Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, October 19, 2012

Perayaan 3-Dalam-1 Buat Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom

Oleh: Angeline Said
Telupid

TELUPID - Majlis Pastoral Paroki St. Martin telah merayakan majlis 3 dalam 1 sekaligus iaitu sambutan Hari Ulang Tahun kelahiran Bapa Uskup yang ke -55, Ulang Tahun Pentahbisan Bapa Uskup sebagai Uskup Diosis Sandakan yang ke 5 yang jatuh pada 15 Oktober 2012 dan di atas anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk. Majlis sambutan ini diadakan pada hari Ahad, 14 Oktober 2012.


Ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, Sdra Herman Soibun selaku Pengerusi Majlis Pastoral Paroki St. Martin menyampaikan rasa syukur kepada Tuhan atas rahmat dan berkatNya kepada semua yang hadir kerana dapat bersama-sama dalam majlis makan bersama Uskup Datuk  yang serba ringkas dan sederhana tetapi sungguh bermakna bagi umat Katolik Paroki St. Martin Telupid. 

Katanya lagi, dalam ketiga-tiga kontek ini, kita berasa sangat bersyukur kepada Tuhan kerana mempunyai Bapa Uskup Datuk Julius yang sungguh memperlihatkan pelayanan yang sangat terpuji di hadapan Tuhan dan kepada umat setempat di paroki. Bapa Uskup dengan rendah hati dan penuh cinta kasih datang melayani umat di Gereja St. Martin dengan sendirinya semasa ketiadaan Rektor Paroki yang berada di luar negara. Selain itu, Bapa Uskup melawat dan melayani beberapa chapel stasi luar untuk merayakan Misa Ekaristi di Chapel Zon Jalan Ranau (St.Joseph Lumou) dan Chapel Zon Jalan Tongod (St.Patrick Entilibon). Pengerusi MPP mengatakan bahawa pelayanan seumpama ini seharusnya menjadi contoh dan teladan kepada setiap lapisan umat khasnya umat di Paroki St.Martin Telupid. Sekali lagi dalam kesempatan itu, katanya sikap bekerjasama, sehati dan sejiwa dalam cinta kasih Tuhan oleh setiap lapisan umat haruslah dipupuk, dipertahankan dan diperkembangkan demi kemajuan pertumbuhan rohani setiap komiti umat katolik. 
En. Herman Soibun (Pengerusi Majlis Pastoral Paroki St.Martin Telupid)
Sebagai maklum balas Bapa Uskup Datuk Julius semasa menyampaikan amanat ringkas kepada semua umat yang hadir tentang majlis ringkas yang diadakan untuknya, beliau sangat berterima kasih kerana itu menunjukkan komitmen dan sokongan umat yang padu. Bapa Uskup menekankan bahawa dalam pelayanan, sesiapa sahaja yang bertugas hendaklah sentiasa bersedia melayani. Selain itu Bapa Uskup menyeru agar umat bersama-sama berganding bahu dan mengungkapkan kerjasama melalui tindakan dalam apa juga aktiviti yang dilaksanakan di paroki khasnya dan lebih-lebih lagi pertumbuhan rohani di keuskupan Sandakan keseluruhannya.
Bapa Uskup didendangkan paluan gong dan kulintangan tradisi yang dipimpin oleh Puan Teckla. G
Dalam majlis ringkas ini memperlihatkan amalan murni kerana umat dengan sukarela menjayakan majlis secara ‘pot luck’. Sdra Herman dalam ucapan penutupnya menyeru agar semua bersama-sama dalam satu iman, sentiasa berdoa dan bersatu dalam cinta kasih Tuhan dalam apa juga aktiviti gereja dalam menjamin kemajuan dan pertumbuhan iman. Beliau bagi pihak umat Katolik Paroki Telupid mengucapkan terima kasih kepada Bapa Uskup Datuk Julius kerana pelayanannya. Semoga sihat sejahtera dan diberkati oleh Tuhan senantiasa.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent