Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, March 14, 2015

PENGALAMAN SAYA ~ YOUTH LEADER'S CAMP IV

Compiled by DS / st


Girald Pilipus, Telupid
Sepanjang saya mengikuti Youth Leader's Camp (YLC) ini, saya menyedari bahawa secara tidak langsung saya telah membuka hati untuk menerima siapa diri saya. Saya mempunyai badan yang agak comel dan selepas mengikuti sesi "I am Enough", ia telah memberi impak yang sangat besar kepada diri saya. Sesi "Joy of the Gospel" yang telah disampaikan oleh Fr. Sunny Chung secara tidak langsung telah membantu sikap serta peribadi saya dalam melayani dan bekerja dengan orang ramai. Sesi "Joy of the Gospel" telah membuat saya merenung tentang pilihan saya untuk bekerja dalam bidang pastoral di Katedral St. Mary. Saya amat minat dengan apa yang saya lakukan sekarang, saya memperolehi sukacita. Saya tersentuh melihat perkembangan dalam diri masing-masing dan juga ikatan persahabatan di antara semua peserta, tidak kira yang lama mahupun yang baru. Kita seolah-olah telah lama mengenali sesama dan mempunyai perhubungan yang akrab.


Ivalisalyne, Sandakan
Apa yang saya perolehi melalui YLC-4 adalah saya lebih berkeyakinan untuk melayani. Sebagai belia yang sudah diutus, kita haruslah teruskan pelayanan dalam ladang Tuhan. Melayani bukan "part time"
Selain itu, saya juga dapat merenung tentang diri sendiri dalam pelayanan selama ini. Pada dasarnya, apa yang paling penting dalam pelayanan adalah komitmen. Perkara yang paling menyentuh hati saya selama YLC-4 dijalankan adalah semasa program jalan salib. Saya dapat merasakan pengorbanan dan cinta kasih Tuhan yang sangat besar untuk saya. Hal baru yang saya pelajari ialah, saya dapat menerima diri sama ada yang baik mahupun yang buruk. Saya juga lebih menghargai diri saya sendiri dan keadaan kehidupan saya. Melalui kem ini, Tuhan telah membisik kepada saya untuk lebih bersemangat dan tidak berasa gelisah. Perasaan bersalah, tidak kena dan tidak sesuai dalam pelayanan tetap ada. Kem selama 5 hari ini telah menyedar diri saya bahawa tidak kira apa yang saya lakukan Dia tetap senantiasa berada disisi-ku. 


Nes Sandra, Tawau
Sesi "Joy of the Gospel" telah memberi saya satu suntikan spiritual yang membawa saya ke satu tahap yang baru. Kini saya lebih memahami pelayanan saya sebagai seorang guru. Sekarang ini, semakin ramai yang telah meninggalkan iman Kristiani di kalangan pelajar sekolah. Itu juga merupakan salah satu sebab kenapa saya mahu menjadi seorang guru. Saya mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan berita baik dalam kerjaya saya sebagai seorang guru Katolik. 
Selain itu, 'Malam Seribu Budaya' juga sangat menarik minat saya. Saya dapat mempelajari budaya bangsa lain walaupun cuma melalui pakaian yang kawan-kawan lain pakai. Ini menimbulkan rasa hormat antara sesama dan saling mengasihi walaupun kami berlainan bangsa dan budaya kerana semua kita adalah anggota tubuh Kristus. Tuhan mengasihi semua dan Dia terlebih dahulu mengasihi kita. Oleh itu, saya seharusnya mengasihi yang lain. 
Doa Talitachum sangat menyentuh saya kerana saya dapat merasakan kesatuan. Sebagai satu keluarga yang besar dalam Kristus, kita satukan doa kami untuk semua Kristian di seluruh dunia. 
Apa yang saya pelajari melalui kem ini ialah mendengar dengan teliti sebelum menilai seseorang atau sesuatu perkara. Semasa ingin menyampaikan hasil diskusi kumpulan kami, cabaran dan usaha belia untuk isu-isu belia, saya lebih banyak belajar untuk mendengar. Saya cuba memahami situasi kawan-kawan yang baru saya kenali dan situasi yang saya tidak pernah alami sendiri. Ia telah mengajar saya untuk menjadi seorang pendengar yang baik. Semasa kem ini, Tuhan telah menunjukkan saya untuk menjadi seorang pendengar yang baik sebelum menasihati kawan-kawan yang lain. Dia juga ingin saya memahami situasi seseorang sebelum menilai mereka.

Erika, Lahad Datu
Saya sangat tersentuh dengan perhentian yang keempat semasa jalan salib. Saya terasa amat "down" apabila saya menghadapi masalah. Saya tidak tahu bagaimana untuk bangkit semula dan kadang-kadang saya akan marah pada Tuhan atas masalah-masalah yang saya hadapi. Saya mempunyai banyak kekurangan dalam hidup saya sehingga saya sangat membenci hidup saya. Saya juga seorang yang pendendam. Selepas sesi "I am Enough" dan selepas berjumpa dengan saudari Teresa, saya cuba untuk membuang semua yang tidak baik di dalam hidup saya. Saya cuba untuk bangun semula. Sekarang, walaupun saya mempunyai masalah, saya akan meluah pada Yesus. Sebelum ini, semasa YLC ketiga di Lahad Datu, disebabkan ego yang sangat tinggi, sangat susah untuk saya berkongsi kerana saya takut menangis di hadapan kawan-kawan. Sekarang ini, saya sudah boleh menerima diri saya seadanya. I am enough! Saya juga akan perbaiki hidup saya dan menjadi seorang pemimpin yang baik. 

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent