Gambar ~ Daniel Zullian
SANDAKAN : JUMAAT, 10 MEI 2013 ~ Hari Kelima program YPL Level 2 Batch 3 dimulakan dengan Doa Lectio Divina pada pukul 7.30 pagi dikendalikan oleh Claire Andrew. Ia disusuli dengan sarapan pagi disediakan oleh kumpulan 'Justice.' Pada pukul 8.45 pagi, para peserta beserta fasilitator telah mengadakan 'Big Group Meeting' yang terakhir agar segala persiapan terperinci untuk misi penjangkauan disemak dan dikemaskan. Setelah selang satu jam berbincang dan mendapat laporan dari setiap ahli jawatankuasa, para peserta telah membuat persediaan dari segi keperluan barangan serta persediaan dan persiapan diri. Pada pukul 2.30 petang, semua yang terlibat dalam misi ini telah bersedia untuk menjangkau ke Sakilan Desa. Sebelum memulakan perjalanan, Jenniver, salah seorang peserta memimpin doa agar perjalanan mereka ke Kampung Sakilan Desa, kampung yang dijangkau akan dilindungi oleh Tuhan Yesus.
Para peserta selamat tiba ke Sakilan Desa pada pukul 3.30 petang. Tiga stesen pendaftaran untuk kanak-kanak, muda-mudi juga para ibubapa telah disediakan dan proses pendaftaran berjalan dengan lancar. Pada pukul 5.00 petang, acara dimulakan dengan sesi 'Time of Life' yang dipimpin oleh kumpulan 'Love'. Umat di Sakilan Desa sangat teruja dan gembira mengikuti sesi ini. Koordinator 'Big Group' iaitu Daniel Zullian selaku emcee pada hari tersebut menyampaikan pengenalan mengenai YouthPREPLink (YPL).
Sejurus selepas itu, aktiviti pada hari tersebut telah dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu belia, kanak-kanak dan ibu bapa. Bahagian belia telah dikendalikan oleh kumpulan small group, 'Youth', bahagian kanak-kanak dikendalikan oleh kumpulan small group, 'Children' manakala bahagian Ibu Bapa dikendalikan oleh para fasilitator.
Sesi bahagian muda mudi, dipenuhi dengan banyak pengisian. Antaranya ialah pujian dan penyembahan, permainan, English Lessons dan sebagainya. Manakala bahagian kanak-kanak pula terdapat dua sesi. Pengisian pada sesi pertama adalah pujian dan penyembahan, permainan, dan belajar mengenali huruf A,B,C.... dan angka 1,2,3..... Pengisian bagi sesi kedua pula adalah pujian dan penyembahan, membaca buku cerita dalam bahasa Inggeris dan permainan. Ia disusuli dengan majlis makan malam.
Dalam bahagian ibu bapa, terdapat dua sesi yang dijalankan. Sesi pertama adalah ceramah yang bertajuk "Bagaimana untuk memberi dorongan kepada keluarga mengenai pertumbuhan iman?" dan sesi kedua pula adalah ceramah bergabung dengan muda mudi yang bertajuk "Bagaimana ibu bapa mendorong anak muda mudi untuk terus teguh dalam pelayanan?." Kedua-dua sesi ini telah disampaikan oleh Spincer Nyahen.
Pada pukul 9.45 malam, semua umat berkumpul di dalam kapel dan sesi terakhir yang dijalankan adalah sesi perkongsian. Saudara Raychelz dan saudari Jeqwelin, wakil peserta YPL Level 2, Batch 3 telah menyampaikan perkongsian mereka. Bagi wakil muda mudi Sakilan Desa pula dikongsikan oleh saudara Paulus. Bahagian kanak- kanak pula diwakili oleh adik Leo manakala bahagian ibu bapa pula diwakili oleh saudara Petrus dan saudari Paulina. Setelah itu, acara diteruskan dengan ucapan wakil dari Sakilan Desa iaitu saudara Petrus dan wakil dari pengendali program YPL2 iaitu Anna Teresa. Kami berasa terharu kerana, pihak Sakilan Desa telah memberi cenderahati kepada kami.
Akhirnya pada pukul 10.45 malam, aktiviti di Sakilan Desa diakhiri dengan Doa penutup dan 'Time of Life'. Walaupun hanya beberapa jam bersama, begitu berat hati bagi pihak YPL meninggalkan warga Sakilan Desa. Umat di Sakilan Desa sempat membawa para peserta YPL bersukaria dengan tarian tradisi mereka. Pada pukul 11.30 malam, para peserta serta semua yang terlibat telah selamat sampai di Ulu Dusun. Sebelum tidur, sesi perkongsian sempat dilakukan bagi mendapatkan maklum balas daripada para peserta. Akhirnya pada pukul 12.15 tengah malam semua peserta dibenarkan berehat bagi memulihkan sumber tenaga untuk esok harinya.
No comments:
Post a Comment