Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, June 7, 2017

MISA KESYUKURAN PERAYAAN PESTA MENUAI DI PAROKI HOLY TRINITY TAWAU

Oleh : Julita Kantod

Tawau: Perayaan Misa Kesyukuran Pesta Menuai ini diadakan setiap tahun oleh komuniti TUKAD di paroki Holy Trinity, Tawau. Masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut merupakan gabungan umat yang besar di Paroki ini. Misa ini diadakan pada 7 Mei 2017 yang diupacarakan oleh Rev. Fr. Philip A. Muji dan dibantu oleh Msgr. Nicholas Ong.


Dalam misa kesyukuran ini Komuniti Kadazan Dusun dan Murut (TUKAD) digalakkan untuk terus hidup, berjalan bersama dengan komuniti lain, iman yang berakar pada Kristus dan sentiasa bersyukur. “Kaamatan atau Pesta menuai merupakan tradisi turun temurun yang mempunyai  unsur kerohanian iaitu memanjatkan kesyukuran dan pujian atas kemurahan Allah terhadap hasil tuaian setiap tahun. Sikap semulajadi padi adalah ‘semakin ia berisi maka semakin ia tunduk’, ianya dapat dikaitkan dengan sikap kita agar hidup dengan penuh kebijaksanaan dan rendah hati, sanggup berkongsi dan tidak sombong. Teruslah menjadi saksi gereja melalui – kerendahan hati, hidup berkomuniti dan berakar dalam iman agar ianya dapat diteruskan dan diturunkan kepada generasi muda“ demikianlah homili Fr. Philip A. Muji.
Beliau seterusnya mengakhiri homilinya dengan menjemput semua umat yang hadir untuk menghidupi iman yang percaya dan berharap akan kasih Allah dan menjadi saksi kemurahan dan cintakasih terutamanya dalam keluarga masing-masing dan sebagai satu komuniti.
Selepas Misa kesyukuran, semua umat dijemput ke Dewan Paroki untuk bersama-sama menikmati jamuan tengahari dan menyaksikan beberapa persembahan yang telah disediakan.
Jamuan dimulakan dengan doa yang dipimpin oleh Sr. Julita Joseph dalam bahasa dusun.
Dalam ucapan ringkas Msgr. Nicholas Ong, Rektor Paroki menyatakan kegembiraannya atas usaha yang tidak putus dari komuniti ini yang mana perayaan Kesyukuran diadakan setiap tahun. “Saya percaya kamu adalah umat yang tahu berterimakasih kepada Bapa dalam apa juga keadaan dan inilah satu tanda bahawa kamu dan kita semua mengasihi Allah Bapa kita dengan sepenuhnya. Saya menjemput kita semua untuk terus berjalan dan bersatu dalam menjaga keharmonian dan keamanan antara komuniti di Paroki ini. Marilah kita semua hidup dengan penuh kesederhanaan dan bersatupadu dalam kasih dan kemurahan Allah” katanya.
Acara diteruskan iaitu pertandingan makanan tradisi dan juga minuman tradisi suku kaum TUKAD.
Seminggu sebelum perayaan ini diadakan pertandingan menyanyi atau Sugandoi telah diadakan iaitu pada 29.4.2017. Seramai 9 peserta telah mengambil bahagian. Para peserta dan pemenang menerima hadiah mereka pada hari perayaan tersebut.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent