oleh DS
Sandakan – Pada
tanggal 28 Oktober Misa Penutupan Bulan Rosari telah diadakan di Pondok Meditasi,
Puncak Maria, Katedral St. Mary, Sandakan. Seramai lebih kurang 150 orang umat
telah mengikuti misa ini.
Doa Rosari telah
dimulakan seawal jam 8.30 pagi di hadapan groto Katedral St. Mary. Setelah doa Rosari
selesai, semua umat perlahan-lahan bergerak menuju ke Puncak Maria untuk
menghadiri Misa Kudus. Misa telah diselebrankan oleh Uskup Julius Dusin Gitom
dan dibantu oleh Fr. Stanley William Matakim.
Pada awal misa,
Bishop Julius menyeru umat yang hadir untuk mendoakan umat Kristian yang berada
di seluruh dunia. Lebih-lebih lagi penganiayaan terhadap umat Kristian semakin
berleluasa.
“Mari kita berdoa untuk mereka yang hidup dalam penganiayaan
khususnya mereka yang beriman kepada Kristus.” - Uskup Julius.
Pada hari yang
sama, Gereja Katolik merayakan Pesta Santo Simon dan Santo Yudas. Semasa
homili, Uskup Julius menyentuh tentang dua orang santo tersebut yang merupakan
pengikut Yesus yang setia, penuh keimanan dan dedikasi dalam membawa injil. Mengikut
tradisi, mereka pergi ke Persia untuk menyebarkan firman Tuhan dan mereka mati
sebagai martir.
Kemudian, Yang
Mulia meneruskan homilinya, “Seperti dalam Injil (Lukas 6:12), Yesus berdoa
sebelum memilih 12 rasul-Nya. Hal ini menunjukkan bahawa jika kita ingin
mengambil satu keputusan yang penting di dalam hidup kita, kita perlu berdoa sama
seperti Yesus berdoa kepada BapaNya. Teladan yang pertama ialah Bonda Maria. Kita percaya bahawa Bonda Maria telah banyak
kali membawa Yesus pergi ke rumah ibadat, contohnya ketika mereka membawa Yesus
ke Jerusalem untuk dipersembahkan di bait Allah. Hal ini memberi kita bayangan
bahawa ibubapa Yesus merupakan orang yang takwa kepada Tuhan dan Bonda Maria adalah
orang pertama yang mengajar Yesus untuk berdoa. Pada bulan Rosari ini, kita
berkesempatan untuk berdoa bukan sahaja secara individu tetapi juga secara
berkomuniti dan bersama dengan Bonda Maria. Kita mohon agar Bonda Maria
sentiasa mendoakan kita. Walaupun kita menutup bulan Rosari ini tetapi tidak
bererti bahawa kita berhenti berdoa. Sebab itulah kita diperingatkan dalam
injil hari ini bahawa kehidupan Yesus juga berdoa kepada Tuhan. Oleh itu,
marilah kita sentiasa berdoa kepada Tuhan agar kita sentiasa dekat dengan-Nya
dan kehidupan kita sentiasa dibimbing oleh-Nya.”
Misa selesai
kira-kira jam 11 pagi dan diikuti dengan bergambar bersama.