Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, June 12, 2014

KEMPEN KESEDARAN PEMBANGUNAN INSAN, ENTILIBON, TELUPID

Oleh Shirley Joseph
TELUPID: Isnin hingga Rabu, 2hb-4hb Jun 2014, Program Kesedaran Pembangunan Insan merangkumi Tujuh Tema Ajaran Sosial Gereja (ASG) Katolik terus dikempenkan ke Paroki St. Martin, Telupid. Sr Maria Dipal, RGS sebagai penceramah dan dibantu oleh Saudari Shirley Joseph dari Komisi Pembangunan Insan Keuskupan (KPIK) Sandakan sekali lagi meneruskan misi pembangunan insan pada tahun 2014. Komiti Pembangungan Insan Paroki (KPIP) Telupid dan ketua-ketua KKD (Komuniti Kristian Dasar) turut berkerjasama untuk menjayakan program tersebut.
 Doa Pembukaan
Pada malam pertama 2hb Jun, sesi tersebut disasarkan ke kawasan Kapela St. Patrick, Kg. Entilibon, Telupid. Umat yang telah hadir adalah terdiri dari empat buah KKD iaitu, KKD St Patrick, KKD St Maria, KKD St Joseph dan KKD St Faustina yang berada dalam kawasan Zon Jalan Tongod, Telupid. Kira-kira 60 orang telah hadir bagi mendengar sesi ceramah ini. Sungguhpun menghadapi cabaran gangguan bekalan elektrik, namun sesi tetap dapat diteruskan sehingga berakhir dengan berkesan.
Kata-kata aluan ~ Sdra Mutalip Apiang
Saudara Mutalip Apiang, wakil Pengerusi untuk semua KKD mengalu-alukan kehadiran Sr Maria serta ahli rombongan. Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli rombongan kerana sudi mengadakan sesi di zon Tongod. Beliau sempat memberi serba sedikit maklumat tentang sejarah penubuhan empat buah KKD yang terdapat di Zon Jalan Tongod. Rev. Fr Jasery telah merasmikan dan memberkati penubuhan semua KKD pada 22 Februari 2014. Beliau berharap agar sesi tersebut dapat memberi manfaat kepada semua umat KKD.
Mendengar tentang 7 Tema ASG
Perbincangan dalam lima kumpulan berfokus kepada: “Pilih dua dari tujuh tema ASG yang perlu diberi perhatian dan dititikberatkan dalam KKD anda.” Selepas itu hasil perbincangan diperkongsikan:-
Perbincangan kumpulan sedang berjalan
Kumpulan 1:
-          Tema 6: SOLIDARITI
(a)  Kita hidup sebagai satu keluarga insan walaupun terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan, bangsa, etnik, latar belakang dan status socio-ekonomi.
(b)   Aktiviti dalam KKD seperti bekerjasama dalam membuat lawatan kepada individu yang memerlukan lebih banyak bimbingan terutamanya pengetahuan iman dan tentang ajaran gereja.
(c)    Memberi bantuan secara berperingkat-peringkat bagi mereka yang miskin dengan cara memberi pengetahuan bagaimana untuk meningkatkan ekonomi mereka.
(d)   Menerapkan nilai-nilai murni kepada anak-anak dalam KKD iaitu mengajar mereka untuk saling hormat-menghormati, menghargai dan melayani sesama dengan baik dan lemah lembut.
-          Tema 7: MENJAGA CIPTAAN TUHAN
(a)    Ia merangkumi alam, manusia dan haiwan. Program di peringkat KKD dapat dilaksanakan seperti bekerjasama mengadakan aktiviti kempen kesedaran mengenai penjagaan ciptaan Tuhan yang boleh diadakan di rumah mahupun di kawasan yang bersesuaian. Pengisian aktiviti adalah seperti riadah, doa dan ceramah tentang pemahaman terhadap ciptaan Tuhan; kehidupan manusia, habitat haiwan di darat dan ikan di laut.
(b)   Ibubapa harus berperanan untuk mendidik anak-anak mereka bagaimana untuk menjaga alam semulajadi agar terpelihara sesuai dengan pertumbuhan iman mereka.
Kumpulan 2:
-          Tema 1: KEHIDUPAN DAN MARUAH MANUSIA
(a)    Melihat kepada gejala sosial di kalangan remaja masa kini seperti pengguguran bayi dan juga amalan euthanasia.
(b)   Ibubapa dalam KKD harus menitikberatkan ajaran agama kepada anak-anak terutamanya bagi golongan remaja yang terdedah kepada pergaulan bebas agar tidak terjerumus dalam gejala pengugguran bayi yang kian berleluasa di dunia.
-          Tema 4: PELUANG BAGI MEREKA YANG MISKIN DAN LEMAH
(a)    Mengambil berat akan keperluan yang miskin dan lemah dengan mengadakan kempen kesedaran berkaitan agar mereka mendapat perhatian serta kasih sayang yang sewajarnya daripada semua pihak.
Bentang Hasil Perbincangan Kumpulan
Kumpulan 3:
-          Tema 1: KEHIDUPAN DAN MARUAH MANUSIA
(a)  Prinsip ini semakin kurang dititikberatkan dan prinsip ini penting dalam membentuk akhlak individu.
(b)   KKD haruslah berpatisipatif terhadap aktiviti-aktiviti gereja, para remaja harus bijak memilih rakan dan menghindari perbuatan yang menjatuhkan maruah.
-          Tema 2: PANGGILAN KEPADA KELUARGA, KOMUNITI DAN KETERLIBATAN
(a)    Pergi ke gereja atau selalu berdoa bersama.
(b)   Membataskan pergaulan dan hindari seks sebelum kahwin.
(c)    Melibatkan para golongan yang miskin dan lemah dalam sebarang kegiatan KKD.
Kumpulan 4:
-          Tema 2: PANGGILAN KEPADA KELUARGA, KOMUNITI DAN KETERLIBATAN
(a)    Terdapat berbagai masalah keluarga dalam KKD seperti perselisihan faham, pergaduhan, perceraian dan sebagainya.
(b)   Hal ini boleh diusahakan untuk diatasi atau dicegah dengan mengadakan aktiviti seperti berdoa Rosari bersama dan aktiviti-aktiviti KKD lain yang berfaedah. Segala aktiviti ini akan dapat mengeratkan perhubungan di kalangan ahli keluarga kerana dapat memberi peluang untuk berinteraksi dan beramah mesra dengan sesama.
(c)    Hubungan sihat keluarga-keluarga dalam sesebuah KKD akan menyumbang kepada pembentukan komuniti dan seterusnya masyarakat umum yang sihat.
-          Tema 6: SOLIDARITI
(a)    Walaupun kita berbeza pendapat dan cara berfikir, kita adalah satu keluarga dalam KKD.
(b)   Solidariti penting kerana mempengaruhi cara kita bekerjasama dan berinteraksi atau bersosial dengan sesama. Solidariti menggalakkan perdamaian dan mengelakkan pergaduhan.
(c)    Mempraktikkan kerjasama dalam sebarang kegiatan KKD ataupun di luar KKD adalah salah satu cara untuk mengamalkan solidariti. Sebagai contoh berkumpul untuk melakukan sesuatu gotong-royong di tempat orang lain yang memerlukan.
Kumpulan 5:
-          Tema 1: KEHIDUPAN DAN MARUAH MANUSIA
(a)    Para belia dalam KKD harus diberi perhatian agar mereka dididik dan diberi kesedaran akan pentingnya menjaga maruah diri mereka.
(b)   Mereka harus dilibatkan dalam aktiviti gereja agar dapat mencegah daripada terlibat dengan amalan yang kurang sihat dan tidak baik seperti gejala sosial yang kian berleluasa.
-          Tema 4: PELUANG BAGI MEREKA YANG MISKIN DAN LEMAH
(a)    Golongan kurang upaya, lemah dan miskin hendaklah diberi perhatian dan diberi bantuan bukannya ditindas.
Sr Maria Dipal, RGS
Pada penghujung sesi, Sr Maria telah mencadangkan agar 'hari keluarga' bagi KKD Zon Jalan Tongod diadakan sekali setiap tahun. Di antara pengisiannya yang penting ialah sesi perdamaian keluarga. Sr Maria turut menasihatkan agar apa juga program yang akan dianjurkan dalam KKD, Tujuh Tema ASG harus diselitkan agar aktiviti sosial yang sihat dan membina dalam komuniti mereka dapat dihidupkan dan dipraktikkan seharian.
Sr Maria menjelaskan bahawa atas keterbatasan waktu, sesi lanjutan dalam masa yang terdekat tidak mungkin dapat dijalankan. Namun beliau menyeru agar mereka dapat terus membuat tindakan konkrit selaras dengan ketujuh tema ASG.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent