Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, October 6, 2017

Konferensi Amos ke-3 di Keuskupan Sandakan (Hari Pertama)

Laporan oleh Xavier Simon Chin dan Shirley Joseph
Gambar oleh Rogena R. Sining dan Philippa Philip



Latar belakang:
“Gereja berpihak kepada semua yang bekerja untuk mempertahankan, membela hak setiap orang untuk hidup dengan bermaruah, …” (Paus Fransiskus – Perutusan Sempena Hari Migran dan Pelarian Sedunia 2016) 
Semasa mesyuarat ke-2 Komisi Episkopal tentang Migran dan Orang Berpindah-randah yang disyorkan oleh Uskup Paul Tan di Pulau Pinang pada tahun 2010, telah dipersetujui agar semua keuskupan di Malaysia-Singapura-Brunei perlu dengan lebih prihatin melihat isu pelayanan kepada migran. 
Wakil-wakil dari 3 keuskupan di Sabah telah berbincang dan merasakan bahawa isu migran di Sabah selama ini diwarnai dengan pandangan yang negatif. Oleh itu, sudah tiba masanya bagi umat Katolik yang prihatin dari ketiga-tiga keuskupan ini untuk datang bersama bagi merenung dan mengkaji hal ini.

Respon: Amos Pertama dan Kedua
AMOS yang pertama telah diadakan pada bulan Februari 2011 di Bundu Tuhan Retreat Centre. Dalam program tersebut, para peserta telah didedahkan kepada isu-isu migrasi secara global dan berpeluang untuk mendengar keluhan wakil-wakil migran yang dijemput khas ke program tersebut. 
AMOS yang kedua pula dijalankan pada Februari 2013 di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tuarid Tatal, Keningau. Dalam program itu, Keuskupan Agung KK, Keuskupan Keningau dan Keuskupan Sandakan digalakkan untuk mewujudkan jaringan kerjasama yang konkrit dalam pelayanan pastoral kepada migran; dan agar keuskupan di Sabah membuat jaringan dengan keuskupan-keuskupan di negara jiran untuk berkongsi maklumat demi melicinkan lagi pelayanan kepada para migran.

Respon: Jaringan Kerjasama
Oktober 2013, Pertemuan Pastoral Segi Tiga Ke-3 telah memberi peluang kepada Keuskupan Sandakan (ada perwakilan dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu yang turut serta), Keuskupan Tanjung Selor dan Keuskupan Larantuka, Indonesia mengadakan sesi dialog di Larantuka, Flores Indonesia untuk membincangkan bagaimana keuskupan-keuskupan asal, transit dan tujuan dapat bekerjasama untuk membantu meringankan beban para migran. Perancangan telah diplotkan oleh semua pihak yang berkenaan untuk menjangkau mereka yang dalam perantauan. 
Pada Oktober 2015, Keuskupan Sandakan telah menjadi tuan rumah kepada Pertemuan Pastoral Segi Tiga Ke-4 yang meliputi Keuskupan Agung Ende dan Keuskupan Larantuka dari Flores NTT, Indonesia sebagai Wilayah Asal, Tanjung Selor, Kalimantan, Indonesia sebagai Wilayah Transit dan Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keuskupan Sandakan dan Keningau, Sabah selaku Wilayah Tujuan. Maka, setakat ini, jaringan kerjasama yang konkrit untuk menangani isu-isu migran dari Indonesia sudah wujud dan akan ditambahbaik. Namun, jaringan kerjasama seupamanya belum ada untuk migran dari Filipina.

Amos ke-3:
Maka, melalui perbincangan oleh beberapa perwakilan daripada ketiga-tiga keuskupan di Sabah, persetujuan dicapai bahawa program Amos masih ada keperluan untuk diteruskan. Objektif penganjuran pada kali ini adalah:
i. Melihat dan menilai secara keseluruhan, sejauh mana Pelan Tindakan AMOS Ke-2, Pertemuan Pastoral Segi Tiga Ke-3 (2013) dan Ke-4 (2015) dapat terlaksana dan apakah hasil yang telah dicapai. 
ii. Merangka Pelan Tindakan AMOS Ke-3 dengan menggariskan arah tuju jaringan kerjasama ketiga-tiga keuskupan dalam menangani isu-isu migrasi di Sabah yang mana pelan tindakan tersebut akan dilaporkan dalam Pertemuan Pastoral Segi Tiga Ke-5 (2017) di Keuskupan Agung Ende. 
iii. Mengenalpasti program pembentukan dan latihan yang efektif untuk pekerja pastoral sepenuh masa dan para sukarelawan yang terlibat dalam pelayanan sosial dan perdamaian di gereja terutamanya melibatkan migran. 
(Para peserta dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu)
(Para peserta dari Keuskupan Keningau)
(Para peserta dari Keuskupan Sandakan)
(Para peserta dari Keuskupan Miri, kiri-kanan: Pertama, ketiga, ketujuh)
SANDAKAN: Konferensi Amos ke-3 yang berlangsung selama tiga hari telah dimulakan pada Khamis, 21hb September 2017. Tema konferensi iaitu “Gereja: Pembela yang lemah dan tak bersuara” telah dihadiri oleh lebih kurang 150 peserta dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keuskupan Keningau, Keuskupan Sandakan dan Keuskupan Miri, Sarawak dan mereka terdiri daripada para uskup, paderi, religius sister, pemimpin umat awam serta sukarelawan yang terlibat secara langsung dan aktif dalam pelayanan sosial dan perdamaian di gereja terutama melibatkan komuniti migran.
Sesi suaikenal untuk memberikan suasana yang lebih mesra dan selesa antara sesama peserta.
Kletus Muyuk, Penyelaras kepada Tim Pelaksana Utama Konferensi Amos ke-3 merangkap Pengerusi Komisi Pembangunan Insan Keuskupan Sandakan.

Sesi Pengenalan tentang Konferensi Amos-3:
Kletus telah memberi pengenalan dan ringkasan bagi seluruh perjalanan konferensi. Beliau menekankan bahawa konferensi kali ini memacu penerusan dari program Amos sebelumnya. Konferensi kali ini memuatkan sesi perbincangan yang lebih kolektif dan mendalam antara ketiga-tiga keuskupan di Sabah, sesi dialog dengan perwakilan daripada Konsulat Republik Indonesia, Tawau dan juga daripada Magistrate Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. Perbincangan yang mendalam ini juga termasuk pertukaran gagasan mengenai penyelesaian tindakan yang berkesan dalam mengendalikan 1.5 juta Migran di Sabah. Beliau juga menyeru agar setiap keuskupan melihat dengan serius isu migran ini yang tidak mempunyai interaksi di antara tiga keuskupan ini.
Perayaan Ekaristi Pembukaan di Katedral St. Mary, Sandakan

Uskup Agung John Wong Soo Kau dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu telah menjadi selebran utama. Semasa homili Uskup Agung berkata, "Hari ini Gereja merayakan Pesta Santo Matius. Dia adalah seorang rasul dan penulis injil. Matius adalah seorang pemungut cukai. Matius dipandang rendah oleh orang Yahudi kerana sebagai pemungut cukai, dia dianggap sebagai pengkhianat bangsa kerana dia membantu kuasa asing menindas orang sendiri. Namun Yesus telah memanggil Matius untuk mengikuti Dia. Santo Matius menyahut panggilan Tuhan tanpa banyak persoalan dan keraguan".
"Adakah kita sama seperti Matius yang menjadi pemungut cukai? Kerana kita membantu para migran yang dianggap orang asing. Di dalam Amos ke-3, kita harus merasakan bahawa Tuhan memanggil kita untuk melayani umat-Nya terutama para migran. Semua gereja mempunyai panggilan yang khas dan berbeza-beza. Namun demikian, semuanya demi pembangunan Tubuh Kristus."
"Sebagai Bapa yang penuh belas kasihan, kita sebagai seorang Kristian juga harus berbelas kasihan dan memenuhi panggilan untuk melayani umat-Nya walaupun mereka adalah migran-perantau. Sebagai gereja yang konstruktif, kita harus proaktif untuk keluar dan menjangkau golongan migran-perantau yang memerlukan bantuan, yang menderita, lapar, ditindas serta dipaksa melakukan walaupun mereka tidak suka." 
"Apabila kita melayani golongan yang memerlukan, kita melayani Kristus. Mungkin anda akan menghadapi rasa kekecewaan tetapi jika kita hidup dengan semangat Kudus, kita akan dapat menjalani perjalanan ini dengan lebih bermakna daripada berfokus pada penderitaan. Biarlah semangat itu menggerakkan dan menjadikan diri kita bertemu dengan Kristus melalui orang lain."
Uskup Julius Dusin Gitom dari Keuskupan Sandakan, tuan rumah konferensi memberi kata-kata aluan selepas misa kudus.

Uskup Julius mengatakan bahawa konferensi ini mempunyai satu tujuan khusus iaitu untuk melihat, memahami serta membahaskan isu-isu migran di Negeri Sabah agar gereja di ketiga-tiga keuskupan dapat memberi pelayanan yang sewajarnya kepada mereka. 
Yang Mulia memaklumkan bahawa konferensi ini telah menjemput perwakilan daripada Konsulat Republik Indonesia, bahagian kehakiman Malaysia dan Philippine Embassy. Namun, pihak Kedutaan Filipina tidak dapat menghantar wakilnya pada kali ini. Uskup Julius menyatakan harapannya bahawa konferensi ini akan dapat menghasilkan satu jalinan kerjasama yang lebih baik di antara tiga keuskupan dan akhirnya membuahkan hasil seperti yang Kristus sendiri inginkan.
Romo Lukas Laba Erap, Pr dari Komisi Migran Perantau, Keuskupan Larantuka, Flores Timur, Indonesia. 

Sesi: "Martabat Manusia sebagai Citra (Imej) Tuhan"
Romo Lukas menerangkan bahawa manusia itu tidak dapat diukur dari aspek ekonomi sahaja tetapi lebih dari segenap aspek kemanusiaan. Dunia migrasi sering diwarnai dengan banyak gangguan maruah manusia kerana perspektif yang salah. Pastoral migran dan perantau adalah medan untuk memperjuangkan banyak isu kemanusiaan yang dihadapi. Betapa penting Gereja untuk membina hubungan dan komunikasi yang semakin sengit (connect) dan kerjasama yang semakin erat (collaborate). 
Romo Lukas juga mengatakan bahawa Gereja sebagai sakramen (tanda kelahiran Tuhan di dunia) hendaknya menerima semua orang tanpa perbezaan. Gereja harus semakin ramah dan manusiawi: Menerima (to welcome), mempromosikan (to promote), mengintegrasikan (to integrate) para migran dan perantau. Tindakan pastoral migran dan perantau apapun bentuknya, hendaklah berasaskan kerohanian migrasi. Kerohanian yang semakin mendalam mendorong kita untuk merangkul mereka “yang berdokumen dan tidak berdokumen”. Inilah yang membezakan gereja dari institusi lain (differentiate). Gereja haruslah memperjuangkan maruah manusia sebagai tuntutan imej Tuhan.
Konferensi hari pertama telah diakhiri dengan sesi doa malam yang dipimpin oleh Sr. Anita James, fsic dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent