Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, May 29, 2012

Program Pembentukan Belia KBKI St Mark, Sandakan

DS/sj

Sandakan: Satu Program Pembentukan bagi Belia Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) telah diadakan pada Ahad, 20hb Mei 2012 bertempat di Gereja St Mark, Batu 12, Sandakan. Program ini merupakan anjuran bersama oleh Seri Murni Crisis Centre (SMCC), Sandakan dan Forerunner Ministry, Katedral St Mary’s, Sandakan.

Program secara tertutup ini telah disertai oleh sepuluh belia KBKI dari Gereja St Mark, Sandakan. Tim penganjur dari SMCC adalah terdiri daripada Sr Barbara Lip, RGS, Sr Lidwina, RGS, Wilfred Frederick serta Jellferlyne Joseph yang turut terlibat dalam tim Forerunner Ministry. Manakala, ahli tim Forerunner Ministry yang lain adalah Crispus Mosinoh, Rodney Roger Sining, Clare Michael Tivit, Shirley Joseph, Aronika Paulus, Arlene Abel dan Rogena Roger Sining. Program ini telah diilhamkan oleh pihak SMCC dengan menjemput Forerunner Ministry bagi mengendalikan beberapa sesi, permainan serta pujian dan penyembahan.
Kata-kata pembukaan dari Jellferlyne.
Program ini telah dimulakan pada jam 1.00 petang dengan makan tengahari bersama komuniti KBKI. Selepas makan, pujian dan penyembahan dijalankan sebelum doa pembukaan yang telah dipimpin oleh Jellferlyne. Dia turut memberi sedikit penerangan mengenai tujuan program ini diadakan iaitu untuk membimbing dan mempersiapkan para peserta yang bakal menjadi tenaga pengajar bagi rakan-rakan mereka untuk belajar asas membaca dan menulis di samping mendedahkan mereka tentang ciri-ciri seorang pemimpin yang baik dan berwibawa.
Ice Breaking 1 - Dapatkan Tandatangan'

Seterusnya, aktiviti suai kenal dijalankan sebagai membuat para hadirin berasa selesa antara satu sama lain iaitu ‘Ice Breaking 1 – Dapatkan Tandatangan’ yang dikendalikan oleh Jellferlyne dan Ice Breaking 2 – Mingle-mingle’ dikendalikan oleh Wilfred.


Crispus Mosinoh
Setelah suasana ceria dapat ditimbulkan melalui acara suai kenal tersebut, Crispus memulakan sesi yang lebih serius iaitu penerangan mengenai “Apakah Pelayanan Forerunner?”. Dia menerangkan bahawa ‘Forerunner’ bermaksud memberitahu akan kedatangan seseorang sebelum ketibaanNya. Misi Forerunner Ministry adalah sangat mirip dengan misi Yohanes Pembaptis di mana Yohanes memberitahu orang akan kedatangan Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat manusia.

Melalui sesi ini, dia juga telah memberi pengenalan mengenai bagaimana bermulanya pembentukan kumpulan pelayanan, Forerunner Ministry. Dia memberi penjelasan bahawa para ahli komiti kumpulan yang ada kini sebenarnya bermula dengan hasrat bekerjasama menjalankan satu program iaitu Youth Alpha (Alpha Belia) yang berasal dari denominasi Anglikan iaitu Holy Trinity Brompton, London. Program ini merupakan satu program penginjilan yang memberi peluang kepada persertanya untuk mempelajari asas ajaran Kristian. Seterusnya, para ahli komiti membuat keputusan untuk memohon penubuhan satu kumpulan pelayanan yang berpusat di bawah Paroki Katedral St Mary, Sandakan kerana ingin memperluaskan lagi misi pelayanan mereka.

Kini, kumpulan yang baru sahaja diluluskan oleh Paderi Paroki, Fr Thomas Makajil ini bukan sahaja meneruskan program Youth Alpha namun turut bergiat dalam memberi bantuan kepada SMCC, Sandakan dengan memberi khidmat sukarela untuk kelas bimbingan bagi kanak-kanak dan belia migran Indonesia. Forerunner Ministry juga bersedia untuk memberi khidmat bantuan untuk program-program yang berkaitan dengan misi pelayanannya, umpama keterlibatan Forerunner Ministry dalam program pembentukan belia KBKI ini.

Selesainya sesi Crispus, Sr Barbara ada mengajukan cadangan agar program Alpha Belia dijalankan di Gereja St Mark khasnya untuk sepuluh belia KBKI yang hadir pada hari tersebut. Sr berpendapat bahawa Youth Alpha dapat menjadi program pembentukan susulan bagi mereka. Crispus memberi respon dengan menjawab bahawa tim Forerunner Ministry akan membawa cadangan ini ke perbincangan sesama komiti untuk tindakan selanjutnya.

Aronika Paulus
Sesi seterusnya dikendalikan oleh Aronika, bertajuk “Peranan dan Tanggungjawab Seorang Pemimpin / Ketua”. Dalam sesi ini, antara input yang diterangkan Aronika adalah maksud pemimpin, apakah maksud kepimpinan dalam pelayanan? dan ciri-ciri seorang pemimpin yang baik dalam pelayanan. Dia turut menyatakan kepada para peserta agar tidak mengharapkan sebarang balasan dalam pelayanan kerana mereka bekerja di ladang Tuhan seperti dalam petikan alkitab, YOH 14:12 “Buat menjadi baik dan yang terbaik bagi kemuliaan Allah.” Aronika juga sempat mengingatkan bahawa dalam pelayanan bukanlah untuk dikenali ramai dan mendapat pujian semata-mata.
Perbincangan kumpulan
Perbincangan kumpulan juga diadakan untuk menyenaraikan ciri-ciri pemimpin yang baik dan tidak baik. Melalui perbincangan dan pembentangan kerja kumpulan ini, para peserta lebih mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan jika menjadi seorang pemimpin kelak.
Pembentangan hasil perbincangan
Aronika turut mengaitkan sesinya dengan tindakan dan sifat-sifat seorang pembimbing dalam kelas nanti. Dia menutup sesinya dengan menayangkan klip tayangan yang memaparkan mesej, “Kanak-kanak lihat, kanak-kanak lakukan”. Dia menasihati para peserta tersebut agar sentiasa menjadi contoh yang baik dan pengaruh yang positif kepada para pelajar mereka pada masa akan datang.
Pujian dan Penyembahan
Sejurus berehat dan selepas pujian dan penyembahan kedua, para peserta bersama tim penganjur diajak untuk bermain beberapa permainan yang mempunyai mesej bersesuaian dengan program pembentukan ini. Permainan pertama, dikendalikan oleh Clare, bertajuk ‘Membina Jambatan’. Permainan kedua pula dikendalikan oleh Rogena Roger bertajuk ‘Sampaikan Pesanan’ dan yang ketiga dan terakhir bertajuk ‘Permainan Botol’ dikendalikan oleh Jellferlyne dan Shirley.
Permainan 'Membina Jambatan'
Antara mesej yang diperolehi para peserta dalam permainan-permainan tersebut ialah:

“Bekerjasama”, “saling memberi sokongan”, “rela berkorban”, “pastikan maklumat yang disampaikan adalah benar”, “jangan mudah percaya”, “harus bersiap sedia sebelum bermula”, “tidak mudah putus asa”, “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”, “mencuba pelbagai kaedah” dan banyak lagi.
"Cepat, cepat!" - Permainan 'Botol'

Makan malam bersama diadakan selepas permainan tersebut. Selepas pujian dan penyembahan sekali lagi dijalankan, Sr Barbara pula mengambil giliran untuk menerangkan “Apakah Pelayanan Pusat Kebajikan Good Shepherd (PKGS)?”. Selain sejarah penubuhan PKGS, Sr juga telah menjelaskan serta mengongsikan visi dan misi PKGS di Malaysia terutama sekali di Sabah. Sr juga menekankan lima nilai-nilai dasar PKGS di dalam pelayanan mereka iaitu 
kejujuran, kesyukuran, hormat, semangat merasul, dan belas kasih. Sr mengharapkan kelak para belia ini juga akan menunjukkan, menerapkan dan mengamalkan nilai-nilai ini di dalam melayani atau mengjangkau kepada sesama.
Sr Barbara Lip, RGS

Sesi terakhir merupakan sesi Sr Lidwina iaitu "Mendengar Panggilan Tuhan". Beliau menyoal para peserta, "Mahukah kamu menyertai dalam pelayanan para Sister Gembala Baik?". Kemudian, beliau mengajak para peserta membaca serta merenungkan ayat petikan alkitab, YOH 10:11-14. "Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik memberikan nyawanya bagi domba-dombanya." (YOH 10:11) Sr ingin para peserta dapat  melihat dengan lebih jelas bahawa seorang pemimpin yang baik adalah seperti Yesus Kristus. 
Sr Lidwina, RGS
Program tersebut akhirnya ditutup dengan sebuah lagu bertajuk, "Jangan Lelah" dan doa penutup yang dipimpin oleh Sr Lidwina.

Menyanyi lagu penutup sebagai tanda kesyukuran.
Program dapat berjalan dengan lancar.

No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent