Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, May 4, 2013

YLC Club Di Paroki Holy Trinity Tawau


Oleh Roland Henry

TAWAU (21 April 2013) – YLC Club, satu program bagi para pemimpin Kerasulan Belia Paroki (KBP), Holy Trinity Tawau telah diadakan sebagai susulan program Youth Leader’s Camp (YLC) II yang berlansung pada 23 – 27 Januari 2013 yang lalu. Tujuannya adalah mengumpul semula para pemimpin yang telah mengikuti YLC II untuk merenung dan mengimbas kembali perjalanan iman serta pelayanan mereka di paroki ini selama 3 bulan selepas program tersebut dijalankan.
Keprihatinan Tim Kerasulan Belia Diosis Sandakan untuk membentuk pemimpin belia yang berpotensi dan komited di dalam pelayanan menjadikan paroki ini destinasi yang terakhir untuk dilawati selepas Paroki St. Dominic, Lahad Datu pada 20 April 2013 oleh Sdri. Sharon Tan selaku wakil dari Pejabat Belia Keuskupan Sandakan. Pertemuan ini diadakan di Bilik Konferens Paroki dan dihadiri seramai 30 orang wakil pemimpin belia dari pelbagai kumpulan pelayanan.
Program YLC Club ini dimulakan dengan menyanyikan lagu-lagu pujian disusuli dengan aktiviti Ice Breaker. Kemudian para peserta YLC Club dibahagikan kepada dua kumpulan untuk dalam permainan Listen yang menguji seseorang pemimpin untuk belajar mendengar dan melakukan tugas dengan betul. Setelah penat bergelak dan bermain bersama, para peserta YLC Club meluangkan masa berehat sebentar dengan menikmati hidangan lazat yang telah disediakan sebelum meneruskan pengisian sebenar program YLC Club.
Input yang diberi dengan menyaksikan klip video ‘I was Here’ semasa sesi Time of Life menyegarkan semula memori dan pengalaman bersama selama 5 hari sewaktu YLC II yang lalu. Kemudian disusuli dengan sesi My Heartbeat. Sdri. Sharon telah mengajak para pemimpin belia untuk merenung kembali dan berkongsi di dalam kumpulan kecil berkenaan dengan Personal Development Plan masing-masing berdasarkan soalan renungan yang menyentuh semua aspek perkembangan diri selama 3 bulan selepas YLC II. Menyedari hakikat ini, sifat keterbukaan minda untuk saling menerima kekuatan dan kekurangan diri yang ada di kalangan pemimpin belia dapat mengajar belia menjadi lebih seimbang di dalam pelayanan di gereja ataupun di mana-mana sahaja.
Di dalam Sesi Our Heartbeat pula, diteruskan dengan pembahagian kepada 3 kumpulan pelayanan iaitu KBP Holy Trinity, Persatuan Pelajar Katolik (CSA) dan Kumpulan Pelajar Kampus (CSG). Dengan merujuk kembali perancangan pastoral tahunan kumpulan masing-masing, setiap ahli kumpulan berpeluang untuk menyuarakan pendapat tentang pencapaian program yang telah dianjurkan dan menyedari berkat yang diperolehi dan bersyukur akan semuanya.

YLC Club ini sangat membantu para pemimpin KBP Holy Trinity Tawau kerana dengan program seperti ini. para pemimpin belia bukan sahaja dapat berkumpul tetapi juga untuk melihat, merenung, mendengar dan memahami terhadap perkembangan diri serta pelayanan sesama belia di paroki ini. Program tersebut diakhiri dengan doa bersama iaitu Doa Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent