Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, June 18, 2014

KEMPEN KESEDARAN PEMBANGUNAN INSAN, WONOD, TELUPID

Oleh Shirley Joseph
TELUPID: Selasa, 3hb Jun 2014, Program Kesedaran Pembangunan Insan dan Ajaran Sosial Gereja (ASG) Katolik telah dilanjutkan ke Kapela St. Mary, Kg. Wonod, Telupid. Kira-kira 30 umat dapat hadir ke sesi ini. Keadaaan cuaca memberi cabaran kepada kehadiran para peserta. Ada di antara umat tidak dapat turut serta kerana jalan terputus oleh banjir. Ada juga yang tidak berada di Telupid pada ketika itu kerana bercuti bersama keluarga sempena musim cuti sekolah.
Sesi dimulai makan malam secara potluck, doa, dan pengenalan Komisi Pembangunan Insan Keuskupan Sandakan oleh Sr Maria Dipal, RGS. Sesi berlansung dari jam 8 hingga 10 malam.
Melalui kempen kesedaran ini, para hadirin dapat mengetahui tentang keperluan manusia yang terpenting iaitu:-
  • keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan;
  • keperluan emosi iaitu dapat meluahkan perasaan secara matang, rasa dicintai dan mencintai, diterima;
  • keperluan rekreasi seperti keseronokan, permainan, berehat dan cuti;
  • keperluan pendidikan seperti kemahiran membaca, menulis dan mengira;
  • keperluan spiritual atau rohani seperti pembentukan iman, hidup berdoa serta hubungan dengan Tuhan.
Seperti pendekatan sesi yang digunapakai di Kapela St Patrick, Entilibon, para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberi soalan perbincangan iaitu, "Pilih dua dari tujuh tema ASG yang perlu diberi perhatian dan dititikberatkan dalam KKD anda.”
Berikut merupakan ringkasan hasil perbincangan mengikut tema yang dipilih;

Tema 1: KEHIDUPAN DAN MARUAH MANUSIA
(a) Kesedaran akan pentingnya menjaga maruah manusia harus disebarkan dalam KKD agar terhindar dari perbuatan keji dan berdosa. Jika manusia tidak lagi menitikberatkan hal penjagaan maruah diri dan tidak menghiraukan lagi ajaran sosial gereja, maka banyak perkara tidak baik akan terjadi yang kemudiannya akan membawa kehancuran kepada kehidupan manusia sejagat itu sendiri nanti. Ini umpama hidup dalam neraka.
Tema 2: PANGGILAN KEPADA KELUARGA, KOMUNITI DAN KETERLIBATAN
(a) Perkongsian mengenai 'Apa itu Gereja' di kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan dan jiran tetangga. Ibubapa bersama anak-anak melibatkan diri dengan aktiviti gereja untuk mengembangkan iman mereka.
(b) Menjangkau keluarga-keluarga atau jiran-jiran yang jarang ke gereja atau jarang melibatkan diri dalam aktiviti rohani dengan memberitakan injil dari rumah ke rumah agar mereka lebih mendekati dan mengenali Tuhan.
(c) Para ibubapa memikul tanggungjawab penting dalam pembentukan dan perkembangan peringkat awal iman anak-anak. Pendidikan rohani haruslah bermula dari keluarga.
(d) Semangat kejiranan penting sebagai menyahut panggilan tema ini dalam sesebuah KKD. Iman dapat berkembang pesat dengan adanya keterlibatan aktif dalam sesebuah komuniti.

(e) Anak-anak yang bermasalah disiplin dan tidak berminat untuk belajar di sekolah adalah kebanyakkannya berpunca dari keluarga yang sedang menghadapi krisis. Maka, KKD berfungsi untuk membantu mengurangkan dan mencegah masalah seperti ini terus berleluasa.
Tema 4: PELUANG BAGI MEREKA YANG MISKIN DAN LEMAH
(a) Terdapat golongan yang miskin dan memerlukan bantuan di sekitar dengan kita. Sokongan moral, bantuan tenaga dan sumbangan material serta kewangan penting untuk disalurkan kepada golongan ini dalam KKD agar dapat meringankan beban hidup yang mereka tanggung.
Tema 7: MENJAGA CIPTAAN TUHAN
(a) Sungai kita sudah tercemar dan kurang terjaga dari segi kebersihan serta keindahan asalnya. Air sungai tidak lagi jernih dan sampah-sarap terdapat di sekitarnya. Begitu juga dengan keadaan sekitar yang kurang dipedulikan.
(b) Jika kita tidak bertindak, kesan-kesan pencemaran dan kerosakan alam semulajadi akan menjadi masalah global, sebagai contoh di mana lapisan ozon yang kian menipis dan mengakibatkan perubahan cuasa panas dan sejuk melampau.
(c) Apabila alam sekitar tidak dijaga, kemungkinan untuk mendapat penyakit adalah lebih tinggi. Maka, kesedaran tentang hal ini haruslah disebarkan dalam KKD.

(d) Pencemaran dan kerosakan alam semulajadi semakin menjadi-jadi. Kebersihan alam sekitar semakin kurang dititikberatkan. Kempen kesedaran untuk mendidik serta memupuk rasa bertanggungjawab di kalangan penduduk dalam KKD harus diadakan demi membasmi pembuangan sampah di merata-rata tempat.
Hasil dari pembentangan perbincangan dalam kumpulan, rata-rata kumpulan telah memilih tema yang ketujuh. Ini bersesuaian dengan keadaan setempat dan panggilan injil menyentuh isu alam sekitar. Sr Maria menyeru, "Dengan pesatnya aktiviti perladangan kelapa sawit, keadaan sungai juga harus diperhatikan agar tidak menerima kesan sampingan hasil dari perusahaan ladang kelapa sawit ini. Wang tidak boleh dimakan apabila sumber makanan telah musnah dan pupus."

Sr Maria juga berharap KKD dapat membantu dalam pertumbuhan sihat para keluarga di kawasannya. Hubungan belia dengan ibubapa adalah perkara yang amat memerlukan perhatian dan perlu dititikberatkan. Ibubapa dan anak-anak hendaklah saling mempelajari antara satu sama lain agar dapat membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan lebih intim.
Sekali lagi Sr Maria menjemput semua para peserta agar menghidupi panggilan Misi Sosial Gereja, seperti "Blessed Mother Theresa" dari Culcata India sebagai teladan. Sepanjang hidup dan pelayanan Mother Teresa, beliau telah melakukan banyak tindakan konkrit sebagai sahutan kepada panggilan gereja untuk mengamalkan Tujuh Tema ASG Katolik dalam kehidupan seharian. ASG adalah diilhamkan daripada ajaran Yesus sendiri untuk manusia yang dikasihinya.
Sesi diakhiri dengan lagu dan doa penutup.
Pada malam berikutnya, Rabu, 4hb Jun 2014 juga merupakan malam terakhir, KPIK mengambil kesempatan untuk mengadakan mesyuarat lanjutan bersama Komiti Pembangunan Insan Paroki (KPIP) St. Martin, Telupid. Tujuan utama mesyuarat ini ialah menjelaskan tentang peranan para ahli KPIP untuk terlibat aktif dalam sesi-sesi yang dijalankan. Sr Maria ingin mereka menguasai sesi tersebut agar mereka sendiri yang akan menyampaikan sesi di kawasan lain dalam Paroki Telupid pada masa akan datang. Persediaan dan perancangan sesi seterusnya turut dibincangkan iaitu Program AMOS yang dijadualkan akan berjalan di paroki ini dalam bulan Julai 2014, sekiranya tiada sebarang halangan.

1 comment:

  1. http://bellyok.smartmediatechnologies.com/?opportunity

    ReplyDelete

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent