Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, April 17, 2016

Belia Markpeter Anjur 'Pertemuan Pelajar'

Artikel dan gambar oleh Eman dan Rayner
Sandakan: Pada 9 April 2016, lebih dari 50 belia Markpeter serta pelajar-pelajar UMS dan Kolej Politeknik telah menganjur pertemuan pelajar yang diadakan di Gereja St. Peter, Sungai Manila. Pertemuan kali ini bertemakan “Marilah kepada-Ku semua yang letih lesu dan berbeban berat. Aku akan memberi kelegaan kepadamu.” (Mat11:28).
Objektif bagi pertemuan ini ialah memberi peluang kepada belia untuk mengekspresikan diri, memberi kesegaran melalui aktiviti rohani dan menyediakan landasan untuk menyatukan dan mengeratkan hubungan antara belia.
Pendaftaran telah bermula pada 8.30 pagi. Ahli penganjur pertemuan ini menyambut mereka dengan hati terbuka. Ada juga kanak-kanak yang menyertai program  tersebut. Penglibatan mereka boleh dijadikan sebagai pendedahan awal gereja kepada kanak-kanak tersebut.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi program, saudara Alday Alexius. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa program ini dilakukan untuk 'de-stress' dari beban dan tekanan yang dihadapi. Program ini juga memberi masa untuk belia berada dalam keadaan santai dan sukacita. 
Beliau berkata bahawa kanak-kanak yang mengikuti program tersebut adalah pelapis belia masa akan datang dan disebabkan itu janganlah kita menghalang mereka untuk bersama-sama kita, kerana di alkitab juga ada sebut “biarkanlah anak-anak itu datang kepada-Ku, dan jangan kamu menghalang-halangi mereka sebab orang-orang seperti itulah yang empunya kerajaan Allah” (Luk 18:16). Selepas ucapan, saudara Alday melakukan doa pembukaan sekaligus doa makan. Para peserta dan AJK bersarapan pagi bersama-sama para belia yang lain.
Acara dimulakan dengan Pujian dan Penyembahan serta ‘ice breaking’. ‘Ice breaking’ tersebut dikendalikan oleh saudara Tommy Gedeus. Dalam sesi tersebut beliau lebih menekankan kepentingan komunikasi antara peserta serta kerjasama di dalam kumpulan.
Sesi pertama iaitu “Belia dan Gereja” dibawa oleh penceramah jemputan iaitu saudara Adaris Moses Sintan. Antara isi penting dalam sesi beliau ialah :
  • Pengalaman hidup mengajar kita pelbagai pengalaman yang membentuk keperibadian kita.
  • Belia adalah pelapis gereja dan suara belia harus didengar oleh gereja.
  • Menyedari panggilan sebagai seorang Kristian melalui sakramen contohnya “panggilan Tuhan kepada Samuel 3 : 4-10”
  • Panggilan berkomuniti baru dapat membangun gereja dan belia.
  • Melayani di dalam komiti (kelompok doa, LOM, OFS dll) dan tidak tertumpu di dalam pelayanan belia sahaja supaya perhubungan dengan Tuhan semakin kuat.
  • Untuk apa saya menjadi Kristian?
  • Menyedarkan kita bahawa kitalah yang akan menjadi nabi, rasul dan imam.
Sesi seterusnya dikendali oleh saudara Jayronna Johnny iaitu sesi “Come unto me”. Sesi ini membawa peserta merenung segala beban, tekanan dan masalah dalam kehidupan. Dalam sesi ini juga peserta dapat belajar untuk berkongsi segala beban dan masalah yang dihadapi dan menyerahnya kepada Tuhan kerana Tuhan akan memberikan kelegaan kepada mereka yang berbeban berat dan letih-lesu. 
 
Setiap beban dan masalah para peserta akan dituliskan di sekeping kertas dan di akhir program, kertas tersebut akan dibakar sebagai simbolik segala beban kita dipersembahkan kepada Tuhan agar Tuhan memberikan kita kelegaan. Peserta juga belajar bersyukur atas segala yang terjadi di dalam kehidupan. Selepas merenung dan bersyukur, peserta diberi peluang untuk berkongsi antara satu sama lain secara peribadi.
Di akhir program, sebelum bersurai, para peserta bergotong-royong untuk membersihkan Gereja St Peter dan sekelilingnya di susuli dengan sesi gambar beramai-ramai.

1 comment:

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent