Laporan dan gambar oleh Louissa G. Sundang dan Tim AJP Youth Camp 2
Telupid: St. Peter Pamol, Zon Jalan Nangoh yang bernaung di bawah paroki St. Martin Telupid telah berjaya menganjurkan Youth Camp kali ke-2.
Telupid: St. Peter Pamol, Zon Jalan Nangoh yang bernaung di bawah paroki St. Martin Telupid telah berjaya menganjurkan Youth Camp kali ke-2.
Youth Camp ini merupakan program tahunan belia Zon Jalan Nangoh yang dimulakan sejak tahun lalu (2016) secara bergilir mengikut tuan rumah yang telah dicabut undi oleh Rev Fr Jasery G. Emanuel.
Program yang bertemakan “Kuatkan dan Teguhkanlah Hatimu” (Ulangan 31:6) ini telah dijalankan bermula 5 hingga 8 Jun 2017 dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seramai 139 orang muda telah menjayakan program ini yang terdiri daripada 96 orang peserta dan 43 Ahli Jawatankuasa Pelaksana (AJP).
Penyertaan Youth Camp 2 pada kali ini begitu unik kerana bukan sahaja disertai dengan lengkap dari 7 Chapel dalam Zon Jalan Nangoh, tetapi juga menerima 23 penyertaan daripada belia Paitan, iaitu St. Francis Of Asisi, Sukang dan St. Yohanes Pembaptis.
Antara objektif Youth Camp 2 ini, ialah memberi peneguhan dan kekuatan kepada belia dalam menghadapi cabaran masa kini, mendorong belia terlibat dalam pelayanan, membentuk peribadi belia yang siap menjadi pemimpin di chapel masing-masing, mengeratkan persahabatan antara belia dan memberi pendedahan tentang pengalaman doa.
Program bermula dengan pendaftaran peserta, Doa Rosari dan Kerahiman Ilahi sebelum bermulanya Ibadat Sabda pembukaan. Pada sebelah malam, sesi pembuka tirai Youth Camp 2 dijalankan iaitu Opening Ceremony sebagai acara simbolik bagi mengundang Tritunggal Mahakudus, Bonda Maria dan hadirat Syurgawi untuk menyertai sepanjang Youth Camp 2 ini.
Opening Ceremony |
Acara puji - pujian dan persembahan |
Hari kedua dimulakan dengan doa pagi iaitu Body Prayer dan senamrobik. Salah satu pengisian ceramah pada hari kedua, ialah daripada Koordinator Belia Keuskupan Sandakan, iaitu Anna Teresa Peter Amandus yang memberi pendedahan tentang 'komitmen'.
Para belia telah di bahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan belia dan kumpulan remaja dan kanak - kanak yang berumur 14 tahun sehingga 9 tahun. Meskipun terdapat dua kumpulan, tajuk sesi tetap sama namun metodologi yang digunakan adalah bersesuaian dengan umur dan situasi.
Dalam sesi ini, Saudari Anna menjelaskan perlu mempunyai dasar cinta kasih yang mendalam untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab dan berkomitmen. Cinta kasih ini dapat diperolehi melalu hubungan peribadi dengan Tuhan Yesus.
"Kita pasti mempunyai intelektual dan skil sebagai yang melayani, namun kalau tidak ada cinta kasih dalam pelayanan maka pelayanan itu hanya satu pekerjaan semata - mata."
Sesi "Sense of Commitment" yang disampaikan oleh Saudari Anna |
Kemudian, para peserta mengikuti aktiviti seperti, games, praise and worship dan Bible Knowledge. Bible knowledge ini dilaksanakan seperti kuiz Alkitab yang menggalakkan peserta untuk mencari serta membaca cerita tokoh-tokoh yang terdapat dalam Alkitab. Melalui aktiviti ini, para belia dapat menyedari bahawa pada zaman kini bukan setakat mempunyai iman sahaja tetapi juga pengetahuan.
Pada sebelah petang, acara diteruskan dengan perjalanan doa yang bertemakan “Panggilan”, dalam bentuk Youth Walk. Para peserta berjalan sejauh 2.40km dan perlu melalui 5 stesen. Setiap stesen mempunyai aktiviti seperti, menulis doa menyahut panggilan dan tabung komitmen.
Melalui Youth Walk ini, peserta dibimbing untuk merenung serta berdoa sepanjang perjalanan melalui bacaan Firman dan nyanyian dari satu stesen ke stesen yang lain. Buku doa menyahut panggilan dan tabung komitmen hasil dari renungan para belia ini dipersembahkan dalam Misa Kudus penutupan pada hari keempat.
Antara aktiviti semasa "Youth Walk" |
Pada sebelah malam, merupakan sesi daripada Saudari Anna Teresa dan timnya, yang memberi pendedahan tentang "Realiti Belia". Sesi ini sangat memberi kesan kepada para peserta kerana begitu menyeronokkan pada awalnya dan begitu menyentakkan para belia pada akhir sesinya. Melalui sesi ini, para belia diberi kesedaran tentang realiti sebenar yang berlaku kepada belia di sekeliling dan realiti itu, ialah diri sendiri.
Selepas team building, sekali lagi belia dibahagikan kepada dua kumpulan belia 13 tahun keatas dan kanak - kanak dibawah 12 tahun sehingga 9 tahun. Tajuk yang sama tetapi cara penyampaian yang bersesuaian.
Acara Team Building sebelum sesi "Realiti Belia" bermula |
Pembentangan dari kumpulan kanak - kanak dibawah 12 tahun sehingga 9 tahun |
Hari ketiga pula merupakan hari yang penuh dengan aktiviti yang lasak, seperti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) Outdoor, Explore Race dan Konsert Malam Ekspresi. Dalam sesi LDK Outdoor, para peserta dapat melatih kerjasama dalam kumpulan dengan aktiviti yang menggembirakan seperti, mencipta lagu berdasarkan Firman, membuat tarian dan permainan kecil.
Antara aktiviti yang dijalankan semasa acara LDK Outdoor |
Pada sebelah petangnya, Explore Race dijalankan sejauh 2.40km melalui 8 stesen yang lasak. Sepanjang Explore Race ini, kepimpinan, ketahanan emosi, solidariti kumpulan dan tanggungjawab para peserta dapat dibentuk. Hal ini kerana, setiap kumpulan diberi amanah dan ditugaskan mencari petunjuk (clue) wajah Yesus di samping melakukan aktiviti di setiap stesen, seperti makan dan minum yang pelbagai rasa, membuat tugu dan aktiviti berlumpur. Tambahan pula, sepanjang Explore Race ini para peserta dicabar dan digoda oleh “Lucifer” yang terdiri daripada kaum ibu (KWK).
Aktiviti - aktiviti sepanjang Explore Race |
Acara kemuncak bagi Youth Camp 2 ini adalah sesi Konsert Malam Ekspresi, di mana para peserta diberi peluang untuk mengekspresikan apa yang mereka telah perolehi di sepanjang kem. Ekspresi adalah dalam bentuk persembahan lagu dan aksi, nyanyian koir dan lakonan.
Di samping persembahan para peserta, para AJP pula menyampaikan lagu-lagu selingan berbentuk konsert. Konsert Malam Ekspresi ini, merupakan kemuncak dan saluran bagi para belia yang masih pasif, sederhana aktif dan yang sangat aktif untuk mengekspresikan apa yang ada dalam diri mereka sekaligus memecahkan benteng rasa malu yang masih ada.
Antara persembahan yang disampaikan oleh para peserta |
Pada hari terakhir, sesi perkongsian, evaluasi, perdamaian dan Misa Kudus penutupan oleh Fr. Jasery G. Emanuel telah dijalankan. Di akhir Misa Kudus acara penyampaian hadiah dan cenderahati disampaikan kepada para peserta dan penceramah. Antara anugerah bagi para peserta yang telah disampaikan, ialah belia terbaik lelaki, belia terbaik perempuan, kanak-kanak terbaik lelaki, kanak-kanak terbaik perempuan, belia paling sporting dan kumpulan terbaik.
Bagi penghargaan pula telah diberikan kepada para penceramah, iaitu Saudari Anna Teresa, En Martinus Hera, Fr Jasery G. Emanuel, En. Gabriel Sundang, para pemerhati, tukang masak dan AJP daripada denominasi luar Katolik. Akhir penyampaian, ialah pemberian sijil penyertaan kepada semua peserta dan sijil penghargaan kepada semua AJP.
Wajah - wajah para belia Zon Nangoh, Paroki Telupid |
Saya berharap agar YC3 dapat memberi lebih impak yang lebih mendalam dan anugerah kesedaran yang mendorong belia lebih bersungguh-sungguh dalam pelayanan dan mampu menjadi ikon belia yang lengkap.- Rosario Eusebio
Saya berharap agar para belia YC3 nanti akan lebih mendalami hidup doa, benar-benar mengalami kasih Allah yang luar biasa dan didedahkan akan pentingnya sikap bertanggungjawab dalam pelayanan serta tahu menjalankan tugas pelayanan apabila balik ke chapel masing-masing. – Vellyroy Alexius
Harapan saya untuk YC3 semoga para belia bergiat aktif dalam apapun pelayanan, dalam gereja mahupun luar gereja. - Fandy Dahalan (Gambar hadapan).
Harapan saya untuk YC3 akan datang ialah semoga belia tahu bagaimana cara melayani dengan menggunakan talenta masing-masing. – Winna Tony
Saya berharap agar para belia dapat menyedari erti pelayanan sebenar dan dapat mengamalkan pelayanan yang matang dalam semua aspek kehidupan. – Louissa G. Sundang
No comments:
Post a Comment