Disediakan oleh Norwin Edwin Biano,
Pelayan Altar – Katedral St Mary,
Sandakan
Pelayan Altar – Katedral St Mary,
Sandakan
Sandakan – Kem Pelayan Altar Katedral St. Mary Sandakan telah
diadakan pada 16 hingga 18 Mac 2016.
Sejumlah 77 orang Pelayan Altar dari Katedral St Mary dan gereja –
gereja serta chapel di bawah naungannya seperti Gereja St. Joseph, Gereja St.
Mark, Gereja St. Paul Ulu Dusun, Gereja Our Lady of Fatima Beluran, Chapel St.
Emmanuel Jaya Bakti dan Chapel St. Anthony Bukit Garam telah mengikuti kem tersebut yang
merupakan kedua kalinya dianjurkan.
Tema Kem Pelayan Altar pada tahun ini ialah “Melayani sesama dengan
cinta kasih dan belas kasih Tuhan.” Pada
hari pendaftaran, peserta – peserta telah disambut oleh tim penganjur iaitu
Pelayan Altar dari Katedral. Selepas itu
peserta dibawa bersama dalam aktiviti seperti nyanyian bersama dan sesi suaikenal agar para peserta dapat saling mengenali satu sama lain. Pada waktu malam hari pertama, Rev. Fr Sunny
Chung sebagai paderi penasihat telah memberikan penerangan tentang perjalanan
sepanjang kem, objektif dan peraturan kem. Pada waktu itu juga para fasilitator telah diperkenalkan kepada semua peserta untuk memudahkan peserta
mendapatkan bantuan apabila perlu.
Pada hari berikutnya, selepas doa pagi dan time of life, sesi 1 telah disampaikan oleh Rev. Fr Sunny Chung
berkenaan dengan asas pelayanan sebagai Pelayan Altar (Back to basics). Selepas
sesi 1, peserta bersiap sedia untuk mengadakan ziarah di Bukit Maria. Peserta
berdoa Rosary di sepanjang pendakiqn di
Bukit Maria dan merayakan Misa Kudus di puncak Bukit Maria. Perayaan Misa Kudus diselebrankan oleh Fr.
Sunny Chung.
Peserta – peserta kem diberi kesempatan untuk berkongsi pengalaman baru
melakukan ziarah ke puncak Bukit Maria pada petang hari. Kebanyakan peserta menimba pengalaman baru
melalui ziarah dan perayaan Misa Kudus di puncak Bukit Maria. Selain berkongsi pengalaman melakukan ziarah,
para peserta juga berkongsi cabaran – cabaran dalam pelayanan sebagai Pelayan
Altar. Pada petangnya, para peserta meneruskan
aktiviti yang di panggil Treasure
Hunt. Aktiviti luar dewan ini
membantu para peserta untuk mengaplikasikan semangat kerjasama sebagai pasukan,
berbincang dalam menyelesaikan masalah dan saling berkomunikasi antara satu
sama lain. Semua sifat – sifat ini amat
penting dalam pelayanan sebagai Pelayan Altar.
Malam sosial kem Pelayan Altar yang santai berlangsung meriah dengan acara BBQ, persembahan spontan dari perwakilan gereja dan
chapel, dan juga dari para fasilitator sendiri.
Religious sister dan beberapa belia dari Kerasulan Belia Paroki juga
turut bersama pada malam tersebut.
Pada hari terakhir kem, para peserta meneruskan sesi dengan mengenali
santo penaung kepada pelayan Altar iaitu Santo Tarcisius dan Santo John
Berchmans. Sesi terakhir kem ialah
sesi praktikal tentang cara pelayanan waktu Misa.
Fr. Sunny memperingatkan para Pelayan Altar bahawa sungguhpun sesi praktikal
dilakukan di Katedral St. Mary dan suasana pastinya berbeza dengan gereja atau
chapel yang lain, namun secara dasarnya pelayanan itu adalah sama; yang
membezakan hanyalah suasana dan keadaan.
Oleh itu, Pelayan Altar harus mempraktikan cara pelayanan itu mengikut
kesuaian setempat.
Sebelum kem berakhir, Fr. Sunny mengungkapkan kepada para peserta bahawa
adalah menjadi harapanya agar Pelayan Altar lebih berdedikasi dan berdisiplin
dalam pelayanan. Melayani sebagai Pelayan
Altar bukan atas dasar “suka – suka” sahaja tetapi lebih memahami akan identiti
sebagai Pelayan Altar, melayani penuh semangat dan sentiasa bersedia untuk “melayani sesama dengan cinta kasih dan
belas kasih Tuhan” sesuai dengan gelaran Knights of the Altar.
No comments:
Post a Comment