya, perayaan Hari Wanita ini memberikan pengalaman hidup saya melalui perkongsian yang berharga. Saya berharap lebih ramai lagi wanita yang dapat mengikuti perayaan Hari Wanita pada tahun hadapan.
No comments:
Post a Comment