Tawau - Malaysian Catholic Campus Students' Day atau lebih dikenali sebagai MCCSD akan dianjurkan buat kali ke-2 di Keuskupan Pulau Pinang dari 23 Jun sehingga 27 Jun 2017. Tema pada kali ini diambil dari Yohanes 17:21 "That They May Be One".
Seramai 9 orang peserta mewakili Komisi Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan dalam Pelayanan Pelajar Kampus akan menyertai program yang akan melibatkan 9 Keuskupan di seluruh Malaysia.
Sebelum berangkat ke Pulau Pinang, peserta dikumpulkan di Tawau untuk persiapan rohani yang telah berlangsung selama satu hari pada 17 Jun 2017 yang lalu. Program dimulakan dengan doa pagi pimpinan Puan Esther Albert dan diikuti dengan 'Ice Breaking' oleh Philippa Philip.
Persiapan rohani ini diteruskan dengan pengenalan kepada Pelayanan Pelajar Kampus Keuskupan Sandakan. Dalam sesi ini Puan Esther, mengambil kesempatan untuk menerangkan lebih jelas berkenaan struktur serta fungsi pelayanan ini dan kenapa pelayanan ini sangat penting. Para peserta yang hadir masing - masing mengongsikan keberadaan mereka dalam Pelayanan Pelajar Kampus dan apa yang menginspirasikan mereka untuk terus dalam pelayanan ini.
Sesi seterusnya di sambung dengan sesi mendalamkan tema MCCSD - 2 oleh Saudari Anna. Dalam sesi ini setiap peserta dijemput untuk merenung apa panggilan mereka untuk ke MCCSD berdasarkan kepada petikan Yohanes 17: 21 - 23. Mereka juga dijemput untuk merenung satu perkara konkrit yang boleh disumbangkan dalam Pelayanan Pelajar Kampus di paroki masing - masing sekembalinya dari MCCSD 2 ini.
Selepas makan tengahari, program diteruskan dengan persiapan diri dari segi keperluan dan makluman penting program MCCSD 2. Sesi persiapan rohani ini diakhiri dengan perayaan Ekaristi (Sunset Mass) dan diikuti dengan hang out bersama untuk lebih mengenali antara sesama sebelum menuju MCCSD 2 di Keuskupan Pulau Pinang nanti.
Semoga pertemuan dan penyertaan dalam MCCSD 2 ini akan menjadi landasan bagi Pelayanan Pelajar Kampus di Keuskupan Sandakan untuk lebih berkembang maju.
No comments:
Post a Comment