Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, October 9, 2017

Hari Kedua: Konferensi Amos Ke-3

Laporan oleh Shirley Joseph
Gambar oleh Rogena R. Sining dan Philippa Philip
SANDAKAN: Hari kedua Konferensi Amos ke-3 telah bermula seawal jam 6.45 pagi pada Jumaat, 22hb September 2017 dengan sesi pujian pagi dipimpin oleh Tim Liturgi.
Jellferlyne Joseph dan Uskup Julius Dusin Gitom
Sesi: “Realiti Pelayanan Migran dalam Gereja Lokal”
Perkongsian dari sudut pastoral telah disampaikan oleh Uskup Julius Dusin Gitom, Uskup bagi Keuskupan Sandakan. Yang Mulia telah mengongsikan cara pengurusan gereja terhadap hal-hal sakramen para migran Katolik di Sabah, tentang teori dan praktis yang sedang dilaksanakan. Yang Mulia juga menyatakan bahawa usaha mengintegrasikan umat tempatan dan komuniti migran sedang dijalankan di mana terdapat pelbagai peluang serta kesan positif yang timbul namun realitinya, ancaman daripada pelbagai pihak tetap ada. Dari segi kerjasama, kepimpinan, penyertaan dalam kehidupan menggereja juga ada pelbagai cabaran dan halangan, kekuatan dan kekekurangannya. Usaha sebegini adalah usaha yang berterusan dari semua pihak.
Perkongsian dari sudut peribadi pula telah disampaikan oleh Saudari Jellferlyne Joseph, Program Officer dari Pusat Kebajikan Good Shepherd, Sabah. Dalam sesi tersebut, beliau telah berkongsi mengenai pengalamannya dalam melayani para migran sejak bertugas di PKGS, Sabah pada tahun 2010 melalui satu tayangan video yang singkat. Saudari Jellferlyne mengongsikan bahawa pada awal pelayanannya dia juga mempunyai tanggapan negatif kepada golongan migran. Namun begitu beliau tetap bertahan dalam pekerjaan dan pelayanannya kerana dia percaya bahawa Tuhan membimbingnya untuk meneruskan walaupun ramai orang tempatan menolak golongan tersebut kerana belum tahu situasi yang sebenar. Mengakhiri perkongsiannya dia berkata, “Jadi kenapa saya masih melakukan apa yang saya lakukan sekarang? Kerana kasih Tuhan kepada saya dan semua orang.” Dia juga berharap agar lebih ramai yang mahu melayani para migran.
Pak Krishna Djelani
Majistret Elsie Primus
Sesi: “Bermigrasi secara Aman, Legal dan Bermartabat”
Bahagian pertama adalah berkaitan dengan undang-undang migrasi di negara masing-masing. Sesi ini telah disampaikan oleh Pak Krishna Djelani, Kepala Perwakilan di Konsulat Republik Indonesia, Tawau, Sabah dan Majistret Elsie Primus, perwakilan dari Kehakiman Malaysia. Para panel telah menjelaskan tentang akta imigrasi dan akta buruh negara mereka masing-masing, serta proses-proses yang berkaitan seperti tatacara permohonan, membuat aduan, rayuan dan lain-lain. Para peserta mendapat sedikit sebanyak maklumat yang berkaitan dengan isu-isu migrasi dan mengetahui pandangan kerajaan dari dua buah negara tersebut mengenai isu Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah dan apakah langkah-langkah yang sedang diambil.
Romo Lukas Laba Erap, Pr
Bahagian kedua kepada sesi tersebut yang merangkumi sudut gereja asal telah disampaikan oleh Romo Lukas Laba Erap, Pr dari Keuskupan Larantuka, Flores Timur, Indonesia. Romo Lukas telah menerangkan bagaimana Gereja dapat bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk membantu para migran bermigrasi secara aman, legal dan bermartabat.
Sdra. Kletus Muyuk dari Keuskupan Sandakan
Rev. Fr. Benedict Runsab dari Keuskupan Keningau
Sdra. Dominic Lim dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu
Sesi: “Bergerak Bersama Sebagai Gereja Tujuan” (Bahagian 1)
Sesi ini memfokuskan tentang laporan bertulis dari Keuskupan Keningau, Keuskupan Sandakan dan Keuskupan Kota Kinabalu. Laporan tersebut adalah mengenai pelaksanaan serta tindakan selepas program Amos yang ke-2 pada Februari 2013 di Keningau. Setiap keuskupan menyampaikan usaha masing-masing yang berjaya dijalankan dan juga berkongsi tentang halangan serta cabaran yang mereka hadapi sejak tahun itu sehinggalah sekarang.

Selebran utama untuk Perayaan Ekaristi pada hari kedua adalah Msgr. Gilbert Engan yang menggantikan Uskup Cornelius Piong yang tidak dapat hadir ke konferensi ini kerana mempunyai komitmen terhadap tugasan pastoral lain. Msgr. Gilbert dalam homilinya mengatakan bahawa Tuhan itu bersifat Tritunggal iaitu komuniti. Maka, sebagai Kristian yang mengimani Tuhan yang berkomuniti, adalah menjadi misi dan tanggungjawab umatnya untuk melayani komuniti kerana komuniti adalah gereja. Gereja itu bukan sahaja untuk umat tempatan tetapi terbuka kepada semua orang. Setiap peribadi seharusnya mengamalkan sifat-sifat Tritunggal.


Makan Malam Budaya sempena Konferensi Amos ke-3 diadakan untuk mengalu-alukan kehadiran para peserta terutamanya daripada luar Keuskupan Sandakan. Paroki Katedral St. Mary, Sandakan telah menjadi hos dan acara tersebut berlangsung di dewan parokinya. Saudara Pilis Malim selaku Pengerusi, Majlis Pastoral Paroki dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran semua peserta konferensi ke majlis Makan Malam Budaya dan memuji serta menghargai semangat para peserta yang sanggup datang dari jauh terutamanya yang melalui jalan darat yang mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke Sandakan kerana mahu menyertai konferensi tersebut. Beliau memberitahu bahawa konferensi tersebut bertujuan membincangkan isu-isu migran iaitu mereka sering berhadapan dengan masalah diskriminasi kerana mereka tergolong dari kalangan yang lemah dan tidak bersuara. Saudara Pilis menyeru para umat untuk menuruti ajaran Kristus di mana setiap umat Kristian adalah dipanggil untuk melaksanakan misi gereja dengan menjangkau kepada mereka yang miskin dan hidup dalam kesusahan.

Beliau mengambil kesempatan untuk menggalakkan para peserta yang pertama kali ke Sandakan untuk berkunjung ke Bukit Maria bagi menikmati keindahan alam semulajadi dan melihat pemandangan Bandar Sandakan sambil berdoa. Beliau turut memaklumkan bahawa Katedral St. Mary adalah Pusat Ziarah Keuskupan Sandakan dan mengalu-alukan program ziarah pada masa akan datang. Di akhir ucapan beliau berterima kasih kepada pihak penganjur makan malam tersebut.

Perkongsian - perwakilan dari Komuniti Filipino
Pelbagai persembahan pentas yang lain
Perkongsian - perwakilan dari Komuniti Indonesia

Persembahan lakonan dari Komuniti Indonesia

Perkongsian - perwakilan dari Komuniti Kadazandusun

Persembahan Tarian Ngajat dari Komuniti Iban
Para hadirin telah dihiburkan dengan pelbagai persembahan pentas serta perkongsian daripada pelbagai komuniti umat tempatan juga migran dari paroki tersebut seperti komuniti Indonesia, Filipina, Cina, Kadazandusun dan Iban.
Konferensi hari kedua telah berakhir sekitar jam 9.30 malam dengan acara tarian beramai-ramai dan doa penutup yang dipimpin oleh Fr. Ambrose Atang dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent