Angeline Said dan Milter Mario
SOCCOM St. Martin Telupid
TELUPID: Misa kudus khas sempena Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Paroki Santo Martin telah disempurnakan oleh Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom bersama dengan Fr. Jasery G. Emmanuel selaku paderi paroki, pada 12 Mei yang lalu. Sekitar 2000 umat katolik dari seluruh paroki Telupid telah hadir dan memeriahkan perayaan ini. Tema bagi Perayaan tahun ini ialah “Kasih Allah Mempersatukan Kita Melalui Kebudayaan”
Bapa Uskup Julius sebagai selebran dibantu oleh rektor paroki Fr.Jasery |
Barisan ahli jawatankuasa penganjur Perayaan Pesta Kaamatan Paroki 2013 |
PAROKI ST. MARTIN TELUPID
Bapa uskup merasmikan ‘Tangkob’ |
Bapa Uskup Julius dalam amanatnya, menyatakan bahawa bukan sahaja perayaan pesta kaamatan yang disambut oleh semua umat pada hari tersebut tetapi pada masa yang sama, merayakan Pesta Kenaikan Tuhan, Hari Ibu dan Minggu Komunikasi Sedunia. Dalam kesempatan ini, beliau juga telah menjelaskan bahawa setiap perayaan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
Menyentuh tentang Hari Ibu, Bapa Uskup telah menyeru para umat agar menghargai ibu mereka dalam kesempatan yang masih ada. Tambahnya lagi, ibu juga merupakan insan yang pertama mendidik anak-anak mereka tentang nilai-nilai murni dalam memperkembangkan iman mereka.
Sehubungan dengan itu, sempena Minggu Komunikasi Sedunia, Bapa Uskup juga telah menyentuh tentang kepentingan dan etika yang betul dalam menggunakan teknologi masa kini terutamanya dalam penggunaan laman sosial khasnya. Beliau menasihati agar para umat lebih berhati-hati dan tahu menilai kebaikan dan keburukan dalam menggunakan laman-laman sosial yang kian menular dalam kehidupan seharian.
Diakhir ucapan alu-aluan, bapa uskup mengingatkan bahawa umat seharusnya bersyukur atas segala nikmat hidup yang diterima lebih-lebih lagi hasil pertanian yang kita perolehi dari kemurahan dan kebaikan Tuhan pencipta.
Disamping itu, Fr. Jasery dalam ucapanya menyeru agar semua umat bersama-sama sehati sejiwa dan bergembira bersama dengan semangat merayakan pesta kaamatan yang didorong oleh berkat iman dan rahmat serta kekuatan dari Tuhan. Sesungguhnya perayaan yang disambut sememangnya merupakan satu kesempatan bagi semua umat untuk mengungkapkan rasa syukur kepada Tuhan yang selalu memberkati perkerjaan kaum petani yang mana setiap tahun mengusahakan ladang dalam bidang pertanian.
Paderi juga mengungkapkan jutaan terima kepada En. Albert Andau selaku pengerusi pelaksana perayaan bersama dengan jawatankuasa penganjur yang telah berusaha dengan gigih dari mula hingga selesai untuk menjayakan perayaan pesta kaamatan pada kali ini.
Di akhir ucapan, Bapa Uskup telah mengumumkan tuan rumah sambutan Kaamatan Paroki 2014 akan diadakan di Zon Jalan Sandakan.
Lawatan ke setiap gerai KKD juga diadakan untuk acara makan bersama. Pelbagai persembahan dipersembahkan dari Zon Jalan Tongod, Zon Jalan Ranau, Zon Jalan Sandakan, dan Paroki St. Martin selaku tuan rumah. Tidak ketingalan ialah persembahan tradisi dari suku kaum Timorese.
Acara diteruskan dengan Pertandingan Menyanyi ‘Kilauan Emas’ antara zon dan cabutan tiket bertuah. Perayaan Pesta Kaamatan diakhiri dengan doa penutup oleh Fr. Jasery.
No comments:
Post a Comment