Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, June 7, 2017

Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Peringkat Paroki St. Dominic, Lahad Datu

Artikel oleh: Farnandes
Gambar oleh: Dominggus, Jaymar, Matius & Maria

St. Dominic, Lahad Datu – Pada 21 Mei 2017, Paderi Paroki dan Pembantu Paderi iaitu Rev. Fr. Simon Kontou dan Rev. Fr. Marcelinus Pongking bersama umat dari pelbagai bangsa di paroki ini turut sama-sama merayakan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara dan saudari kerana dapat menghadiri ke Perayaan Kaamatan dan Hari Gawai Peringkat Paroki St. Dominik, Lahad Datu. Kita merayakan perayaan ini sebagai tanda syukur kita kepada Allah yang tidak pernah meninggalkan kita, ciptaanNya. Maka, sudah sepantasnya perayaan ini kita rayakan dalam perayaan Ekaristi kerana perayaan Ekaristi itu adalah kesyukuran kita kepada Allah Bapa melalui Yesus Kristus Tuhan kita. Dalam konteks Gereja, perayaan Kaamatan dan Gawai dirayakan oleh semua warga gereja St. Dominik tanpa mengira suku kaum. Oleh yang demikian, diharap agar perayaan ini dapat menyatukan kita dan mengeratkan ikatan kasih sesama kita di paroki ini.”
“Peranan Gereja untuk memelihara setiap budaya dan tradisi yang baik adalah sangat penting. Kita percaya budaya dan tradisi yang baik adalah anugerah dan datang dari Allah. Jika budaya tidak dipelihara maka hilanglah identiti satu bangsa itu. Saya berharap perayaan ini menyatukan umat berbilang suku kaum di paroki kita agar hidup sebagai satu gereja yang teguh dan bekerjasama dalam karya pelayanan di gereja kita. Semoga melalui perayaan seperti ini juga dapat mempromosikan anak-anak Katolik untuk hidup bersatu padu tanpa ada unsur perkauman. Di dalam Kristus kita adalah satu. Semoga umat turut bergembira menyertai dan menyaksikan persembahan-persembahan tradisi dan sukan tradisi dalam pesta ini”. Demikian ucapan Rev. Fr. Simon Kontou di dalam perayaan kaamatan kali ini.
Pengerusi Penganjur Perayaan Kaamatan dan Hari Gawai 2017, Patrick Chong berkata “Syukur kepada Tuhan atas anugerah-Nya kerana kita dapat merayakan misa kesyukuran Kaamatan dan juga Gawai pada tahun ini. Pesta gabungan ini adalah inisiatif yang diambil oleh Paderi Paroki sendiri iaitu Rev. Fr. Simon Kontou kerana ia merupakan satu keperluan dan tindakan yang wajar agar perayaan ini menjadi satu landasan untuk mengenali antara satu sama lain. Perayaan Kaamatan dan Gawai dalam konteks gereja merupakan perayaan kesyukuran dan terima kasih kepada Tuhan atas karuniaNya di atas sumber makanan dan rezeki yang kita perolehi. Walaupun Kaamatan dan Gawai mempunyai lagenda serta mitos yang tersendiri, namun kita seharusnya tidak melupakan Tuhan yang merupakan kunci kepada segala nikmat yang kita perolehi”.
Selesai Misa Kudus, acara diteruskan dengan perasmian perayaan dengan pukulan gong oleh Paderi Paroki diikuti acara pentas iaitu Pertandingan Sugandoi dan Sukan Tradisi. Acara berakhir lebih kurang jam 5.00 petang.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent