Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, June 2, 2017

PESTA KAAMATAN 2017 PERINGKAT KATEDRAL ST. MARY SANDAKAN

Dilaporkan oleh: Rogena Sining
Jurugambar : Leonard Sabinus dan Team Soccom 

Makan Malam Kaamatan
Larian Kaamatan
Pertandingan Badminton
Sandakan: Pesta Kaamatan peringkat paroki bermula dengan Makan Malam Amal sempena mencari dana pada 28 April 2017. Pada 10 Mei 2017, acara pertama yang telah berlangsung dengan jayanya iaitu Larian Kaamatan. Acara ini telah menarik penyertaan seramai 400 peserta dalam 4 kategori iaitu kategori terbuka lelaki dan perempuan, veteran lelaki dan perempuan serta kategori ‘Fun Run’. Pada masa yang sama, pertandingan badminton bagi kategori terbuka dan veteran lelaki turut diadakan di Kompleks Sukan Sandakan.
Pada 20 Mei 2017, umat Paroki St. Mary Katedral, Sandakan termasuk Sub-Paroki St. Mark dan St. Petrus menyambut perayaan Pesta Kaamatan dengan begitu meriah. Pelbagai sukaneka dan sukan tradisional dianjurkan seperti tiup belon, melastik, menyumpit, isi air dalam botol, lari membawa bola pingpong dalam sudu, kupas pinang, tiup tepung, tarik tali, bowling kelapa, rampanau, lontar peluru, permainan gasing dan melontar tali menangkap kerbau. Suasana kampung terasa apabila rumah-rumah tradisi yang diperbuat daripada bambu turut dibina di perkarangan dewan paroki yang membawa nostalgia perayaan Kaamatan masa lampau.
Pada hari berikutnya iaitu 21 Mei 2017, perayaan dimulakan dengan misa kudus pada jam 9.15 pagi. Suasana perayaan dimulakan dengan penuh tradisi melalui perarakan umat berpakaian tradisi dari dewan paroki ke katedral bersama selebran Bapa Uskup Julius Dusin Gitom  dan Rev. Fr. Sunny Chung  serta diiringi oleh paluan gong.
Misa dirayakan di dalam dwi-bahasa Melayu dan Kadazan Dusun dengan kehadiran hampir 2000 umat. Di dalam homili, Bapa Uskup Julius menerangkan sambutan Pesta Kaamatan yang disambut oleh kaum Kadazandusun merujuk kepada upacara kesyukuran diatas hasil tani mereka. Bapa Uskup menjelaskan perayaan Kaamatan mengingatkan kita sebagai umat Kristian sentiasa memberikan kesyukuran kepada Tuhan di atas segala pemberian dan berkat Tuhan yang diterima sepanjang tahun. Sesuai dengan tema tahun ini ‘Kaamatan Memperkasa Kehidupan Berkomuniti Berpusat Pada Kristus’ dapat mewujudkan budaya kesatuan menjadi satu komuniti dan keluarga yang besar yang dibentuk oleh Allah. Pada masa yang sama, Bapa Uskup juga menyeru kepada semua umat untuk sentiasa memupuk budaya melayani antara sesama agar kita menjadi satu keluarga besar yang berpusatkan pada Kristus.
Selepas perayaan misa, pengerusi Penganjur Paul Leo Lohuji dalam ucapannya, berterima kasih atas sokongan semua yang telah menjayakan perayaan ini yang telah bermula seminggu lebih awal dengan aktiviti sukan. Beliau menerangkan bahawa konsep perayaan ini dianjurkan demi penglibatan semua komuniti, menyatukan umat melalui semangat kerjasama dan mengeratkan hubungan persaudaraan. Dengan penganjuran perayaan ini beliau berharap suasana Kaamatan yang dirasai di kampung halaman dapat juga umat rasakan di paroki ini. 
Didalam ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis Pastoral Paroki, Pilis Malim menegaskan, tema yang dipilih sangat sesuai kerana ia berkait rapat dengan matlamat visi paroki untuk mewujudkan satu komuniti yang berpusatkan Kristus. Salah satu pendekatan mencapai visi ini ialah melalui perayaan Pesta Kaamatan yang diiktiraf oleh gereja untuk memperkukuhkan kesatuan umat. Beliau berharap perayaan ini dapat menggalakkan pelayanan umat kepada Gereja.
Selepas misa, semua umat dijemput ke dewan paroki untuk makan tengahari dan mengikuti program-program Kaamatan yang disediakan. Antara acara pentas yang dipertandingkan termasuklah pertandingan Sugandoi, Magagung, Pakaian Tradisi Kanak-kanak, Minum susu kacang dalam botol susu dan Membaca Petikan Alkitab. Turut sama dalam memeriahkan sambutan perayaan pesta Kaamatan ini ialah tetamu kehormat YB Datuk Charles Pang, Ahli Dewan Undangan Negeri Karamunting.
Acara kemuncak perayaan tahun ini adalah cabutan tiket bertuah untuk tabung Pembangunan Puncak Maria yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan serta hadiah utama sebuah kereta Perodua Axia.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent