Bergambar bersama Paderi Paroki Rev. Fr. Jasery Gabuk serta Ketua Liturgi Gereja, Puan Junainah Adam. |
TELUPID: Pada Sabtu, tanggal 16hb Mac 2013, satu rekoleksi khas
untuk Pelayan Altar telah diadakan. Seramai 30 orang Pelayan Altar telah
menyertai rekoleksi sehari anjuran Komiti Liturgi Gereja
St. Martin, Telupid.
Rekoleksi ini diadakan bertujuan untuk mempersiapkan para
Pelayan Altar yang akan bertugas pada masa Minggu Suci nanti. Rekoleksi tersebut
telah dikendalikan oleh Seminarian Stanley William. Semasa rekoleksi tersebut, Seminarian Stanley telah memberitahu para peserta bahawa tugas Pelayan
Altar adalah penting sekali semasa perayaan Misa Kudus diadakan. Beliau juga
menerangkan bahawa sebagai seorang Pelayan Altar mereka juga haruslah menjadi
contoh kepada rakan-rakan atau kepada belia-belia yang lain dan bukannya
menjadi Pelayan Altar untuk mencari glamour atau pun populariti.
Semasa rekoleksi
itu juga beliau telah menerangkan serba sedikit tentang sejarah gereja
dan juga menerangkan maksud tentang warna-warna liturgi gereja iaitu hijau,
merah, ungu dan putih. Di samping itu, beliau turut menunjukkan bagaimana
cara-cara yang betul bagi mempersiapkan peralatan yang digunakan semasa Misa Kudus. Beliau menegaskan bahawa semua Pelayan Altar haruslah menjaga
disiplin mereka semasa melayani dan menasihati mereka untuk datang awal sebelum Misa Kudus bermula. Persiapan fizikal
dan rohani mereka adalah perkara yang terpenting untuk menjadi seorang pelayan altar yang baik.
Sebelum
rekoleksi itu berakhir, Seminarian Stanley juga telah mengajar mereka tentang cara penggunaan lonceng dan 'incensing' untuk perayaan-perayaan besar gereja.
Rekoleksi berakhir tepat pada jam 12.00 tengah hari dan diakhiri dengan
bergambar beramai-ramai. Selepas sahaja bergambar bersama, para Pelayan Altar telah diberi tugasan masing-masing untuk perayaan minggu suci yang tidak lama akan dirayakan. Acara rekoleksi diakhiri dengan satu jamuan makan tengah hari bersama.
“MELAYANI SESAMA DENGAN
KASIH ALLAH”
No comments:
Post a Comment