Search This Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, April 25, 2009

Perayaan Hari Penaung Santo Markus


Selebran Perayaan Ekaristi: Rev. Fr. Thomas Makajil

Sandakan: Jumaat, 24hb April 2009, buat kali ke 16, Gereja St. Mark telah merayakan satu Perayaan Ekaristi khas bagi menyambut Perayaan Hari Penaung Santo Markus yang lazimnya dirayakan pada 25hb April setiap tahun. Santo Markus, seorang penginjil yang hebat adalah pengarang Injil Markus. Dia menyebar iman kristiani melalui hasil karyanya. Penulisannya melalui inspirasi Tuhan telah membawa kepada tambahnya manusia sejagat mempercayai Tuhan Yesus. Gereja Katolik St Mark terletak 20 kilometer dari pusat bandar Sandakan. Tapak tanahnya diperolehi sebelum Peperangan Dunia kedua. Visi paderi-paderi serta pemimpin-pemimpin Gereja yang terdahulu telah mendorong mereka memperolehi tanah tersebut bagi tujuan pembinaan Gereja dan sekolah untuk melayani umat-umat yang tinggal di persekitaran luar bandar. Ia juga adalah landasan bagi Gereja menjalankan usaha-usaha penginjilan selaras dan selari dengan misi Gereja iaitu menyebarkan khabar gembira ke seluruh pelusuk dunia.

Perarakan Masuk tarian Kanak-kanak dari Komuniti Cina


Pada tapak yang diperolehi, maka terbinalah sebuah bangunan kayu dua tingkat berukuran 60 kaki panjang dimana tingkat bawah digunakan sebagai bilik darjah yang mampu menampung seramai 40 – 50 orang murid manakala di tingkat atas terdapat sebuah chapel dan 2 buah bilik.


Persembahan dari semua Komuniti


Sebaik sahaja tamatnya peperangan dunia kedua pada tahun 1945, bangunan kayu itu menjadi usang dan akhirnya roboh. Tiada usaha diambil untuk membina semula bangunan Gereja bagi melayani umat-umat setempat sehinggalah pada tahun 1991 satu komiti yang diketuai saudara John Pang dibentuk untuk melaksanakan tugas membina sebuah Gereja pada tapak asal. Pada akhir tahun 1992 bangunan Gereja St Mark siap dibina. Pada 21hb Januari 1993, upacara perasmian Gereja St Mark telah disempurnakan oleh YB Datuk Bernard Dompok, Timbalan Ketua Menteri Sabah pada ketika itu dan pemberkatan dilakukan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Agung John Lee.


Semoga Gereja St. Mark terus berkembang demi Yesus Kristus. AMEN!

Perayaan Santo Markus di Gereja St Mark dimulakan dengan perayaan Ekaristi dalam dua bahasa iaitu Bahasa Cina dan Bahasa Malaysia pada pukul 7.00 malam untuk manfaat umat-umat setempat yang terdiri dari komuniti Cina, Kadazan Dusun dan Timor. Gereja dipenuhi dengan kehadiran umat iman setempat serta umat dari Katedral St Mary.
Persembahan dari kanak-kanak Cina

Perayaan Ekaristi tersebut telah dirayakan oleh Fr Thomas Makajil, Rektor Katedral. Turut hadir ialah ketiga-tiga Sister Fransiskan. Pembacaan injil diambil dari petikan Injil Markus 16: 15-20. Dalam homilinya, beliau mengulas bahawa Santo Markus adalah Santo Penaung Gereja dan diingati sebagai penginjil hebat. Karyanya iaitu Injil Santo Markus satu di antara empat Injil yang memberi kita pengetahuan tentang kejadian-kejadian yang berlaku dalam hidup Yesus Kristus. Santo Markus juga pernah menjelajah bersama Santo Paulus, Barnabas dan Santo Petrus untuk menyebarkan khabar gembira kepada manusia sejagat. Santo Markus seorang yang penuh dengan iman dan sangat berdedikasi dalam pelayanan perwartaan injil. Petikan Sabdanya berbunyi “Pergilah ke seluruh dunia dan wartakan Injil kepada semua makhluk” lantas Fr Thomas Makajil mengajak semua umat khususnya umat dari Gereja St Mark untuk mengikuti jejak langkah Santo Markus demi memperkembangkan Kerajaan Tuhan. Beliau menambah, semua orang boleh menjadi penginjil sebagai ‘mulut’ dan ‘tangan’nya.


Persembahan SUMAZAU dari kanak-kanak Kadazandusun

Setelah selesai Perayaan Ekaristi, semua umat dijemput untuk berkumpul di dewan bagi acara ‘Fellowship’. Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Komiti Pastoral St Mark, Saudara Mariyoh Ginjal di mana beliau menyampaikan penghargaan terhadap segala usaha para AJK Perayaan dan sumbangan para penderma. Beliau menyahut agar wujudnya kesatuan yang berterusan di kalangan setiap kumpulan di Gereja St Mark. “Sebab seperti tubuh tanpa roh adalah mati, demikian jugalah iman tanpa perbuatan adalah mati” (Yak 2:26). “Ada rupa-rupa karunia, tetapi satu Roh. Dan ada rupa-rupa pelayanan, tetapi satu Tuhan. Dan ada berbagai-bagai perbuatan ajaib, tetapi satu Tuhan adalah satu yang mengerjakan semuanya dalam semua orang.” (1Kor 12:4-6) Seterusnya, Fr Thomas dijemput untuk memberi sepatah dua kata. Dalam ucapannya pula beliau meluahkan rasa gembiranya kerana dapat melihat pelbagai perubahan berlaku pada Gereja St. Mark. Dinding-dinding telah dicat semula, lampu-lampu lama telah bertukar kepada yang lebih terang dan banyak perubahan lain lagi yang dapat meningkatkan imejm baru kepada Gereja. Beliau merayu kepada para umat agar sentiasa hidup dalam Terang Yesus Kristus. Seperti telah dinyatakan dalam homilinya, Fr Thomas menambah bahawa semua umat, tidak kira status mahu pun kedudukan mampu menjadi penginjil yang hebat seperti Santo Markus. Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyatakan perasaan terujanya pada hari yang istimewa ini kerana dapat melihat kerjasama antara komuniti-komuniti yang berlainan selaras dengan moto Bapa Uskup Julius Dusin Gitom iaitu ‘Melayani Sesama dengan Kasih Tuhan’ dan petikan alkitab, “Demikian juga kita, walaupun banyak, adalah satu tubuh di dalam Kristus; tetapi kita masing-masing adalah anggota yang seorang terhadap yang lain.”(RM 12:5).

Persembahan dari Komuniti Belia Cina

Persembahan dari Komuniti Belia Timor Indonesia

Persembahan dari Belia Kadazandusun St. Mark Sandakan


John dan Mary Pang serta Fr. Thomas Makajil

Acara pemotongan kek

St. Mark merayakan hari penaungnya yang ke 16


Acara diteruskan dengan pemberkatan makanan oleh Fr Thomas. Semua dapat menikmati bermacam-macam hidangan yang telah disediakan oleh komuniti-komuniti dan kumpulan-kumpulan pelayanan Gereja. Selepas itu, acara diikuti dengan pelbagai persembahan dari komuniti masing-masing. Kemuncak Perayaan Ulangtahun Santo Markus ialah acara Pemotongan Kek oleh Fr Thomas, tiga Sister fsic dan beberapa penderma yang budiman. Pengakhiran bagi perayaan tersebut merupakan acara Cabutan tiket bertuah.


No comments:

Post a Comment

CATHOLIC APOLOGETICS

New Advent